Jumaat, 3 Julai 2009

Tokoh Teater Melayu : Shahrom Husain

SHAHROM HUSAIN ( 1919-2008)

1. LATAR BELAKANG.

Shaharom Husain dilahirkan di Kampung Peserai, Mukim Tiga, Batu Pahat pada 11 November 1919 (Shaharom Husain, 1996: 17). Beliau memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Peserai, Batu Pahat hingga Darjah Empat, iaitu dari tahun 1928 – 1934. Kemudian menyambung pendidikan di Darjah Lima di Sekolah Melayu Bagan Tinggi (1935-36). Mulai tahun 1938, Shaharom telah diterima melanjutkan pelajaran di Maktab Sultan Idris, Tanjung Malim (SITC) sehingga tahun 1940.
“Saya mula memasuki Sultan Indris Training College (SITC), bukan daripada Darjah V (darjah tertinggi di sekolah Melayu Johor zaman
itu), dan bukan juga daripada guru pelatih bergaji 22.00 Ringgit
sebulan, tetapi daripada guru bakal pelatih tanpa gaji yang akan
mengajar Darjah IIB, Sekolah Melayu Laki-laki Bandar Tinggi
Batu Pahat.”
(Shaharom Husain,1996: 37)

Walaupun pada peringkat awal keinginannya memasuki SITC demi cita-cita menjadi seorang guru, namun disebabkan ejekan daripada segelintir masyarakat di sekelilingnya terhadap jawatan bakal guru pelatih tanpa gaji telah melemahkan semangat Shaharom untuk meneruskan perjuangan di maktab tersebut. Tetapi tekanan daripada datuknya telah memaksa Shaharom memasuki SITC, namun dengan cita-cita dan semangat untuk menjadi pengarang atau wartawan.
“Saya belajar kuat. Menduduki beberapa kali peperiksaan dan
akhirnya berjaya ke Sultan Idris Training College, Tanjung
Malim. Bukan kerana boleh pakai tali leher dan topi dan tidak
juga kerana beristeri cantik, tetapi sebenarnya, kerana minat dan
cenderung dalam karang-mengarang.”

(Shaharom Husain,1996: 40)

Di zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura, Shaharom mengambil kesempatan belajar bahasa Jepun di Sekolah Perempuan Kampung Gelam dan juga Sekolah Kokugo Gakko, Victoria Street selama kira-kira 3 bulan. Seterusnya Shaharom memohon untuk menjadi guru bahasa Jepun dan berjaya. Beliau ditugaskan mengajar bahasa Jepun kepada pegawai, kakitangan dan anak-anak mereka yang bekerja di Jabatan Kolam Air Gunung Pulai dan Batu 22, Ulu Choh, Pontian Johor, di samping menjadi juru bahasa Jepun kepada pegawai dan askar Jepun (Shaharom Husain, 1996:222). Akhirnya, Shaharom diterima pula memasuki Maktab Perguruan Singapura yang dikendalikan oleh Jepun.
Selepas merdeka, Shahrom meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Bahasa, Bukit Senyum, Johor Bharu pada tahun 1958. Dalam masa yang sama, Shaharom mengikuti kursus bahasa Inggeris secara pos di sebuah institute di Australia dan berhasil mendapatkan Diploma of Associateship B.R Institute of Career pada tahun 1962 ( Ahmad Kamal Abdullah (peny.), 1993:191). Pada tahun 1969, Shaharom mengikuti kursus pra-universiti secara bertulis dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Indonesia di Universitas Nasional Indonesia dan berjaya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1972.
Menyoroti kerjaya Shaharom Husain, beliau telah mula melibatkan diri dalam bidang penulisan sejak dari tahun 1934. Bidang penulisannya meliputi novel, cerpen dan lenih menonjol dalam penghasilan drama terutama drama sejarah. Shaharom juga merupakan seorang guru. Mengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) dari tahun 1946-51 dan di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim dari tahun 1952 - 1974. Mulai Februari 1983 hingga Februari 1985 Shaharom dilantik menjadi karyawan tamu di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Shaharom Husain kembali ke rahmatullah pada 2 Oktober 2008 (2 Syawal 1429H) dalam usia 88 tahun. Beliau pergi dengan meninggalkan sejumlah besar karya-karya sastera bercorak sejarah dan buku sejarah yang tidak ternilai untuk warisan kebudayaan dan kesusasteraan bangsa Melayu.

2. SUMBANGAN SHAHAROM HUSAIN
Shaharom Husain merupakan seorang novelis, sejarawan dan budayawan. Beliau banyak mencurahkan jasanya kepada dunia kesusasteraan dan kebudayaan. Shaharom Husain juga terkenal sebagai seorang tokoh sejarawan. Beliau banyak menghasilkan novel dan drama yang dikategorikan sebagai teks sejarah.
Shaharom Husain telah menghasilkan sebuah drama moden yang bertajuk “Lawyer Dahlan” pada tahun 1941. Drama ini merupakan drama sulung beliau dan drama tersebut masih dianggap sebagai drama ulung Malaysia.

2.1 Mengarang Siri Novel Sejarah
Shaharom Husain mengajar di Maktab Latihan Sultan Idris (SITC) Tanjong Malim mulai tahun 1946 hingga 1951. Semasa mengajar di sini, beliau merupakan penyunting majalah “Cendera Mata” yang meupakan majalah rasmi maktab berkenaan. Beliau juga mengarang novel Sejarah bersiri iaitu 10 Julai 1511, Tun Fatimah, Korban Sungai Muar dan Bermandi Darah di Sungai Johor sebagai pembakar semangat kerana keadaan di politik di Tanah Melayu pada waktu itu agak hebat kerana parti politik Melayu bangkit menentang Malayan Union. Ini kerana masyarakat pada masa itu tidak selesa dengan perjanjian itu kerana kuasa dan kedaulatan raja Melayu diserahkan kepada Kerajaan Inggeris.
Pada tahun 1947, Shaharom Husain telah menghasilkan sebuah novel sejarah yang bertajuk “10 Julai 1511” yang diterbitkan oleh Sentosa Store, Kuala Pilah. Kandungan novel ini ialah tentang kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Mereka tewas bukan hanya kerana ketiadaan perpaduan tetapi juga kerana skandal seks, rasuah, fitnah dan kezaliman. Maksud tersirat yang terdapat dalam novel ini adalah untuk menanamkan semangat kepada pembaca, orang Melayu dan raja agar bekerja keras dan bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan kerajaan.
Shaharom Husain juga mengarang sebuah novel sejarah yang bertajuk “Tun Fatimah” pada tahun 1948. Shaharom telah menjadikannya sebuah drama sejarah pada tahun 1953 dan dipentaskan di Gapura Sastera di Johor Bahru. Kandungan drama sejarah ini juga adalah tentang kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Karya ini bertemakan kehidupan dan perjuangan dengan menyelitkan kepincangan yang dilakukan oleh pembesar masa lalu supaya dapat dijadikan pengajaran dan panduan masyarakat kini dan akan datang.
Seterusnya, Shaharom Husain menghasilkan novel sejarah yang bertajuk “Korban Sungai Muar”. Novel ini diterbitkan pada tahun 1949 oleh Sentosa Store, Kuala Pilah. Novel ini mengenegahkan perihal kegigihan dan pengorbanan yang dilakukan oleh Bendahara Tepok (Bendahara Paduka Raja dan Bendahara Lubuk Batu) dan Sultan Ahmad Melaka yang telah mempertahankan Kota Bentayan dan Kota Pagoh di Hulu Muar daripada serangan Portugis. Mereka bermatian-matian berjuang mempertahankan dan menegakkan kembali kebesaran kerajaan Melaka di Muar dengan harapan dapat merampas kembali Kota Melaka daripada tangan Portugis itu. Bagaimana pun, mereka telah gugur di medan peperangan itu.
Shaharom juga menghasilkan sebuah novel sejarah “Bermandi Darah di Sungai Johor”. Novel ini juga diterbitkan oleh Sentosa Store, Kuala Pilah antara tahun 1946 hingga 1951. Novel sejarah ini berkisar tentang pengunduran angkatan Sultan Mahmud Syah, Tun Fatimah (isterinya), pembesar serta hulubalang Melayu Melaka dari Melaka ke Muar (Pagoh), ke Pahang dan seterusnya ke Kampar, Sumatera untuk mendirikan semula kerajaannya yang telah diruntuhkan oleh Portugis pada tahun 1511. Novel ini meminta agar orang Melayu khasnya, tidak mudah berputus asa dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kemerdekaan walaupun terpaksa mengharungi berbagai-bagai rintangan.
Pada tahun 1950, Jabatan Persuratan Guru-guru Melayu, Johor telah menerbitkan buku yang bertajuk “Tawarikh Johor” yang dikarang oleh Shaharom Husain. Buku ini dikarang hasil penyelidikan beliau semasa mengajar di SITC. Buku ini memerihalkan sejarah wujudnya negeri dan kerajaan Johor hingga ke zaman pemerintahan Sultan Ibrahim. Buku ini adalah sebagai bacaan tambahan kepada penuntut maktab, guru dan masyarakat umum.
Pada tahun 1940, Shaharom Husain mula menulis drama sejarah yang bertajuk “Keris Laksamana Bentan” yang juga merupakan drama sejarah pertama Shaharom Husain. Drama ini beliau siapkan pada tahun 1941. Drama sejarah ini bersama drama “Lawyer Dahlan” mula dipentaskan di Gunung Pulai mulai tahun 1943. Drama ini bertemakan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan dalam pemerintahan. Tokoh penting dalam drama ini ialah Megat Seri Rama atau gelarannya Laksamana Bentan yang terkenal dalam sejarah Melayu Johor pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah Kedua (1685 – 1699). Beliau bersama Bendahara Abdul Jalil, berbakti kepada Sultan Mahmud kerana menegakkan kebesaran dan kewibawaan Kerajaan Melayu Johor. Malangnya, Sultan Mahmud Syah merupakan seorang sultan yang tidak berlaku adil terhadap pembesar dan rakyat jelata. Dalam drama ini juga terdapat kisah isteri Megat Seri Rama yang hamil telah dibunuh dengan perutnya dibelah atas perintah Sultan Mahmud Syah kerana dikatakan telah memakan seulas nangka istana tanpa izin baginda. Drama ini juga telah difilemkan
Shahrom Husain juga menghasilkan sebuah lagi novel sejarah yang bertajuk “Korban Kuala Kubu Karam” yang diterbitkan pada tahun 1955 oleh Sentosa Store, Kuala Pilah. Cerita ini berpusat kepada tragedi yang berlaku pada tahun 1883 iaitu peristiwa Kuala Kubu karam yang mengorbankan beratus malah beribu jiwa, binatang dan binatang belaan. Antara yang terkorban dalam peristiwa ini ialah Cecil Ranking, seorang pegawai Inggeris yang memegang jawatan pemungut hasil dan hakim mahkamah di Ulu Selangor. Peristiwa ini berlaku kerana ampangan di kuala sungai telah pecah akibat air hujan yang sangat deras. Novel “Korban Kuala Kubu Karam” ini telah digubah menjadi drama pada tahun 1965 dan dipentaskan beberapa kali di Johor Bahru. Pada mulanya, drama ini dipentaskan di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru dan dilakonkan oleh penuntut Maktab Perguruan Harian, Johor Bahru.
Seterusnya, Shaharom Husain menghasilkan pantomin atau drama sejarah “Tonggak Kerajaan Melayu Johor” yang mengisahkan peristiwa sejarah yang berlaku di Johor pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Peristiwa ini adalah tragedi perebutan kuasa dan alat kebesaran kerajaan Johor antara baginda dengan Raja Kecil dari Siak. Ini merupakan lanjutan daripada drama “Keris Laksamana Bentan”. Drama empat babak ini dikarang oleh Shaharom Husain pada Julai 1957 sempena menyambut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Drama ini dipentaskan di Johor Bahru mulai 8 hingga 10 September 1957, sempena menyambut kemerdekaan. Pementasan drama ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada pegawai tinggi kerajaan, ahli majlis mesyuarat, wartawan dari dalam dan luar negeri dan di kalangan keluarga diraja Johor.
Semasa beliau mengajar di Maktab Perguruan Harian Muar pada tahun 1958, Shaharom Husain telah menghasilkan sebuah drama sejarah yang bertajuk “Tun Seri Lanang” sempena Minggu Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan oleh maktab itu sendiri. Drama itu dipentaskan di Dewan Sekolah Tinggi Muar dalam Minggu Bahasa Kebangsaan bagi mengutip derma untuk perpustakaan maktab. Pada tahun 1959, drama ini dipentaskan semula oleh penuntut Maktab Perguruan Harian Johor Bahru bagi tujuan mengutip derma bagi Maktab Tengku Ampuan Maryam, Johor Bahru. Drama ini juga telah dibukukan dan diterbitkan beberapa kali oleh Pustaka Melayu Singapura. Penerbitan pertamanya ialah pada bulan Mei 1959. Pada bahagian akhir buku ini, Shaharom Husain memberi setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Seri Lanang kerana jasa baktinya mengarang dan menyusun kitab, “Sejarah Melayu”. Antara sanjungan Shahrom Husain kepada Tun Seri Lanang adalah seperti sajak di bawah:
Kepada Almarhum Tun Seri Lanang,
Jasa dan dharma baktimu tetap kukenang,
Walaupun telah berabad-abad berselang,
Kau kembali takkan pulang,
Namun bunga karanganmu telah dan akanku petik,
Kusuntung kujulang,
Harum semerbak takkan hilang,
Berzaman…
(Shaharom Husain, 1996: 290)

Shaharom Husain mengarang drama ini dengan tujuan untuk menarik minat penonton dan pembaca agar mengingati dan mempelajari semula segala yang terkandung dalam Sejarah Melayu dan mengenali Tun Seri Lanang, pujangga dan pengarang agung Melayu itu.
Pada tahun 1958 juga, semasa Shaharom Husain mengajar di Maktab Perguruan Harian Muar, beliau telah membuat penyelidikan sejarah di Parit Raja dan Parit Bakar untuk menghasilkan sebuah novel sejarah yang berjudul “Lembing Awang Pulang Ke Dayang”. Novel ini telah diterbitkan sebanyak empat kali. Kali pertama oleh Penerbit Geliga, Singapura pada tahun 1959, kali kedua diterbitkan oleh Penerbit Annies, Johor Bahru dan kali ketiga telah diterbitkan oleh Pustaka Malaysia, Singapura dan kali keempat diterbitkan oleh Pustaka Nusantara, Melaka. Novel ini mengkritik adat yang diadatkan seperti adat bertunang dan adat menghantar belanja kahwin yang berlebihan hingga memaksa pemuda yang bertunang meninggalkan kampung untuk menampung perbelanjaan yang tinggi. Novel ini telah digubah semula supaya menjadi drama dan dipentaskan di Dewan Victoria, Singapura pada 18 dan 19 April 1961 oleh Badan Kebudayaan dan Seni Tentera Malayan Singapore Base District.
Drama “Si Bongkok Tanjung Puteri” diterbitkan pada tahun 1961 hasil daripada penyelidikan Shaharom Husain terhadap orang-orang tua, tokoh tempatan dan tempat berlakunya cerita itu.
Seterusnya Shaharom Husain menghasilkan buku drama “Harimau Johor” dan diterbitkan pada tahun 1962. Harimau Johor adalah gelaran yang diberikan kepada seorang hulubalang handal yang bernama Nong Mutalib. Ceritanya berkisar di sekitar pantai timur dan selatan Johor pada zaman Temenggong Daing Ibrahim menguasai selatan negeri Johor (1855 hingga 1862), iaitu zaman undang-undang dan pemerintahan British mula merebak ke selatan Tanah Melayu. Drama ini merupakan sambungan drama “Si Bongkok Tanjung Puteri”.
Drama “Wak Cantuk” telah diterbitkan pada tahun 1965. Drama ini adalah berdasarkan kepada kisah benar yang berlaku di Kampung Tembaga, Bali Lane dan Kampung Dendang iaitu di sekitar Masjid Sultan, Singapura. Drama ini menggambarkan tentang akibat kerana membenarkan seseorang yang bukan muhrim (lelaki) tinggal bersama-sama dalam suatu keluarga yang mempunyai anak dara (gadis). Akibat perkara ini, maka timbullah bermacam-macam kerenah kerana masyarakat yang suka menghina orang miskin dan buruk rupanya.
“Balang Mas” merupakan drama empat babak yang dikarang oleh Shaharom Husain 1963. Drama simbolik ini membayangkan pembentukan Malaysia. Watak utama dalam drama ini ialah Maya (Malayu), Juara (Singapura), Jubah (Sabah), Juak (Sarawak) dan Lanai (Brunei). “Balang Mas” ialah lambang kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan. Cik Siti melambangkan permaisuri British (Kerajaan British). Drama ini dipentaskan di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru pada tahun 1963 oleh Badan Kebudayaan Melayu Johor di mana Shaharom Husain merupakan Yang Dipertuanya.
Shaharom Husain juga menghasilkan drama sebabak yang bertajuk “Satria Jaya” yang dikarang pada tahun 1964. Drama ini bertemakan perpaduan antara kaum di Malaysia. Untuk mencapai kemajuan, masyarakat berbilang kaum saling bekerjasama, tolong-menolong dan hidup aman damai. Mereka juga harus tampil kehadapan untuk memberikan khidmat bakti dan bersama-sama memungut derma bagi kemajuan masyarakat.

2.2 TABLO
Shaharom Husain juga menghasilkan tablo. Tablo “Pemuda Harapan Bangsa dan Pemudi Tiang Negara” dikarang pada awal tahun 1960-an. Tablo ini menceritakan tentang seorang pemuda dan seorang pemudi yang berjiwa kebangsaan dan berpegang teguh kepada agama Islam. Mereka menghadapi pelbagai pengaruh setiap hari seperti pergaulan bebas dan minum arak. Pegangan yang kukuh terhadap agama Islam telah menyebabkan mereka berjaya mengelakkan diri daripada terjebak dalam situasi yang tidak sihat ini.
Tablo “Bulan Bahasa Kebangsaan” dikarang pada awal tahun 1960-an. Tablo ini mempersembahkan soal kempen Bahasa Kebangsaan oleh semua kaum. Kempen ini diadakan melalui syarahan, nyanyian, pembacaan puisi dan lakonan dalam Bahasa Kebangsaan. Tablo ini dipersembahkan oleh pemuda pemudi dan kanak-kanak daripada semua kaum untuk memupuk kebudayaan nasional yang berteraskan kebudayaan Melayu.

2.3 BUKU KAJIAN ILMIAH DAN LATIHAN BAHASA
Shaharom Husain juga mengarang beberapa buah buku ilmiah dan latihan bahasa untuk digunakan oleh para pelajar maktab perguruan dan murid-murid sekolah. Antara buku yang dihasilkan ialah Sejarah Bahasa dan Pustaka Melayu, Memaham dan Meringkaskan Karangan dan Antara Pengarang-pengarang Novel Melayu dan Karyanya.
Buku “Antara Pengarang-pengarang Novel Melayu dan Karyanya” diterbitkan oleh Pustaka Melayu, Singapura pada tahun 1967. Buku ini memaparkan biodata dan hasil karya beberapa orang pengarang novel Melayu yang terkenal seperti Ahmad bin Abdullah (Ahmad Bakhtiar), Harun bin Md. Amin (Harun Aminurrashid), Ishak Hj Mohammad (Pak Sako), Syed Abdullah Hamid Al Idrus dan Abdullah Sidek (Anggerik dan Khadam Melayu). Bagi setiap karya mereka, diterangkan secara ringkas tentang kandungan, tema, watak, aliran cerita dan moralnya.
Buku “Sejarah Bahasa dan Pustaka Melayu” (dua penggal) itu diterbitkan oleh Sinaran Bros., Pulau Pinang pada tahun 1957. Buku itu antara lain menerangkan secara ringkas beberapa orang tokoh bahasa dan sastera Melayu serta karya mereka sejak zaman Tun Seri Lanang, Munsyi Abdullah hinggalah ke zaman Za’ba. Dalam buku itu juga diselitkan dengan beberapa sastera lisan termasuk dongeng rakyat dan nyanyian kanak-kanak dan mentera jampi Melayu. Diselitkan juga hikayat dan sejarah dan pertumbuhan serta perkembangan sastera dari pengaruh Sanskrit, Arab, Daerah, Portugis Belanda dan Inggeris turut diulas.
Buku “Memaham dan Meringkaskan Karangan” yang diterbitkan oleh Sinaran Bros, Pulau Pinang pada tahun 1959 mengandungi karangan daripada beberapa orang pengarang yang berlainan.
“Kajian Novel Hantu Laut” telah diterbitkan oleh Pustaka Melayu, Singapura (1967) ialah buku latihan yang mengandungi soalan dan jawapannya. Perkara lain yang dibincangkan ialah watak, tema, aliran cerita, simbol kata, moral dan falsafah.
Ketika mengajar kursus Bahasa, Sastera dan Kebudayaan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru (1966 – 1974), Shaharom Husain telah mengikuti kuliah Bahasa dan Sastera Indonesia di Universiti Nasional, Jakarta di bawah anjuran Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat. Semasa mengikuti kuliah Sarjana Muda Sastera dan dan peringkat Sarjana Kedoktoran itu, Shaharom Husain telah menyiapkan tiga buah manuskrip kajian ilmiah iaitu Analisa Atheis, Kata-kata Majmuk, dan Memperkatakan Novel The Good Earth.
Shaharom Husain juga menghasilkan beberapa buah karangan (rencana pengarang) dalam tiga keluaran buku “Karangan Sejarah Johor” ketika beliau memimpin dan bergiat dalam Badan Kebudayaan Melayu Johor yang ditubuhkan di Istana Bukit Setulang, Johor Bahru dan Persatuan Sejarah Cawangan Negeri Johor. Antara karya lain yang dihasilkan beliau ialah:
1. “Sejarah Simbol Kebesaran Hasil Negeri Johor”, dalam Buku Cendera Mata Hari Keputeraan Sultan Johor, 1965.
2. “Secebis Sejarah Tiga Zaman Raja-Sultan Johor Moden”, dalam Buku Cendera Mata Hari Keputeraan Sultan Johor, 1966.
3. “Sejarah Bendera Johor” dalam Buku Cendera Mata Hari Keputeraan Sultan Johor, 1967.
4. “Di Antara Pejuang-pejuang Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Johor-Riau dan Karyanya”, dalam buku Cendera Mata Hari Keputeraan Sultan Johor, 1967.
5. “Sejarah 120 Tahun Bandar Johor Bahru”, terbitan Majlis Perbandaran Johor Bahru, 1977.
6. “Sejarah Perkembangan Jabatan KastamTanjung Puteri, Johor Bahru”, terbitan Jabatan Kastam Malaysia, Johor Bahru, 1977.
7. “Kesan-kesan Sejarah di Dalam Kawasan Johor Tenggara”, terbitan Kejora, Johor Bahru, 1977.
8. “Lintasan Sejarah Perkapalan dan Pelabuhan Johor Selatan”, terbitan Lembaga Pelabuhan Johor, Johor Bahru, 1977.
9. “Lintasan Sejarah Penyiaran dan Perkembangan Islam di Alam Melayu Serta Peranan Kerajaan-kerajaan Islam Melayu Melaka, Aceh dan Johor”.
10. “Chahaya Johor”, terbitan Annies, Johor Bahru, 1952.
11. “Selamatkan Bendera Johor”, terbitan Harmy, Singapura, 1955.
12. “Kesan dan Aliran Sejarah Tanah Air Kita”, terbitan Tunas, Singapura, Ogos – November 1955.
13. “Johor Mesti Jadi Johor dan Johor Tetap Johor” (keluaran khas sempena menyambut Jubli Intan Sultan Ibrahim Johor), terbitan Tunas, Singapura, 17 September 1955.
14. “Ahmad Bakhtiar”, terbitan Geliga, Singapura, 1955.
15. “10 Julai 1511”, Hari Yang Tak Patut Dilupakan! Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka”, terbitan Belia, Singapura, 24 Februari 1956.

Pada tahun 1963, ketika beliau mengajar di Pusat Latihan (Guru) Harian, Johor Bahru (1959 – 1967), beliau menulis dalam majalah “Pancha”, terbitan Annies, Johor Bahru, sebuah makalah yang bertajuk “Ahmad Bakhtiar dan Karyanya”. Antara tahun 1964 hingga 1966, Shaharom Husain dengan menggunakan nama pena Dharmaya, telah turut mengkritik buku terbitan Pustaka Melayu, Singapura dalam majalah terbitannya, Medan Sastera. Antara bukunya Mati Bertindih Tulang, Awang dan Dara, Wan Derus, dan Gugur Di Lembah Kinabalu karya Harunaminurrashid, dan buku Kebudayaan Sepintas Lalu karya Mahmud Ahmad.
Makalah Shaharom Husain yang bertajuk “Kebudayaan Kebangsaan” tersiar dalam majalah Medan Sastera, keluaran 12 Jun 1967 dan “Kebudayaan Barat dan Timur Serta Unsur-unsur Pengaruhnya” dalam Medan Sastera keluaran 15 Mei 1968.



2.4 BUKU LAWATAN DAN PENGEMBARAAN
Sebagai seorang guru dan penulis, Shaharom perlu meluaskan pandangan dengan membuat lawatan dan pengembaraan di dalam dan luar negeri. Di samping melawat dan menggembara, beliau juga membuat penyelidikan sejarah dan mengumpul barang/maklumat yang berkaitan dengan palajaran dan pendidikan terutamanya sejarah, bahasa dan persuratan.
1. Tahun 1934, Shaharom Husain dan beberapa orang rakan sedarjahnya (Darjah IV, Sekolah Melayu Pesarai, Batu Pahat) berbasikal membuat lawatan sambil belajar ke Daerah Batu Pahat dan Muar.
2. Tahun 1940, semasa menuntut di SITC, beliau ikut bersama mendaki Bukit Cangkat Asa yang letaknya tidak jauh dari pekan Tanjong Malim. Tujuan utama pendakian ini adalah untuk mengenali jenis batu merah dan kesan sejarah yang terdapat di bukit itu.
3. Akhir tahun 1975, Shaharom dan isterinya menunaikan ibadat haji di tanah suci Mekah. Sementara menunggu masa untuk bertolak ke ke Mesir, beliau mendaki empat buah bukit yang mahsyur dan bersejarah iaitu Bukit Jabal Qubbisy, Jabal Nur, Jabal Thur dan Jabal Rahmah
4. Hujung tahun 1948 hingga awal tahun 1949, Shaharom yang mewakili Pasukan Pengakap Maktab SITC menghadiri Perhimpunan Agung Pengakap (Pan Pacific Scouts Jamboree) di Melbourne, Australia. Shaharom mengabadikan segala pengalamannya dalam empat buah buku: Melihat Australi I dan II yang diterbitkan oleh Sentosa Store, Kuala Pilah pada tahun 1949, Hiburan Di Australia yang diterbitkan pada tahun 1950 oleh Annies Printing Works, Johor Bahru: dan Mutiara Dari Selatan yang diterbitkan oleh Annies Printing Works, Johor Bahru pada tahun 1952.
5. Selepas melawat Australia, Shaharom membuat banyak lawatan ke ke tempat bersejarah hampir di seluruh Tanah Melayu, khususnya negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Pengalaman itu dibukakan dalam “Kesan Sejarah Tanah Air”, di samping tersiar dalam akhbar dan majalah serta siaran radio bersiri.
6. Bulan Mei 1975, Shaharom dan beberapa orang rakannya menghadiri “Seminar Sejarah Riau” anjuran Universiti Riau Pekan Baru Sumatera. Hasil daripada lawatan ini, Shaharom Husain bukukan di dalam “Berkunjung Ke Sumatera Tengah dan Barat (Minangkabau) yang diterbitkan pada tahun 1975.
7. Pada akhir 1975, Shaharom dan isterinya mengikut rombongan haji dari Singapura berangkat ke Tanah Suci, Mekah. Sebelum itu, beliau menggembara ke Mesir, Eropah dan Britian. Pengalaman melawat ke Britian telah dibukukan dalam buku yang berjudul “Melancong Ke Britian” dan “Ole-ole Dari England & Scotland” yang diterbitkan pada tahun 1983.


3. KEPENTINGAN SHAHAROM HUSAIN DALAM DUNIA SASTERA
Shaharom Husain merupakan seorang tokoh yang banyak jasa baktinya terhadap bahasa, sastera dan budaya. Shaharom Husain muncul sebagai penulis dan pengarah drama. Dari “Lawyer Dahlan” (1939) hingga “Si Bongkok Tanjung Puteri” (1960), beliau terus menghasilkan drama sehingga tahun 1984. Selepas tahun 1984 ketika usianya kira-kira 65 tahun, Shaharom Husain tidak lagi menulis drama. Ertinya, selama 45 tahun beliau mengabadikan usianya bergiat dalam novel sejarah dan drama sejarah.
Shaharom Husain merupakan pelopor dan pengasas drama moden. Drama ulungnya iaitu “Lawyer Dahlan” yang diterbitkan pada tahun 1939 masih dianggap sebagai drama moden ulung di Malaysia.
Shaharom juga merupakan pelopor drama sejarah. Banyak daripada novel sejarahnya telah diubahsuai dan dipentaskan sebagai drama sejarah seperti yang telah dibincangkan di awal tadi. Antara drama sejarahnya yang popular ialah drama “Si Bongkok Tanjung Puteri” dan “Tun Seri Lanang”.

Kepulangannya ke rahmatullah pada 2 Oktober 2008, merupakan satu kehilangan yang besar pada dunia kesusasteraan Melayu khususnya dalam bidang novel sejarah dan drama sejarah. Allahyarham telah meninggalkan banyak karya sastera yang akan dijadikan panduan, rujukan dan kenangan kepada kita semua.

Bibliografi:

Ahmad Kamal Abdullah (pnyg). 1993. Jambak 2: Proses Kreatif Pengarang Melayu.
Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana. “Pemikiran dan Idealisme Shaharom Husain”. Dewan Sastera, Julai 2004,
hal____________________

Shaharom Husain. 1996. Memoir Shaharom Husain: Selingkar Kenangan Abadi. Bangi.
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

http://dbp.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan