Jumaat, 3 Julai 2009

Kegelisahan Jiwa Manusia Dalam Cerpen Shahnon Ahmad

Perbincangan jurnal yang dihasilkan oleh Mohd Yusof Hassan.

Sinopsis Jurnal

Mohd Yusof Hasan melalui jurnal ini telah membicarakan tentang kegelisahan jiwa Shahnon Ahmad yang dipaparkan melalui novel dan cerpen tulisannya. Penulisan Shahnon Ahmad bermula selepas terlibat dalam penterjemahan cerpen – cerpen antarabangsa. Beliau telah menulis cerpen yang berkaitan dengan kritikan sosial yang berkaitan dengan soal seks, kepura- puraan, kedesaan, kelucuan dan sebagainya.

Menurut Mohd Yusof Hasan kegelisahan jiwa Shahnon Ahmad telah dipaparkan lewat penulisan cerpen awalnya seperti Ayam dan Manusia, Malam Begitu Indah , Guntur , Dunia Tuhan Yang Indah , Catatanku dan Ombak Kecil Berkocak. Melalui cerpen awal ini ia memaparkan tentang masalah moral seperti meniduri isteri orang , pelacuran , penyakit kelamin , homoseksual dan hubungan seks luar nikah.

Shahnon Ahmad telah mengupas sikap masyarakat kampung yang lekas marah ‘Gelungnya Terpokah’ , kemiskinan dan kemunduran masyarakat kampung yang terpinggir dari arus kemodenan ‘Pak Utih’ dan kehidupan masyarakat kota yang mempunyai kehidupan yang suka berpura – pura ‘Bung Besar Punya Pasal ’ dan ‘Jangan Beritahu Orang Lain ’

Penelanjangan Sikap dan kejiwaan manusia telah dipaparkan oleh Shahnon Ahmad di semua peringkat umur iaitu kanak – kanak , dewasa dan tua . Pemaparan Kejiwaan Shahnon melalui novel dan cerpen dapat dilihat melalui watak anak seperti Montel melalui cerpen ‘Lagu KitKitKit’ yang tidak menghiraukan kedatangan orang yang datang menengok Ibunya yang sakit dan gembira apabila ubun-ubun rambutnya diusap dan dijamah pengunjung sehingga maut menjemput Ibunya. Kegelisahan jiwa dewasa dikisahkan melalui watak Shahnon Ahmad sendiri yang dilambangkan melalui watak seorang pemimpin yang kegelisahan apabila berhadapan dengan masyarakat. Kegelisahan orang tua juga diutarakan dalam cerpennya melalui watak seorang pengemis tua yang terpaksa menghadapi cabaran hidup melalui cerpen ‘Pinang nan sebatang’. ‘Mimpi di Carrol Street’ juga memaparkan tentang kenangan dan kerinduan penulis terhadap kampung halaman, ibubapa, keluarga dan orang kampung semasa berada di Australia. Kerinduan terhadap kampung dan keluarganya terbawa – bawa kedalam mimpi beliau. ‘Mimpi di Carrol Street’ telah menceritakan tentang perbezaan budaya dan nilai – nilai masyarakat Australia dan Melayu .

Berdasarkan peristiwa Piihanraya 10 Mei 1969 dan peristiwa 13 Mei 1969 , ‘Salam Keluarga’ mengisahkan tentang tanggongjawab masyarakat dalam memilih pemimpin negara . Tanggungjawab ini digambarkan melaui watak ibunya yang membuang undi manakala bapanya menjaga ternakan lembu di kampung. Shahnon Ahmad juga mempersoalkan tentang peranan pemimpin dalam memajukan masyarakat selepas 12 tahun kemerdekaan, program membasmi kemiskinan dan masalah perpaduan antara kaum sehingga berlaku rusuhan kaum pada tahun tersebut.

‘Kalau Ibu Sampai Takah Tiga’ merupakan pesanan Shahnon Ahmad melalui suratnya kepada adiknya di kampung. Kegelisahan dan dan kerinduan yang mendesak – desak terhadap kesihatan ibunya yang sudah tua. Shahnon mengambil sikap menyerah dan bertawakal kepada Allah. Pesanan Shahnon kepada adiknya supaya menjaga dan menguruskan segala pekara yang berkaitan penjagaan ibunya, makan minum, rawatan, pengebumian, kenduri kendara ,tahlil dan sebagainya. Dalam cerpen ini Shahnon juga melemparkan pandangan sinis terhadap masyarakat kampungnya.

Semasa berada di Australia ,Shahnon Ahmad tidak terlepas dari kerinduan terhadap keluarga, Ibubapa, Pak Long, Mak Long, Pak Lang, Mak Lang dan lain - lain. Kerinduan ini semakin membuak – buak di masa perayaan. Shahnon menyambut Hari Raya bersama lima orang anak dan isteri melalui ‘Igau’

Manakala novel ‘Tak Keruan’ mempersoalkan tentang kewujudan manusia, penderitaan, kehidupan dan pengakhiran ( Kematian ). Novel ‘Tak Keruan’ menyinggung tentang pertentangan pendapat dalam menentukan sesuatu perkara ‘tidak ada’ atau ‘ada’ di kalangan dewasa dan kanak-kanak.

Melalui monolog dalaman, kegelisahan jiwa seorang pemimpin politik telah ditelanjangi rahsia oleh Shahnon melalui cerpen ‘Kalbu’. Cerpen ini menceritakan tentang Sdr. T yang merupakan seorang pemimpin politik yang hidup dengan menipu rakyat, berpura – pura, kotor, jijik dan selalu berdampingan dengan Selir, Iblis , Syaitan dan sebagainya. Kegelisahan pemimpin dalam memenuhi tuntutan rakyat yang selalu meminta keikhlasan dan kejujuran darinya yang bersifat munafik dan menimbulkan perasaan bersalah di dalam diri sehingga membawa kejatuhannya sebagai seorang ahli politik.

Pergolakan jiwa warga tua seorang Pengemis iaitu Wak Da telah dibincangkan oleh Shahnon melalui cerpen ‘Pinang nan sebatang’. Wak Da telah di cabar oleh kanak-kanak untuk menyeberangi sebatang titi. Berdasarkan cerpen ini, Wak Da merupakan satu lambang masyarakat yang mempunyai keazaman, keupayaan dan kegigihan hidup untuk mencapai kejayaan.

Shahnon juga menyoroti kegelisahan ‘Perempuan’. Siti terpaksa menerima segala aturan hidup yang telah ditetapkan oleh ibubapanya termasuk hal berkaitan memilih pasangan hidup. Siti telah dijodohkan dengan Haji Rahmat yang lama berada di Mekah . Cerpen ini memaparkan tentang pertentangan nilai antara dua generasi. Pemberontakan jiwa Siti dihamburkan terhadap kucing kesayanganya yang dilemparkan ke tunggul pokok ciku, ikatan kain dilontarkan ke sarang labah – labah dan sebagainya. Novel ini turut menyoroti persoalan taat pada orang tua , kebebasan wanita dan keagamaan .

Berlainan dengan ‘Perempuan’ , cerpen ‘A1’ memaparkan tentang keruntuhan moral anak muda yang berada di luar negara. A1 yang bekerja di Suruhanjaya Tinggi Malaysia , di Australia asyik masyuk dengan perempuan, majlis Cocktail, hotel, bar dan sebagainya. A1 seorang lelaki yang telah berkeluarga dan mempunyai isteri tetapi masih bertindak lepas besar tanpa memperdulikan keluarga dan mencemuh masyarakat bawahan tanpa memperdulikan hidup matinya.

Secara amnya Mohd Yusof Hasan telah berjaya menyelongkar kegelisahan Shahnon Ahmad melalui novel dan cerpennya. Menurutnya kegelisahan jiwa Shanon dipaparkan melalui perwatakan yang difokuskan kepada watak utama dalam tempoh masa yang pendek. Tema dan persoalan yang dibawa benar – benar memaparkan kegelisahan kehidupan, impian, angan – angan dan manusia yang terpaksa berdepan dengan penderitaan diri , masyarakat , alam dan Tuhan.

Kelebihan dan kekurangan

Berdasarkan jurnal ini, Mohd Yusof Hasan telah berjaya menyelongkar persoalan jiwa yang ingin disampaikan oleh Shahnon Ahmad. Shahnon Ahmad telah menggunakan cerpen dan novel sebagai perantaraan dalam menyampaikan kritikan sosial, pandangan masyarakat bawahan dan perasaan kasih dan cintanya terhadap kampung halaman. Sikap jati diri dan kedesaan Shahnon Ahmad di Banggul Derdap tetap utuh walaupun merantau ke luar negara. Pada masa sama beliau prihatin terhadap persoalan semasa masyarakatnya yang semakin terhakis nilai – nilai kemanusiaan lewat cerpen ‘kalbu’, ‘Perempuan’ dan sebagainya.

Faedah kepada pengkaji
Berdasarkan Jurnal tulisan Mohd Yusof Hasan, ia telah membantu pengkaji dalam menilai dan memahami permikiran yang terdapat dalam novel – novel dan cerpen ciptaan Shahnon Ahmad. Pendedahan dan pembongkaran kegelisahan jiwa yang yang dipaparkan membantu pengkaji memahami makna tersirat disebalik penciptaan karyanya. Masalah kepimpinan, keluarga, agama dan kemiskinan berjaya digarap dengan baik menjadi sebuah karya yang bermutu sebagai santapan minda pembaca.

1 ulasan:

  1. Nak tanya ... Konpius sikit..

    Wak Da yang saya jumpa dalam Cerpen Kelapa Nan Sebatang karya Shahnon Ahmad sama ker dengan Wak Da dalam Pinang Nan Sebatang ni???

    Saya setuju memangnya watak Wak Da ini lambang keazaman dan kekuatan masyarakat.Kegetiran yang dihadapi Wak Da ,wajar dicontohi.

    Atau macam maner??

    BalasPadam