Jumaat, 3 Julai 2009

Novel Perempuan Poltikus Melayu ,Antara Politik dengan Pelacur

Novel Perempuan Poltikus Melayu ,
Antara pemimpin Politik dengan Pelacur
Karya Faisal Tehrani , 2000
Kajian teks komentar Sohaimi Abdul Hasil terhadap penulisan Faisal Tehrani, 2000

Pendahuluan
Pada permulaan bab , Penulis telah membuka minda pembaca untuk memahami bebarapa genre penulisan dewasa ini. Penulis telah mengetuk memori pembaca tentang aliran novel dari peringkat awal seawal abad ke 17 sehingga abad 21.Penulis juga turut menyorot maksud dan tujuan penulisan novel yang pelbagai. Novel merupakan salah satu genre sastera yang popular seperti puisi dan drama yang memberikan pengalaman baru kepada pembaca menjadi lebih sensitif dan bijaksana dalam menanggapi kehidupan dalam sesebuah novel. Melalui buku ini , pengarang telah mendedahkan pemimpin yang rakus terhadap kuasa dan mengabaikan amanah yang dipikul bersama kuasa politik yang diperolehi.

Sinopsis.
Sohaimi Abdul Aziz telah memilih karya Perempuan Politikus Melayu Karya Faisal Tehrani dengan menumpukan kritikan terhadap permasalahan moral Antara Pemimpin Politik dengan Pelacur. Perempuan Politikus Melayu adalah merupakan sebuah novel yang memaparkan tentang keruntuhan moral di kalangan pemimpin politik dewasa ini. Pemimpin politik yang menggunakan kedudukan sebagai pembuat dasar bagi mengaut kekayaan, penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat.

Novel Perempuan dan Politus Melayu memaparkan persoalan politik orang Melayu. Datuk Zuri merupakan wakil rakyat Kawasan Jentayu dari parti Popular yang disenangi oleh pemimpin parti politik di peringkat atasan, berpengaruh, pintar dan licik dalam berpolitik menyebabkannya sukar dijatuhkan oleh lawan politik dalam parti iaitu Datok Yadi. Kedua – dua pemimpin ini menjadikan akhbar Detik sebagai wadah politik bagi meninggikan imej di mata masyarakat. Datuk Husam yang baru dilantik sebagai ketua pengarang bertekad mahu mengambil kesempatan ini bagi mengaut kekayaan dengan mengabaikan peranan akhbar dan etika kewartawanan. Tempiasnya turut dirasakan oleh wartawan akhbar Detik seperti Irfan dan Sulap menyebabkan mereka berada dalam dilemma. Datuk Zuri dan Datok Yadi telah menjadikan Sulap dan Irfan sebagai alat parti politik sehinggakan bilik berita Akhbar Detik menjadi bilik gerakan parti.

Datuk Zuri telah menggunakan kedudukan politik sebagai salah seorang ahli parlimen untuk mengaut kekayaan peribadi tanpa mempedulikan hak orang lain. Datuk Zuri telah menggunakan syarikatnya Read Jentayu Corporation untuk memajukan sebuah Kondominium dan Padang Golf di Kampung Gunung Jentayu. Projek pembangunan yang dicadangkan oleh Datuk Zuri menerima tentangan penduduk kampung . Penduduk kampung terpaksa menyerahkan tanah sawah mereka untuk dimajukan dengan bayaran pampasan yang rendah menyebabkan penduduk kampung tidak berpuas hati. Penduduk yang menentang akan ditangkap dan disumbat ke lokap .

Kebejatan moral dikalangan ahli politik turut dipaparkan apabila Datuk Zuri mempunyai seorang perempuan simpanan yang juga pelacur kelas atasan. Pengambilan tanah oleh Datuk Zuri tidak menyenangkan penduduk kampung seperti Johara , Haji Chenon dan Jenny sendiri. Penentangan Jenny terhadap Datuk Zuri menimbulkan peraasaan tidak senang di hatinya. Bagi memastikan rahsianya tidak terbongkar , Datuk Zuri mengupah dan menyuruh kuncu- kuncunya membunuh Jenny. Peluang ini telah diambil oleh musuh politiknya Datuk Yadi menyebabkannya terpaksa meletak jawatan dalam parti. Kedudukan Datuk Zuri di luar parti tidak lama apabila ia dibawa masuk kembali oleh pemimpin parti politik tertinggi dan diberi peluang untuk bertanding dalam pilihan raya. Keberkesanan strategi politik yang baik menyebabkan Datuk Zuri menjalankan pembersihan dengan memecat pengarang akhbar yang tidak sebulu dengan restu pemimpin atasan. Datuk Zuri terpaksa menggunakan banyak wang bagi memastikan kelangsungan politiknya.

Skandal politik Datuk Zuhri tidak terhad dengan Jenny sahaja tetapi melibatkan ChinYing salah seorang wartawan akhbar Detik. Chin Ying telah dirogol. Bagi memastikan karier politinya terus bernafas , beliau telah mengugut dan memberikan pampasan sebanyak RM 20 juta kepada Chin Ying bagi menutup mulut. Kejadian ini tidak dilaporkan kepada polis kerana mendakwa polis berada dibawah kekuasaanya.

Kezaliman pemimpin terhadap golongan bawahan menyebabkan wujud penentangan. Penentangan masyarakat terhadap Datuk Zuri melibatkan penduduk Kampung Jentayu yang tidak berpuashati dengan bayaran pampasan tanah sawah yang rendah, Haji Chenon dan penduduk kampung yang lain telah menghalang jentera pembinaan dan akhirnya disumbat ke lokap. Kematian Suami Johara yang dirancang oleh Datuk Zuri diberikan pampasan yang rendah sebanyak RM 5000.00 menyebabkannya terpaksa menghantar ke dua orang anaknya ke rumah anak yatim kerana tidak mampu menyara hidup setelah tanah mereka dirampas oleh Datuk Zuri. Bebanan perasaan telah meragut nyawa Mak Limah. Bagi Haji Chenon, beliau tidak menolak pembangunan asalkan rakyat diberikan pembelaan dan pampasan yang setimpal.

Kerakusan Datok Zuri dalam berpolitik dan mengautkan kekayaan disamakan sebagai pelacur oleh Jenny berdasarkan perbualan dengan Sulap. Walaupun penuh dengan masalah moral tetapi ia tetap di pilih sebagai salah seorang pemimpin parti.

Kelebihan dan keburukan
Berdasarkan novel , Perempuan Politikus Melayu ; antara pemimpin politik dan pelacur karya Faisal Tehrani yang telah dikritik oleh Sohaimi Abdul Aziz berjaya menyelongkar dan mendedahkan beberapa kelemahan dalam masyarakat seperti;
Pengarang telah berjaya memaparkan tentang penyalahgunaan kuasa dalam politik . Pengarang telah mengambarkan watak Datuk Zuri seorang yang Korupsi dengan merasuah Chin Ying sebanyak RM 50 Juta bagi menutup skandal seksnya, menggunakan wang bagi mendapatkan ruang dalam akhbar Detik , meyogok polis bagi memastikan cita – cita politiknya tercapai.

Novel ini juga turut memaparkan tentang persoalan moral masyarakat yang tiada kesudahan. Masalah pelacuran di kalangan rakyat dan didokongi oleh pemimpin politik menyebabkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan adalah tidak berkesan. Jenny yang menjadi perempuan simpanan Datuk Zuri dan pelacur kelas atasan.

Kegagalan pemimpin dalam menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat. Datuk Zuri seorang ahli politik yang dipilih mewakili masyarakat di Parlimen Jentayu. Sebagai ahli parlimen di kawasan tersebut, sepatutnya menjaga kepentingan penduduk bukan menganiaya dan merampas kehidupan mereka.(Abdullah Sanusi Ahmad ,1978 )

Budaya masyarakat Melayu dan Malaysia amnya yang mudah memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin. Mereka hanya perlu meletakan jawatan dalam tempoh masa tertentu , apabila keadaan menjadi reda, ia boleh kembali bergiat aktif dalam politik.

Politik wang dalam politik kepartian telah mendarah daging dikalangan pemimpin politik. Seringkali dalam sesuatu pemilihan atau persidangan kegiatan pembelian undi , sogok menyogok menjadi satu budaya dan wujud suasana saling menjatuhkan.( Noor Azam , 1970 )

Faisal Tehrani melalui novel ini berjaya memaparkan kelemahan penguatkuasaan undang – undang. Tugas polis sebagai penguatkuasa dan menjaga keamanan seringkali diperalatkan dan berada dibawah kekuasaan ahli politik. Datuk Zuri memberitahu Chin Ying agar tidak membuat laporan polis kerana merogolnya kerana sia – sia saja. Selain itu pemeras dan penzalim dilepaskan manakala yang mempertahankan hak ditangkap dan disumbatkan ke dalam lokap.Tindakan Datuk Zuri telah melahirkan prasangka yang buruk dikalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.( Chew Hock Thye ,1979 )

Nyawa adalah murah bagi golongan hartawan. Pampasan bagi nyawa golongan bawahan sebanyak RM5000.00 saja sedangkan kesengsaraan yang dialami oleh keluarga tersebut bukan sedikit kesannya.

Peranan penulis atau wartawan hendaklah bertindak dengan bijak , jujur bertanggongjawab melapurkan kebenaran yang melibatkan kepentingan bangsa tanpa bersikap bias dalam sesuatu isu. ( Abdullah Tahir , Jpm ,1984 )

Faedah kepada pengkaji.
Pengkaji telah didedahkan tentang persoalan dan gejolak politik negara pada masa ini. Penyalahgunaan kuasa, kegiatan mengaut kekayaan untuk kepentingan peribadi, rasuah di kalangan pemimpin atasan, pembunuhan politik dan penindasan ke atas rakyat atas nama pembangunan mengambarkan keperibadian dan kedudukan seorang ahli politik yang begitu rendah moralnya berbanding seorang pelacur.

Kesimpulan
Sohaimi Abdul Aziz telah berjaya menyoroti minda penulis Perempuan Politikus Melayu dengan baik.Garapan dan permainan bahasa yang dilontarkan oleh Faisal Tehrani melalui perbualan watak- watak telah berjaya mengkritik golongan politik yang tidak bertanggungjawab dan amanah. Kebijaksanaan pengarang dalam mengolah novel ini dengan menggunakan bahasa yang lunak dan tersendiri menjadikan ia lebih menarik dan segar dalam membongkarkan permasalahan salahlaku golongan politik.


Bibliografi
Abdullh Tahir , Orang Melayu Dengan Cabaran Masa Kini ,JPM Universiti Malaya , Kuala Lumpur. 1984.
Abdullah Sanusi Ahmad , Kerajaan Pentadbiran Dan Rakyat ,DBP , Kuala Lumpur , 1978
E. M Forster , Aspek – Aspek Novel , DBP , Kuala Lumpur , 1979.
Gurmit Singh K.S, Rakyat Malaysia Ketahuilah Hak Anda, Fajar Bakti, Petaling Jaya,1989.Noor Azam , Persfektif , DBP , Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan