Rabu, 22 Julai 2009

Teori Semiotik

“Semiotics is the theory and analysis of signs and significations. A semiotician like the early Barthes sees social and cultural life in terms of signification, and therefor in terms of the non-essential nature of objects.... Semiotics also studies the way that signs signify – in the conventional literaty texts and legal documents, or in advertisements and bodily conducts.” - John Lechte (1994: 121)

Bahasa merupakan alat komunikasi yang terpenting dalam kehidupan manusia. Kata-kata yang dibentuk dalam bahasa diungkap melalui satu sistem perlambangan yang dapat difahami secara lisan mahupun tulisan. Kesemua ini terungkap dalam perututuran, gerak laku mahupun perbuatan. Kadang-kala, lambang-lambang yang digunakan dalam bahasa agak sukar difahami sehingga ianya memerlukan satu bentuk kajian melalui disiplin yang tertentu. Maka, disiplin inilah yang diterapkan melalui pendekatan semiotik. Ia adalah disiplin yang terbentuk hasil daripada gabungan beberapa bidang ilmu lain termasuk antropologi, lingusitik, psikologi, sosiologi dan beberapa lagi. Semiotik kemudiannya berkembang menjadi satu bentuk kajian yang bersifat saintifik.

Teori semiotik adalah di antara teori kritikan pascamoden yang penting dan banyak digunakan kini. Ia memahami karya sastera melalui tanda-tanda atau perlambangan-perlambangan yang ditemui di dalam teks. Teori ini berpendapat bahawa dalam sesebuah teks itu terdapat banyak tanda dan pembaca atau penganalisis harus memahami apa yang dimaksudkan dengan tanda-tanda tersebut.

Sejarahnya
Semiotik adalah sains yang mengkaji sistem perlambangan yang telah bermula sejak zaman Greek lagi, iaitu; zaman Plato dan Aristotle. Kedua-dua tokoh tersebut telah memulakan sebuah teori bahasa dan makna. Namun tidak lama selepas itu, teori ini dirasakan tidak wajar, lalu kegunaan dan keunggulannya mula menjadi lemah.

Namun, pada abad ke 17, pendekatan semiotik mula mendapat perhatian John Locke, seorang ahli falsafah Inggeris untuk menjelaskan doktrin perlambangan ketika itu. Kali ini, kemunculan pendekatan semiotik beransur-ansur mendapat perhatian sehingga ia mula mendapat tempat di kalangan tokoh-tokoh yang terkemuka seperti Ferdinand de Saussure, seorang ahli linguistik Eropah dan Charles Sander Pierce, seorang ahli falsafah Amerika pada abad ke 19. Kedua-dua mereka telah merintis jalan bagi mengkaji dan menilai kesusasteraan melalui pendekatan semiotik.

Oleh kerana semiotik merupakan gabungan daripada disiplin-disiplin lain, telah ada usaha dari Saussure untuk memantapkan kedudukannya agar dapat mandiri dan berdiri sebagai satu disiplin yang autonomous. Sedikit demi sedikit, semiologi mula mendapat tempat melalui tulisan-tulisan Roland Barthes. Ia tidak lagi dilihat sebagai sebuah teori yang bersifat daerah yang hanya dibataskan kegunaannya untuk kajian bahasa dalam kesusasteraan sahaja. Malah, ia dapat diaplikasikan dalam semua persoalan hidup yang penuh dengan lambang dan perlambangan.

Maka Barthes telah berjaya memperluaskan skop serta peranan semiotik dengan mengaitkannya dengan bahasa dan kesusasteraan. Menurut Barthes, bahasa berpengaruh dalam semua aspek kehidupan dan ia boleh ditinjau melalui karya-karya yang terhasil. Karya merupakan cerminan realiti sebenar yang diungkap dalam bentuk tulisan.

Selain Barthes, semiotik merupakan satu bidang yang telah memikat ramai tokoh-tokoh serta ahli falsafah seperti Umberto Eco, Algirdas Julien Greimas, Louis Hjelmslev, Julia Kristeva, Charles Sander Pierce dan Tzvetan Todorov. Tokoh-tokoh tersebut menggunakan pendekatan semiotik untuk mengkaji karya dari berbagai aspek, iaitu daripada aspek perlambangan, imejan, ekspresi hinggalah ke aspek hermeneutik. Dari itu, dapat dilihat bahawa pendekatan semiotik telah mendapat tempat dalam kajian-kajian yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh tersebut sehingga kekuatannya terbukti apabila ia dapat digunakan secara meluas di kalangan para pengkaji.

Konsep Teori
Semieon adalah istilah yang digunakan oleh orang Greek untuk merujuk kepada sains yang mengkaji sistem perlambangan atau sistem tanda dalam kehidupan manusia. Daripada akar kata inilah terbentuknya istilah semiotik, iaitu kajian sastera yang bersifat saintifik yang meneliti sistem perlambangan yang berhubung dengan tanggapan dalam karya. Menurut Mana Sikana (1985: 175), pendekatan semiotik melihat karya sastera sebagai satu sistem yang mempunyai hubungan dengan teknik dan mekanisme penciptaan sesebuah karya Ia juga memberi tumpuan kepada penelitian dari sudut ekspresi dan komunikasi.
Semiotik adalah sebuah disiplin ilmu sains umum yang mengkaji sistem perlambangan di setiap bidang kehidupan. Ia bukan sahaja merangkumi sistem bahasa, tetapi juga merangkumi lukisan, ukiran, fotografi mahupun pementasan drama atau wayang gambar. Ia wujud sebagai teori membaca dan menilai karya dan merupakan satu displin yang bukan sempit keupayaannya. Justeru itu ia boleh dimandatkan ke dalam pelbagai bidang ilmu dan boleh dijadikan asas kajian sebuatu kebudayaan. Oleh kerana sosiologi dan linguistik merupakan bidang kajian yang mempunyai hubungan di antara satu sama lain, semiotik yang mengkaji sistem tanda dalam bahasa juga berupaya mengkaji wacana yang mencerminkan budaya dan pemikiran. Justeru, yang menjadi perhatian semiotik adalah mengkaji dan mencari tanda-tanda dalam wacana serta menerangkan maksud daripada tanda-tanda tersebut dan mencari hubungannya dengan ciri-ciri tanda itu untuk mendapatkan makna signifikasinya. Ini dapat dijelaskan menerusi rajah berikut:

Rajah 1
Tanda
(Sign)

Penanda (Signifier)

Petanda
(Signified Meaning)


7.3 Teori Kajian
Semiotik boleh berhadapan dengan apa jua genre. Ia berkebolehan untuk memberikan penilaian yang adil dan saksama. Teori Semiotik beranggapan bahawa sesebuah karya itu mempunyai sistemnya yang tersendiri, di mana, ia dapat diperlihatkan melalui sistem tanda dan kod yang terjelma di dalamnya. Oleh yang demikian, proses penciptaan yang melahirkan sistem karya itu juga menjadi penelitian. Ini termasuk sistem di luar karya yang dibawa masuk ke dalam karya; atau lebih tepat lagi kebudayaan seluruh masyarakat yang menjadi sumber inspirasi pengkaryaan tersebut.

Terdapat beberapa pengertian asas tentang perlambangan yang dikemukakan di kalangan ahli tokoh-tokoh semiotik terutama dalam bidang linguistik dan kesusasteraan umum. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, teori semiotik ini sangat luas dan dipelopori oleh beberapa tokoh dengan skop yang berbeza-beza. Maka, dalam pengkajian ini, teori semiotik yang dipelopori oleh Pierce akan digunakan. Dengan itu, prinsip-prinsip yang seperti ikon, indeks dan simbol turut digunakan dalam kajian ini.

Prinsip
Pendekatan semiotik memerlukan penganalisis mencari penggunaan tanda-tanda dalam sesebuah karya. Tanda-tanda tersebut diungkap melalui penanda, mengikut paradoks dan kontradisksi penggunaan stail dan mekanisme penciptaan sesebuah karya yang dikuasai oleh pengarang. Maka, penganalisis menggunakan semiotik untuk memberikan makna bagi tanda-tanda dalam teks yang dikaji.

Semiotik melihat karya dalam perspektif yang lebih luas. Prinsip kedua daripada pendekatan semiotik menuntut penganalisis memperhatikan hubungan sistem sesebuah teks yang dikaji dengan sistem yang ada di luar teks tersebut; iaitu segala perkara yang membawa kepada lahirnya teks tersebut. Ini merangkumi sistem hidup dan kebudayaan masyarakat yang menjadi sumber inspirasi penghasilan teks yang dikaji.

Segala ungkapan atau tanda-tanda yang dicerakinkan dari dalam teks memainkan peranan yang penting bagi kewujudan satu bentuk sistem dalam pembinaan teks tersebut. Maka, prinsip ketiga dalam pendekatan semiotik memberi penghargaan terhadap pengarang dan keperangannya. Ini menjelaskan bahawa terdapat sebab bagi penggunaan setiap ungkapan yang dihasilkan dalam teks kerana segalanya mempunyai pengertiannya yang tersendiri.

Kaedah Aplikasi
Sebagaimana yang telah dijelaskan, kajian ini akan didasari oleh teori semiotik yang dipelopori oleh Charles Sander Pierce. Pengkaji menganalisis teks dengan mencari dan menilai tanda-tanda yang digunakan melalui ikon, indeks dan simbol. Ikon merujuk kepada tanda-tanda yang menjadi bebayang, yang mirip mahupun yang menerupai sesuatu benda atau perkara. Indeks pula merujuk kepada tanda-tanda yang terhasil daripada sesuatu fenomena, simptom ataupun sesuatu perkara yang bersebab. Manakala, simbol pula merujuk kepada perlambangan yang sedia difahami dan membawa pengertian.

1 ulasan:

  1. bagaimana kah semiotik memaparkan komunikasi verbal dan non verbal?

    BalasPadam