Jumaat, 15 Mei 2009

Sastera perpaduan

Sastera perpaduan: Isu dan cabaran.
Rosli Bin Abd. Manas

Abstrak
Masyarakat di Malaysia dewasa ini sering dihambat dengan permasalahan dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu. Permasalahan dalam masyarakat yang berbilang kaum semakin rencam ,jika tidak ditangani dengan segera akan menyebabkan berlaku peristiwa yang tidak diingini. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu, antaranya dengan menggunakan medium sastera sebagai alat untuk menyatukan masyarakat. Penulis akan membincangkan peranan sastera dalam pendidikan, dasar- dasar pendidikan , pertubuhan bukan kerajaan dan bahasa itu sendiri sebagai satu elemen yang penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu.

Pengenalan

Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan yang erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja antara kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dari segi simantik ia berasal dari perkataan ‘padu’ iaitu ‘mampat’, padu atau ‘pejal’. Maka perkataan perpaduan membawa makna ‘pergabungan’. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara

Hasrat kerajaan dalam melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu adalah selaras dengan Rancangan Wawasan 2020. Melalui Wawasan 2020, kerajaan telah menjadikan perpaduan rakyat antara cabaran utama. Isu perpaduan antar cabaran utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi, “Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan

Sejarah pendidikan telah memainkan peranan penting dalam membentuk perpaduan negara menerusi Akta Pelajaran 1961 yang dilaksanakan berdasarkan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang digubal lebih menjurus kepada usaha kerajaan menyatupadukan semua kaum:
Tujuan Dasar Pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud
hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di
dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini
tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan
hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.

Sekiranya kita meninjau secara kasar, dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, ia berupaya melahir dan mengeluarkan pelajar yang berilmu, bermoral (akhlaq), beradab dan bersopan, seorang individu yang boleh menjadi warga negara yang cukup baik

Pelaksanaan penggunaan unsur – unsur sastera telah mula diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bermula pada tahun 1984. Lanjutan daripada pengenalan tersebut, unsur sastera telah dijadikan sebagai satu komponen yang khusus dan wajib diajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah secara berperingkat mulai Mac 2000, bagi tingkatan satu dan empat, manakala pada tahun 2001 untuk tingkatan dua dan lima serta tahun 2002 bagi tingkatan tiga.

Hasil Mesyuarat Jemaah Menteri Bil.4/99 bertarikh 24 Februari 1999 mencadangkan supaya Komponen Kesusasteraan Melayu dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Satu – Lima. Gesaan ini telah diterima oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan mencadangkan supaya Kesusasteraan Melayu diperkenalkan sebagai satu komponen wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah. Cadangan ini diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.2/99 pada 11 Jun 1999. Komponen Sastera (Komsas) dimasukkan dalam pengajaran bahasa bagi mencapai matlamat pembinaan insan yang positif terhadap ilmu pengetahuan dan ke arah pembentukan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan jasmani.

Sebagai sebuah negara yang terdiri dari pelbagai kaum, mempunyai tata cara hidup yang berbeza, ketidakfahaman terhadap sesuatu budaya bangsa lain seringkali menimbulkan konflik antara kaum. Pengenalan dan pengajaran komsas yang diperkenalkan oleh PPK yang bertujuan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmorni, terutama dari segi pembangunan dan kerohanian. Impian dan harapan negara akan tercapai melalui pengajaran komsas yang bersifat serampang dua mata seperti yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri pada tahun 2003 yang telah menggariskan dasar dan matlamat sosial negara.
Hasrat penyatuan bangsa ini terus diperkukuhkan oleh kerajaan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( PIPP ) yang dilancarkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Dato’ Hishammudin Bin Hussin pada tahun 2006. Antara elemen yang terdapat dalam PIPP menyarankan beberapa dasar pendidikan yang bertujuan membina bangsa Malaysia yang mempunyai ciri – ciri glokal, patriotik dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa dengan perasaan bangga. Hasrat ini akan dapat disempurnakan melalui pengajaran komsas dengan menerapkan sistem nilai, displin , sahsiah, akhlak dan jati diri semua pelajar. Cadangan dan saranan yang di kemukakan oleh Dato’ Hishammuddin adalah bertitik tolak dari dasar pendidikan yang dikemukakan oleh Tun Abdul Razak sebelum kemerdekaan bagi mewujudkan perpaduan antara kaum. Antara intipati adalah berbunyi seperti berikut,
Penyata Razak 1956 boleh dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan menyatakan:“Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”
( Penyata Razak, perenggan 12, 1956 )
Pengajaran komsas juga bertujuan membentuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu dalam membina masyarakat. Sehubungan itu, fokus Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina negara bangsa mencakupi usaha-usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan dan bahasa ilmu disamping memantapkan perpaduan dan integrasi nasional. Dengan pemupukan kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa. Gabungjalin yang terdapat dalam pendidikan komsas diharap akan dapat melahirkan sebuah negara yang mantap perpaduan dan berintergrasi nasional.
Pendidikan komsas dan sastera yang diajarkan disekolah – sekolah telah banyak membantu dalam melahirkan sebuah masyarakat yang besatu padu tanpa mengira warna kulit. Penggunaan teks yang sama dalam pengajaran komsas akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bangga terhadap warisannya. Pembelajaran sastera dan komsas yang berkaitan dengan tokoh masyarakat secara tidak langsung akan dapat melahirkan semangat nasionalisme. Kita seharusnya berbangga menjadi seorang rakyat Malaysia dan menyayangi negara. Kita perlu menghormati pemimpin kita dan berusaha bersama – sama mengekalkan perpaduan dan kemajuan negara bukan dengan mengkritik. Tokoh – tokoh utama negara sepatutnya dihormati dan dihargai, tanpa mereka negara kita belum tentu lagi memperolehi kemerdekaan.

Pengajaran komsas dalam Bahasa Melayu banyak membantu pelajar dalam membentuk semua masyarakat yang harmoni. Berkenaan dengan pengajaran yang dijalankan, penggunaan pelbagai teknik pengajaran dalam menyampaikan isi pengajaran seperti teknik lakonan, syarahan, deklamator dan sebagainya yang memerlukan interaksi antara murid. Melalui tugasan yang diamanahkan, golongan pelajar yang terdiri dari pelbagai kaum terpaksa berinteraksi antara satu sama lain samada melalui perbincangan dan sumbangan idea. Hubungan sesama pelajar dalam melunaskan tugasan tersebut, secara tidak langsung akan menjalinkan hubungan yang erat sesama pelajar. Intergriti pelajar akan dapat dijalinkan denagn baik berdasarkan medium pengajaran komsas seperti yang dituntut dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( PIPP ) yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2006, berkenaan dengan Teras II, PIPP.

Pendedahan yang berterusan kepada bahan sastera diharap dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bersatupadu, membangunkan sahsiah diri pelajar serta dapat menarik minat pelajar untuk terus membaca bahan-bahan sastera secara berdikari tanpa lagi bergantung kepada guru selepas alam persekolahan. Hal ini penting sebagai langkah memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia yang dilihat begitu rapuh

Bahasa berperanan sebagai penghubung dan mempunyai elemen dalam membina nilai-nilai perpaduan. Pendidikan bahasa dan sastera merupakan peluang yang terbaik bagi guru menerapkan nilai-nilai perpaduan kaum dengan menggunakan bahasa sebagai simbol perpaduan tidak seperti mata pelajaran matematik. Melalui pengajaran sastera, pendedahan terhadap kehidupan masyarakat yang penuh variasi seperti pngajaran puisi, novel, cerpen, drama dan sebagainya dapat memberikan teladan kepada masyarakat yang berbilang kaum. Penggunaan karya yang ditulis oleh penulis Melayu dan bukan Melayu dapat mengambarkan suasana Masyarakat Malaysia yang pelbagai pandangan. Masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum seringkali menimbulkan perasaan tidak puashati, dengki dan salahanggap akibat suasana sosial yang tidak seimbang. Berdasarkan penghasilan sastera, seseorang pengarang akan dapat mencipta sebuah hasil kesusasteraan yang bertangungjawab dan menumpukan ke arah perpaduan negara dengan menggunakan fakta sejarah yang telah terjadi dan telah diolah dengan lebih bebas bagi mencipta hasilnya sendiri. Menurut Georg Lukacs (1962: 53), novel sejarah yang sebenar ialah novel yang membawa masa lampau kepada kita dan membuat kita mengalami hakikat masa silam yang sebenar

Peranan sasterwan negara dalam meningkatkan perpaduan negara tidak dapat dinafikan lagi.
Usman Awang sebagai contoh telah berjaya menyatukan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia melalui puisi – puisi ciptaannya. Kesungguhan beliau dirintis dengan penubuhan Persatuan Persahabatan China – Malaysia. Teras kerjasama ini tidak saja terhad kepada penubuhan persatuan, tetapi terbuka dalam pelbagai kerjasama penganjuran sastera berpaksikan perpaduan melalui Gabungan Penulis Nasional ( GAPENA ). GAPENA contohnya pernah menganjurkan Sayembara Puisi Kemerdekaan bagi melahirkan masyarakat yang berjiwa Malaysia. Kesungguhan Usman Awang lewat puisi ciptaan seperti ‘Pemuda dan Gadis Tionghua’, ‘Anak jiran Tionghua’, ‘Kambing Hitam’ adalah antara usaha memperatkan hubungan kaum. Menurut Lawrance Quek tidak banyak penulis di Malaysia yang melahirkan karya mereka dengan menggunakan bahasa Melayu melainkan menggunakan bahasa ibunda mereka kecuali keturunan baba dan nyonya yang terdapat di Melaka. Namun demikian terdapat beberapa penulis bukan Melau yang aktif dalam melahirkan karya sastera perpaduan seperti Raja Rajeswary dan Uthaya Sankar S.B,

Karya kesusasteraan banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Menurut Carlton J. H. Hayes (1931: 6 ), sebuah karya yang memaparkan tentang kebudayaan bangsanya yang berkaitan dengan kebangkitan bangsa di tanah air yang menggunakan sastera sebagai medium penyatu bangsa dengan mengambil pengajaran dengan memberikan gabungan rasa kesetiaanegaraan dengan kesedaran rakyat. Sastera yang berkaitan dengan sejarah banyak ditulis untuk mewujudkan perasaan cinta dan sayang terhadap negara. Contohnya seperti karya Merdeka! Merdeka! Oleh A. Rahman Hanafiah yang telah diadikan teks komsas tingkatan 3. Novel ini mengisahkan tentang bagaimana masyarakat Melayu yang terdiri daripada Dato’ Onn dan lain – lain berjuang menentang Malayan Union dan Pengganas.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai satu alat penyatu bangsa adalah amat bersesuaian dengan kedudukannya yang sudah menjadi lingua franca di seluruh kepulauan Nusantara pada masa ini dan agama Islam sebagai kepercayaannya. Jadi faktor ini dijadikan sebagai tunjang untuk menyatukan sebuah masyarakat yang berbilang kaum seperti yang dikatakan oleh Ben Anderso (1986: 19) yang memfokoskan tentang komuniti masyarakat yang beragama , berdinasti akan saling mengenali walaupun pada zahirnya tidak disebabkan mereka berada dibawah satu komuniti bayangan iaitu bangsa. Azam Hamzah (1990 : 25- 26) mengatakan nilai – nilai keluhuran yang terpapar dalam teks sastera akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang luhur tentang nilai kemanusiaan berbanding kebendaan, nilai-nilai sastera dapat membentuk sebuah masyarakat yang bertamadun.

Menurut Atan Long ( 1984: 186 ) Bahasa Melayu. Berperanan sebagai bahasa penyatu kemudian digabungjalinkan dalam pengajaran sastera sebagai alat perpaduan tidak dapat disangkal lagi. Berdasarkan Laporan Kabinet yang bertujuan menyatukan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum. Sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu dan komas sebagai mata pelajaran wajib, ia memainkan peranan yang penting sebagai bahasa perantaraan berbagai kaum yang terdapat di Malaysia. Peranan Bahasa Melayu melalui komsas atau Kesusasteraan dapat membantu dalam merealisasikan hasrat kerajaan mencapai perpaduan negara.

Karya kesusasteraan akan dapat membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai keperibadian dan kenegaraan yang tinggi. Walaupun negara kita telah dijajah oleh bangsa asing lebih ratusan tahun, namun jati diri dan semangat nasionalisma masih menebal dalam diri kita. Sejarah yang diungkapkan melalui karya-karya kesusasteraan telah mengikat kehidupan kita supaya sentiasa bersatu padu. Karya seperti Bustanus Salatin, Salatus Salatin, Hikayat Hang Tuah antara karya yang memberikan panduan dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu .



Rumusan
Dasar mewujudkan bangsa Malaysia yang berteraskan pendidikan wajar diteruskan. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh berharap perpaduan akan terbentuk dengan sendirinya. Konsep perpaduan yang terbentuk atau diasaskan melalui karya kesusasteraan perlu diperkayakan lagi agar hasrat kerajaan membentuk sebuah masyarakat yang bersatu dapat direalisasikan.

Bibliografi
Atan Long,1984, Pendidik dan Pendidikan , Bajar Bakti, Petaling Jaya
Azam Hamzah, 1990, Tamadun Islam: Konsep dan Pencapaiannya, Shah Alam: Hizbi
Bacaria , 11 September 2004.
Hayes, Carlyon, J. H. , 1931, The Historical Evolutuin of Modern Nationalism, New York: Richard R. Smith
Ibrahim Saad,1990, Perubahan Pendidikan Di Malaysia : satu Cabaran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Lawrance Quek , Mencari erti dalam sastera dan puisi ,Utusan Malaysia, 13 September 2004.
Lukacs, Georg, 1962, The Historical Novel, London: Merlin Press.
Kementerian Pelajaran Malaysia, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 , 2006

Laman web.
http://www.scribd.com/doc/3255766/Langkah-langkah-mengekalkan-perpaduan-di-negara
http://www.scribd.com/doc/3018797/DASAR-SOSIAL-NEGARA?ga_related_doc=1
http://e-learning2u.com/pipp.asp?

1 ulasan:

  1. salam,..

    sastera sebagai agen perpaduan, satu perisai yang sangat ampuh.
    Memetik ,teori mimetic, oleh Plato dan Aristotle, sastera sebagai peniruan masyarakat, yang amat bersesuaian digilap
    sebagai pencetus revolusi masyarakat.

    Hidup Sastera......

    BalasPadam