Khamis, 7 Mei 2009

Kleopetra dalam Konperensi perdamaian - Mahmud Taimur.

Kleopetra dalam Konperensi Perdamaian berdasarkan pendekatan
Pengkaedahan Melayu.

Assigment ini dipersembahkan untuk yang berbahagia
Mahaguru Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis. Semoga sentiasa di rahmati Allah SWT.


1.0. Sejarah ringkas penulis
Mahmud Taimur dilahirkan di Kairo ( Kaherah ), Mesir pada tahun 1894 dan meninggal dunia pada 25 Ogos 1973, berketurunan Kurdis-Arab. Beliau dilahirkan dalam keluarga penulis. Ayahnya, Ahmad Taimur Pasya merupakan seorang yang terkenal dalam penulisan bahasa, sastera dan sejarah. Kehidupan Mahmud semasa kecil banyak dipengaruhi oleh ayahnya. Mahmud banyak membesar dalam kalangan masyarakat petani, dipinggiran Kota Kaherah, iaitu Ain Syam di kawasan penempatan Zemalik.

Mahmud mendapat pendidikan biasa semasa kecil di peringkat sekolah asas, semasa berada di sekolah menengah beliau banyak terdedah dengan bidang pertanian. Pendidikan yang diperolehi oleh beliau langsung tiada kaitan dengan bidang penulisan yang dipelopori selepas itu. Sejarah pendidikan beliau tidak begitu baik, terpaksa berhenti sekolah kerana diserang penyakit typhus. Dengan adanya dorongan yang berterusan dari ayahnya, minatnya terhadap dunia sastera mula berkembang. Beliau banyak membaca karya sastera moden dan lama seperti Alfu lalilah wa lailah dan menghafal mu’allaqat umru ‘al-Qais.

Terdapat banyak karya barat yang dibacai olehnya, antaranya karya Emilie Zoll, Maufacent, Maxim Gorti dan sebagainya. Sepanjang hidupnya, beliau banyak mengunjungi negara Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat. Beliau pernah menerima pendidikan sastera Perancis selama dua tahun. Karya-karya yang dihasilkannya banyak dipengaruhi oleh sastera barat dan menjadi salah seorang pelopor prosa moden. Karya utama yang dihasilkan oleh Mahmud Taimur banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia seperti bahasa Eropah. Semasa hayatnya Mahmud Taimur dikagumi oleh penulis dari negara barat dan Mesir. Mahud Taimur banyak mendapat pelbagai anugerah sastera dan dilantik menjadi anggota Bahasa Arab pada tahun1953. Antara karya yang dihasilkan seperti;

1. Antologi cerpen berjudul ‘asy syeikh jum’ah wa Qasas ukra ( 1925)
2. Antologi cerpen amm mitwalli wa Qasas ukhra ( 1925)
3. Farn al-Qassas ( 1925)
4. Antologi cerpen – asy syeikh sayyid abit wa Aqasasis ukhra (1926)
5. Novel – Maktabah al-adab
6. Drama – al- makhba Raqm 13 (1941)
7. Drama – Hawa al-Khalidah ( 1945)
8. Novel – Cleopetra fi khan al-Khalili (1946)
9. Novel- Salwa fi mahabb ar-rih ( 1947) dan mahtabab al-adab
10. Drama – al- yau khamr ( 1949)
11. Makhtabah al-Ashriyyah
12. Al-Makhtaba’ah al-Namudzajiyyah
13. Sifa ar-ruh (1951).






2.0 Sinopsis

Novel Kleopetra dalam konperensi perdamaian dikarang berdasarkan catatan seorang setiausaha yang bernama Muhyidin Farid. Catatan tersebut bermula dari tarikh persidangan iaitu pada 7 Januari ?? sehingga 6 Mac pada tahun yang sama. Persidangan ini berlangsung hampir dua bulan lamanya. Pengarang menggunakan watak setiausaha persidangan untuk mejalinkan plot-plot yang terlibat berdasarkan tarikh-tarikh persidangan yang dijalankan Keseluruhan cerita novel ini berkisar buku catatan harian Muhyidin Farid, seorang pegawai Jabatan Luar Negeri Mesir.

Pada 7 Januari, penduduk Mesir menjadi heboh apabila terdengar khabar angin dipilih sebagai sebuah negara yang menganjurkan perdamaian. Pemilihan Kota Kairo ( Kaherah ) oleh masyarakat dunia sebagi sebuah kota perdamaian menimbulkan perasaan bangga dikalangan penduduknya. Pemilihan ini bersesuaian dengan peranan kota Kaherah yang aman dari peperangan.

Pada 8 Januari, penduduk kota Kaherah gembira dengan kedatangan para tetamu yang datang menyertai konperensi perdamaian. Kesemua peserta konperensi disambut dengan gilang gemilang. Kesemua mereka ditempatkan di Qasr al- ward ( Istana Mawar ).

Sarjana Rohani telah dipilih sebagi ketua dan orang yang bertanggungjawab dalam membawa peserta dari alam alawi ( alam barzakh) untuk membantu masyarakat dunia mencari perdamaian sesama mereka dan mengelak dari berlaku perperangan. Beberapa nama yang masyhur seperti Kong Hong Shu, Budhha, Kleopetra dan Timor Leng dicadangkan. Kleopetra dan Timor Leng telah dipilih oleh Sarjana Rohani sebagai seorang yang difikirkan layak dalam menganggotai majlis perdamaian berdasarkan sumbangan mereka semasa hidup di dunia dahulu. Pada mulannya cadangan ini tidak mendapat persetujuan dari para peserta persidangan tetapi terpaksa tunduk apabila mereka diyakini akan kebolehan mereka.

Pada 20 Januari, Timor Leng dan Kleopetra telah tiba ke dunia melalui pesawat gumpalan awan. Kertibaan mereka disambut oleh para peserta kongres perdamaian. Kleopetra dibawa menginap di Kuil Abulhaul manakala Timor Leng di Masjid Sultan Hassan.

Ketika Kleopetra sedang beristirehat, beliau didatangi oleh Jeneral Zainal Suyuf Pasha (JZSP). JZSP telah berbincang dengan Kleopetra mengenai beberapa pekara yang berkaitan dengan perdamaian seperti peranan otak, akal, hati, dan persamaan anatara lelaki dan perempuan. Ketika mereka sedang rancak berbincang, tiba-tiba Antonius muncul. Kehadiran Antonius ke dunia tanpa diundang dan hanya mengikuti Kleopetra secara sembunyi kerana perasaan ccintanya yang mendalam terhadap Kleopetra.

Sebelum persidangan bermula JZSP dan Kleopetra berjalan-jalan ke taman Halwan. Mereka melawat kuburan Iskandar. Sedang mereka asyik bersiar-siar, JZSP dan Kleopetra bertemu dengan Charles Martin, seorang warga Amerika yang bergiat aktif dalam seni budaya dan perfileman. Hasil dari perbualan mereka mengenai beberapa isu, dapat dibuat kesimpulan tentang peranan dan pengaruh Amerika terhadap dunia samada dari segi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Sarjan Muttawali telah ditugaskan oleh Ketua Konperesi sebagai pembantu Timor Leng. Beliau ditugaskan oleh Timor Leng untuk mengumpul segala binatang yang melarat dan kelaparan, tiada bertuan untuk ditempat dan diberikan makan di Masjid Sultan Hassan.

Pada 21 Januari, Kleopetra berasa bimbang mengenai kedatangan Antonius secara sembunyi diketahui oleh Sarjana Rohani dan menimbulkan kemarahannya. Kleopetra telah meemui Sarjana Rohani dan menceritakan segala peristiwa yang berlaku, hasilnya Sarjana Rohani bersetuju membenarkan Antonius berada di bumi dengan syarat sebagai seorang pelancong serta tidak boleh menggangu persidangan perdamaian yang berlangsung. Jika sebaliknya berlaku, Antonius akan dihantar kembali ke alam alawi.

22 Januari – Hari pertama persidangan perdamaian. JZSP diminta oleh Kleopetra mengemukan cadangan dan usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan untuk mewujudkan perdamaian. Pengarang telah menggunakan simbolik nyamuk sebagai perlambangan musuh. Setelah persidangan tamat, Kleopetra, Timor Leng, Antonius dan Muhyidin Farid kembali ke tempat penginapan masing-masing.

Kleopetra dan rombongannya kembali melawat taman Halwan yang berhampiran dengan perkuburan Iskandar. Semasa berada di sana , Kleopetra dan rombongan telah didatangi oleh Charles martin seorang warga Amerika yang terlibat dalam bidang kebudayaan dan perfileman. Martin dan pengikutnya begitu mengkagumi kecantikan Kleopetra, kepahlawanan Timor Leng dan keagungan cinta Markus Antonius. Ketika berada di pusara Iskandar, mereka berbincang mengenai soal akal, hati, peranan otak dan kehidupan selepas mati. Jeneral Yusof pula melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap mengenai tindak tanduk Martin yang sanggup mengeksploitasi Kleopetra semuanya demi wang.


Ketibaan Sarjanaa Antarabangsa untuk menghadiri majlis konfrensi perdamaian dengan membawa sejumlah buku dan ditempatkan di Istana Bunga. Menurutnya beliau telah mencipta sebuah bahasa / satu bahasa yang baru untuk digunakan oleh umat manusia agar mudah difahami dan mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu. Persidangan perdamaian berlangsung pada hari ini. Mereka sibuk mencari jalan untuk mengelak berlaku perperangan. Perbincangan mereka menjurus kepada persoalan istilah ‘perang’ dan kewajarannya dari segi ketamadunan dan kemasyarakatan.

Sedang mereka rancak bersidang, anggota persidangan dikejutkan dengan kedatangan wakil Organisasi Roti Hitam. Kedatangan wakil Organisasi Roti Hitam bertujuan menjemput anggota persidangan menghadiri parti amal yang bertujuan membantu masyarakat dunia yang miskin, kekurangan makanan, kemudahan asas dan lain-lain. Anggota persidangan bersetuju untuk menghadiri majlis tersebut. Untuk meningkatkan tabungan dana parti amal, penganjur Roti Hitam mengadakan lelongan ciuman Kleopetra yang dimenangi oleh Martin serta pelbagai pertandingan dan perlumbaan yang berunsurkan perjudian dan maksiat.



Bab : Dalam Muzium Timor

Selepas tiga hari parti amal Roti Hitam berlangsung, persidangan perdamaian terpaksa terpaksa ditangguhkan kerana kebanyakan wakil persidangan mengalami sakit-sakit dan pening akibat mabuk. Bagi mengisi masa senggang Kleopetra bersama Martin bersiar-siar ke pasar Puteri Sultan di Khan al-Khalili. Disana, Martin telah disolek dan dipakaikan pakaian masyarakat Mesir. Semasa di muzium, mereka mengunjungi kubur firaun dan patung lilin seperti patung Khalifah Harun al-Rasyid dan patung Kleopetra sendiri. Dalam kunjungan mereka itu, Martin secara tidak sengaja membuat tafsiran mengenai patung lilin Kleopetra seperti hidung, mata, badan, rambut dan lain-lain

Setelah mereka pulang dari melawat muzium, Kleopetra dikunjungi oleh Antonius untuk memberitahu bahawa dirinya akan pulang ke alam barzakh pada keesokan harinya. Kata- kata Antonius telah ditempelak oleh Kleopetra bahawa ia tidak berkaitan dengannya. Kleopetra melahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan sikap Antonius yang suka berfoya-foya dengan pembantu Martin iaitu Janet dan Flora. Bagaimanapun Antonius cuba mempertahankan dirinya sebagai seorang yang suci dan luhur dalam percintaan.

Abdul Al pembantu persidangan ingin menarik diri sebagai kakitangan persidangan dan ditolak oleh Setiausaha persidangan. Menurutnya, tindakan tersebut akan merugikan dirinya sendiri. Abdul Al beranggapan bahawa persidangan perdamaian ini tidak berjaya, membuang masa dan sia-sia berdasarkan pemerhatian dan tindak-tanduk peserta persidangan perdamaian yang lebih mementingkan hiburan berbanding dengan tujuan utama kedatangan mereka ke majlis konperensi.

Bab : Majlis persetujuan bersama.

28 Januari - JZSP hadir ke Abuhaul untuk menjemput Kleopetra menghadiri persidangan perdamaian. Sarjana Rohani memberitahu Kleopetra mengenai rancangannya untuk menghantar Antonius kembali ke alam alawi dengan menggunakan kapal awan pada keesokan harinya. Menurutnya, Antonius telah banyak berubah dan terpengaruh dengan persekitaran dunia. Tidak beberapa lama kemudian, Timor Leng dan Sarjana Antarabangsa tiba. Kehadiran Timor Leng dengan cara bertongkat kepala merpati mendapat perhatian anggota persidangan. Anggota persidangan berbeza pendapat mengenai tongkat yang digunakan oleh Timor Leng seperti Sarjana Antarabangsa, dan wakil-wakildari wilayah lain sehinggalah dirungkaikan oleh Abdul Al.

Setelah persidangan dimulakan, persetujuan mengenai istilah perang, penganjuran majlis amal masih lagi berlarutan. Rancangan untuk menganjurkan majlis amal tidak dipersetujui oleh sarjana Rohani, kerana ia bertentangan dengan dasar utama majlis tersebut yang bertujuan mencari perdamaian dunia. Dalam suasana kecoh tersebut, Abdul Al ketawa kelucuan kerana kegagalan dan kelemahan golongan yang dikatakan berpendidikan untuk mencari memperolehi persetujuan sesama mereka. Menurutnya , tugas utama mereka adalah mencari perdamaian, jadi tidak seharusnya mereka berkelahi untuk mendapatkan persetujuan. Tindakan Abdul Al telah menimbulkan kemarahan anggota persidangan. Disaat persidangan berlangsung dengan rancak, Sarjana Antarabangsa jatuh sakit menyebabkan persidangan tersebut terpaksa ditangguhkan lagi.

Charles Martin telah menghadiri dewan persidangan perdamaian dan diterima sebagai anggota kehormat persidangan. Sarjana Rohani dan lain-lain anggota bersetuju dengan cadangan Charles Martin untuk mewujudkan perdamaian melalui filem yang berjudul ‘Ikhnaton’ sempena dengan nama Raja Firaun pertama yang menganjurkan perdamaian dan penyatuan. Cadangan ini pada mulanya tidak dipersetujui oleh Jeneral Zainal Suyyuf Pasha sehinggalah diberi penerangan mengenainya.

29 Januari- Majlis persidangan menjadi semakin bercelaru, pandangan serta pendapat Sarjana Rohani dan ketua persidangan sudah tidak dihormati lagi. Timor Leng telah mengambil alih peranan sebagai ketua persidangan. Kleopetra memohon bercuti dari menghadiri persidangan kerana untuk melakukan pembedahan kecil hidung. Majlis persidangan perdamaian tidak bersidang sehingga Kleopetra sembuh dari pembedahan.

30 Januari-Kleopetra selesai menjalani pembedahan hidungnya.

Bab : Dalam kuil.

1 Februari - Charles Martin berjaya menyiap dan menghiaskan kuil untuk dijadikan sebagai tempat pementasan filem ‘Ikhnaton’, selain itu wujud satu konflik antara Martin dan Antonius mengenai Kleopetra dan Octavius. Menurut Antonius, dasar Amerika ialah meletakkan sesuatu pada kedudukan songsang tanpa menghargai erti kemanusian, dengan menggunakan pelbagai maksud dan niat, hakikatnya adalah sama, contohnya adalah perkataan komunisme dan mencuri.

2 Februari - Majlis persidangan berlangsung di Abuhaul berhampiran dengan gudang Martin. Timor Leng telah melantik Martin sebagai anggota kehormat majlis perdamaian persidangan berdasarkan minatnya yang mendalam untuk mewujudakan perdamaian, kemanusiaan dan keseniaan. Perlantikan Martin mewujudkan kesangsian kepada Sarjana Rohani mengenai kemampuannya menyumbangkan idea perdamaian. Sebaik sahaja majlis persidangan dimulai, para peserta masih lagi membincangkan mengenai perang, pesta, makan dan pembikinan filem. Perbincangan persidangan sekarang yang berlangsung sudah jauh menyimpang dari agenda asal untuk mewujudkan perdamaian. Penyimpangan niat menimbulkan rasa kecewa di hati Sarjana Rohani. Beliau telah mengasingkan diri dari persidangan tersebut. Melihat suasana tersebut, Abdul Al sekali lagi ketawa, ketawanya itu menimbulkan kemarahan Timor Leng dan anggota persidangan , akhirnya Abdul Al telah didera dan diseret keluar dari dewan persidangan tersebut.

3 Februari - Persiapan pementasan filem oleh Martin di Abuhaul berjalan lancar. Setiap anggota konfrensi diberikan watak yang bersesuaian.

Bab : Kembali ke langit

4 Februari - Kleopetra telah berbincang dengan Sarjana Rohani mengenai ketidakpuasan hatinya terhadap Antonius. Menurutnya, Antonius telah mencemarkan nama baik mereka dari dunia alawi. Kata-kata Kleopetra telah disambut sini oleh Sarjana Rohani. Menurutnya kesemua mereka yang menghadiri majlis persidangan lebih mementingkan cinta, pesta dan hiburan, kecantikan berbanding dengan niat asal majlis persidangan. Sarjana Rohani telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Timor Leng di atas nama persidangan perdamaian kerana pandangan yang diberikan olehnya dianggap mengancam majlis persidangan.

19 Februari - Melalui catatan Setiausaha, Timor Leng telah memberitahu anggota persidangan, Sarjana Rohani jatuh sakit dan sakit mental kerana tekanan kerja. Majlis persidangan telah bertukar fungsi dan bercampur aduk diantara pembikinan filem dan mencarikan perdamaian. Anggota persidangan sudah berpecah kepada dua puak iaitu mereka yang menyokong Sarjana Rohani dan Timor Leng.

6 Mac - Kumpulan persidangan perdamaian telah berubah fungsi. Setiap hari mereka asyik berbincang mengenai pembikinan filem ‘Ikhnaton’. Kumpulan Ketua Persidangan yang digulingkan oleh Timor Leng telah merancang satu misi untuk menyelamatkan Sarjana Rohani. Majlis Persidangan perdamaian telah ditunda sekali lagi, Kleopetra, Timor Leng dan Antonius telah dihantar pulang oleh Sarjana Rohani ke alam alawi melalui pesawat awan lembayung. Menurut Abdul Al , persidangan tersebut banyak memberikan pengajaran kepada masyarakat.
Setelah majlis persidangan ditunda, masih lagi terdapat seorang anggota persidangan yang baru sampai untuk menghadirinya iaitu Nuruddin Bey, wakil Mesir.


3.0 Pengenalan Kesusasteraan Islam.

Perbicaraan tentang sastera Islam telah mula dibincangkan dikalangan sarjana tempatan. Bagaimanapun, perbicaraan mengenai sastera Islam oleh kebanyakan ahli sastera di negara ini sehingga kini tidak menunjukkan perubahan yang besar kehadirannya. Terdapat pelbagai teori Kesusasteraan Islam yang diperkenalkan di Malaysia seperti Dr. Shafie Abu Bakar dengan Teori Takmilahnya, Mohd. Affandi Hassan dengan Teori Persuratan Baru/Pendekatan Tauhid, Mohd. Yusof Hassan dengan Teori SPB4L, Hashim Awang dengan Teori Pengkaedahan Melayu (yang dikatakan turut mempunyai nilai keislamannya kerana berkait-rapat dengan orang Melayu), serta Mana Sikana dengan Teori Taabudiyyah
Perbincangan awal tentang teori atau pendekatan kesusasteraan Islam adalah hadir melalui perdebatan hangat antara Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an berkenaan dengan konsep kesusasteraan Islam. Menurut Shahnon Ahmad, sastera Islam ialah sastera kerana Allah, dan berdakwah untuk manusia. Sementara hasil karya ini dihasilkan oleh orang Islam itu sendiri. Tetapi bagi Kassim Ahmad pula, beliau berpendapat, sastera Islam itu ialah sastera yang menyokong kebaikan, tetapi tidak ditentukan siapa penulisnya. Hal ini bermakna, karya sebegini juga boleh dihasilkan oleh penulis yang bukan Islam pun.
Rahman Shaari, telah mendefinisikan sastera Islam sebagai sastera yang mengambil Islam sebagai penyelesai masalah. Menurutnya lagi, semua orang ada masalah dalam hidup ini, kerana itu, apa yang berlaku di dalam dunia sastera ini adalah peniruan kepada apa yang berlaku di luar sana. Terdapat dua jalur kepengarangan yang berkaitan dengan pengamalan sastera Islam. Jalur pertama ialah dengan mengambil sastera sebagai alat untuk memahami manusia. Hal ini dapat dilihat melalui novel The Outsider karya Albert Camus. Watak utama dalam novel berkenaan jelas membelakangi hal-hal agama sebaliknya hanya bertindak memaparkan sikap atau tingkah-laku manusia sahaja. Hal ini tergambar melalui watak utamanya yang tidak mengambil endah tentang kematian ibunya sendiri, terutamanya sewaktu urusan pengebumiannya. Sementara jalur kedua pula ialah dengan menggunakan sastera untuk betul-betul berdakwah kerana Islam. Hal ini dapat dilihat dalam karya-karya Sasterawan Negara Abdullah Hussin seperti novel Imam, novel-novel Aminah Mokhtar, Faisal Tehrani dan beberapa orang lagi.
Yusoff Zaky Yacob ( 1986:21) menyatakan sastera Islam sebagai salah satu cara dalam penyampaian nilai-nilai atau ajaran Islam yang berlainan dari tradisi keilmuan berasaskan literasi buku akibat pemisahan dan kegagalan generasi baru dalam menyerap tradisi keilmuan islam lama berdasarkan kitab-kitab tulisan jawi dan perkembangan bahasa yang pesat telah menghalang golongan agama dalam mengarang dan menulis buku berkaitan agama dengan menggunakan bahasa yang mudah. Penggunaan unsur-unsur sastera dalam menyalurkan dakwah Islam melalui cerita-cerita sejarah berdasarkan al-Quran dan al-Hadis dengan menggunakan bahasa yang begitu artistik dalam menyampaikan unsur dakwah. Sifat sastera Islam adalah adalah luas dan merangkumi seluruh kehidupan manusia seperti:
Mengambarkan konsep dan karya islam
Karya yang memancarkan sikap, motifiman dan takwa dalam pergolakan hidup manusia menentang kebejatan, tahyul dan khurafat
Karya yang mengambarkan detik-detik keluhuran antara manusia dengan khalidNya
Karya yang mempotretkan pengembaraan manusia mencari kebenaran
Penembusan cahaya keimanan dalam menembusi kehidupan yang bejat dan fasik
Kesedaran, keinsafan, kemesraan, kecintaan kepada objek yang benar , indah dan murni
Rasa kecintaan terhadap ketuhanan yang murni

Sastera Islam, sastera yang bersifat dakwah dalam menyampaikan dan penerapan nilai-ilai pandangan hidup yang luhur dan abadi yang telah ditentukan oleh Allah dan memenuhi kepentingan kerohanian dan jasmaniah yang bersifat membimbing dan memimpin. Sifat yang paling nyata sastera Islam, melahirkan keinsafan , kesedaran dan keluhuran jiwa kepada pembaca .

S.Othman Kelantan ( 1987:74 ) pula menyatakan konsep kesusasteraan Islam ialah satu bentuk kesusasteraan yang menggunakan bahasa sebagai visi untuk mengambarkan cita-cita keislaman , penerapan nilai-nilai pengajaran al-Quran, al-Hadis dan sunah Rasulullah SAW sebagai hasil interpretasi al-Quran dan Hadis.

Shahnon Ahmad ( 1993:477), kesusasteraan Islam adalah dicipta kerana Allah dan untuk manusia dapat memberikan keyakinan kepada seseorang dalam berkarya bahawa apa yang diperintah oleh Allah S.W.T untuk kesejahteraan dan kebahagian manusia.
Jika diambil pengertian atau definisi umum tentang sastera Islam, iaitu sastera yang menulis tentang kebaikan, di negara kita ternyata bukan sedikit karya sastera yang seperti itu. Baik novel, cerpen, sajak mahupun naskhah drama. Lebih-lebih lagi jika seseorang penulis itu sendiri mempunyai latar belakang pendidikan agama.
Teori hanya satu garis panduan atau kerangka contoh yang dicipta untuk rujukan semata-mata. Hal ini bermakna, jika seseorang itu menulis dengan berpaksikan kepada teori semata-mata untuk melahirkan sebuah karya sastera Islam, ia masih belum mampu dan memadai untuk melaksanakan konsep dakwah yang sebenar kerana pengarang masih berada di luar jalur pelaksanaannya. Seorang pendakwah, seharusnya berada di dalam, atau dalam bahasa yang paling mudah, beliau sendiri seorang pendakwah sejati, yang menggunakan medium sastera untuk menyampaikan maksud dakwahnya.
4.0 Teori Pengkaedahan Melayu
Teori Pengkaedahan Melayu merupakan salah satu pendekatan analisis teks yang berasaskan islam yang diperkenalkan oleh Profesor Dr. Hashim Awang, Menurut Hashim Awang ( 2002:1 ), teori ini termasuk ke dalam golongan teori yang dikenali sebagai grounded theory atau “ teori beralas/ berlandas” yang terbentuk dari hasil penyelidikan bersifat kualitatif, iaitu di dalamnya terbangun rumusan atau formula yang berupa prinsip-prinsip umum tentang karya atau teks sastera dan amalan-amalan yang berkaitan dengan kesusasteraan Melayu.

Teori ini dilahirkan dengan bertunjangkan kepada dua dasar pengkaedahan utama, iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Dengan berpandukan kepada tanggapan terhadap alam melalui perspektif budaya bangsa Melayu dan juga agamanya sendiri, maka pembentukan Pengkaedahan Alamiah dapat diwujudkan dalam tiga rangkaian pendekatan, iaitu Pendekatan Gunaan, Pendekatan Moral dan Pendekatan Firasat. Pendekatan Gunaan melihat karya sastera sebagai suatu objek atau benda ciptaan dalam alam yang juga merupakan suatu kejadian yang mempunyai sebab, hikmat, fungsi, tujuan, ukuran dan imbangan. Malah karya sastera yang dicipta oleh pengarang dengan keizinan Allah, paling utama diteliti dari sudut kegunaan atau kemanfaatan penghasilannya yang dapat diberikan kepada pembaca atau masyarakat, baik dilihat pada tahap ekstrinsik mahupun intrinsik. Dengan kata lain, karya sastera dapat ditanggapi sebagai alat yang boleh memberi guna kepada manusia dan kehidupannya pada kedua-dua peringkat zahir dan batin.

Pendekatan Moral pula dikaitkan dengan karya sastera sebagai suatu penciptaan seni yang menyingkapkan dan menyumbangkan pengalaman serta pengetahuan. Pengalaman yang tersingkap adalah pengalaman pengarang yang dirakamkan atau dipaparkan dalam karya sastera, yang terdiri daripada pemerian mengenai pelbagai ragam atau jenis dan perlakuan serta perbuatan manusia yang dapat pula memperkayakan pengalaman dan juga menjadi cermin perbandingan atau pengibaratan kepada pembaca. Tegasnya, dari karya sastera, pembaca bukan sahaja dapat menimba dan memperkayakan pengalaman serta pengetahuan, tetapi juga mengambil contoh tauladan atau kias ibarat untuk memperbaiki serta mempertingkatkan kehidupan.

Pendekatan Firasat ialah pendekatan yang ditunjangi oleh tanggapan bahawa karya sastera merupakan suatu kejadian alam yang merakamkan dan memanifestasikan pengalaman hidup yang penuh dengan daya kemisterian dan keimaginatifan dan dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai bermakna kepada kehidupan. Ia perlu diberi perhatian untuk menemukan makna atau pengertiannya,seperti mentafsir makna mimpi (ta’bir), iaitu proses menemukan makna menerusi tafsiran lambang atau alamat tertentu yang wujud di dalamnya. Sastera adalah kejadian alam yang mempunyai makna atau pengertian yang penemuannya itu hanya dapat dilakukan menerusi proses ta’bir atau tafsiran.

Pengkaedahan Keagamaan, iaitu suatu pendekatan yang berdasarkan kepada keimanan yang bersendikan aqidah agama Islam. Pengkaedahan ini wujud berdasarkan kepada agama Islam sebagai agama anutan masyarakat Melayu. Rujukan paling utama adalah Al-Quran dan Hadith. Dari pengkaedahan ini maka wujudnya tiga pendekatan, iaitu Pendekatan Dakwah, Pendekatan Kemasyarakatan dan Pendekatan Seni.

Dalam Pendekatan Dakwah, melihat karya sastera sebagai suatu wadah atau saranan untuk mempertingkatkan nilai ketakwaan seseorang insan terhadap Allah. Sastera ditanggapi sebagai mengandungi persoalan-persoalan yang memaparkan pengisahan tentang sifat-sifat kemuliaan dan ketinggian Allah sehingga ia dapat dijadikan semacam ’kitab’ yang darinya pembaca dapat mengenali dan menghayati dengan lebih dekat dan khusyuk tentang diri dan sifat Allah yang demikian bertujuan menambahkan dan mempertingkatkan rasa kecintaan dan kehormatan manusia yang lebih besar dan suci terhadap-Nya.

Pendekatan Kemasyarakatan pula melihat karya sastera sebagai wadah tempat pendedahan segala macam persoalan yang berakarkan kepada tujuan-tujuan memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada masyarakat seperti yang dituntut oleh Islam. Sebagai suatu hasil seni yang mengutamakan keintelektualan dan keindahan, karya sastera dalam konteks ini bersesuaian untuk mendedahkan dengan berani, jelas dan benar permasalahan-permasalahan tentang kemungkaran, ketidakadilan, kepura-puraan, kerasuahan, penipuan dan penindasan, iaitu permasalahan-permasalahan yang dianggap sebagai punca kepada berlakunya kepincangan masyarakat dan keruntuhan iman umat Islam.

Pendekatan Seni pula pendekatan yang memberi penumpuan kepada aspek-aspek keindahan dalam karya sastera, iaitu keindahan yang membataskan dirinya kepada nilai-nilai etika yang tunduk kepada akidah dan ajaran suci Islam. Dilihat dalam ajaran dan amalannya, Islam memang mengutamakan kebenaran dan keindahan. Penghasilan karya sastera juga merupakan suatu amalan yang turut dituntut supaya membentuknya dalam acuan yang ada keteraturan dan keindahan, terutamanya keindahan yang memiliki nilai-nilai makna dan hikmah seperti yang terdapat pada keindahan alam semesta dari ciptaan Allah


5.0 Analisis teks Kleopatra dalam konperensi perdamaian oleh Mahmud Taimur berdasarkan Teori Pengkaedahan Melayu.

Mahmud Taimur berjaya mengungkapkan pelbagai persoalan yang terdapat dalam teks ini seperti unsur moral, kemasyarakatan, keagamaan dan sebagainya. Pengarang banyak mengemukakan unsur kasih sayang sesama makluk tanpa mengira ia manusia atau binatang, darjat atau pangkat. Sarjan Mutawali contohnya yang mahu memukul anjing yang menganggu majlis perdamaian telah dihalang oleh Timor Leng. Menurutnya adalah tidak wajar seekor anjing yang lemah, lapar dan tidak berdaya dianiayai sebaliknya memberikan perlindungan. Pengarang berjaya menggunakan perlambangan binatang sebagai alat untuk mengambarkan hubungan sesama manusia, antara golongan pentadbir dan rakyat jelata, miskin dan kaya .

Pendekatan Dakwah turut digunakan oleh Pengarang. Pengarang berjaya mewujudkan persoalan yang sering bermain difikiran masyarakat tentang kehidupan selepas mati dan hubungan antara mereka hidup dengan yang mati. Menurut pandangan Islam, hubungan saudara seagama tetap berterusan walaupun telah meninggal dunia seperti dikatakan oleh pengarang,
“saudara harus mengerti, bahawa ilmu pengetahuan moden dapat membuktikan , bahawa antara alam kita dengan alam akhirat, ya’ni alam arwah itu, telah ada hubungan yang konstan, hubongan yang sunggoh mena’jobkan, yang ta’ pernah terputus”.

Berdasarkan petikan di atas kita dapat memahami bahawa terdapat satu alam lain yang wujud selepas kematian. Hubungan ini amat mengagumkan dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana ia termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani dan segala keterangan mengenainya hanya dapat diketahui melalui wahyu. Dari segi dakwah, apa yang ingin dipaparkan oleh pengarang ialah segala amalan yang dilakukan di dunia akan diadili di akhirat, segala yang baik akan mendapat pahala dan segala kejahatan akan diberikan balasan azab neraka. Contohnya, Sarjana Rohani telah membawa ke dunia, Kleopetra dan Timur Leng untuk mengusahakan perdamaian di dunia. Kehadiran mereka telah memeranjatkan masyarakat dunia pada masa itu dan menimbulkan pelbagai polemik, sanjungan dan kesangsian. Perubahan sikap Timur Leng dari seorang yang bengis dan kasar kepada seorang yang baik dan alim seperti sikap menghormati tetamu menunjukkan satu perubahan diri dan penyesalan yang wujud dalam dirinya. Begitu juga dengan Kleopetra yang menolak perlawaan Julius Caesar, Antonius yang mengekori mereka untuk bersama-sama dengannya, walaupun pada amnya dunia tahu, hubungan mereka ibarat Romeo dan Juliet.

Pengarang juga turut membicarakan tentang persoalan roh dan hubungan dengan orang yang hidup dan mati. Anggapan umum bahawa roh seseorang yang telah meninggal dunia tidak seharusnya diganggu dan dibiarkan sahaja dengan keadaannya asalnya. Pengarang telah menyanggah pandangan masyarakat sejajar dengan perkembangan ilmu pendidikan telah mewujudkan satu hubungan yang konsisten antara yang hidup dengan yang mati. Hubungan alam roh dan manusia sebenarnya amat dekat dan rapat dengan manusia.

Selain itu juga pengarang juga membincangkan peranan otak dalam kehidupan manusia. Perbincangan tentang peranan dan fungsi otak yang berlaku antara Kleopetra dan Jeneral Zainal Yusuf Pasha yang digambarkan berdasarkan kejadian alam seperti tanah, laut dan sebagainya yang melambangkan keperibadian dan sifat manusia, baik, tenang, sabar, pemarah, jahat dan sebagainya. Otaklah yang mempengaruhi seseorang itu samada bersifat seperti seorang Nabi yang sentiasa mendapat rahmat dari Allah S.W.T atau bermoral rendah dan bersifat kebinatangan yang sentiasa mendapat kutukanNya. Penggunaan otak seeloknya dikawal dan berlandaskan syariat agar ia tidak menimbulkan kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain sebaliknya memandu manusia kearah kebaikan.

Sikap dan perlakuan manusia haruslah sentiasa berubah dalam menghadapi permasalahan hidup dan sentiasa berpegang kepada tali-tali Allah S.W.T sebagaimana yang telah termaktub dalam al-Quran dan diperkuatkan dengan hadis Rasullulah S.A.W yang mengatakan bahawa selagi manusia berpegang kepada al-Quran dan hadis, mereka tidak akan tersesat buat selama-lamanya. Justeru masyarakat dunia haruslah menjadikan dunia yang dihuni ini bebas dari sebarang peperangan selaras dengan hasrat masyarakat dunia untuk melahirkan perdamaian yang abadi.

Perwatakan Timor Leng berjaya digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang hebat dan taat kepada Allah S.W.T. Sejajar dengan tarafnya sebagai seorang yang dihormati dan berilmu, yang di bawa khas dari alam yang lain, Timor Leng mengimamkan sembahyang di masjid, tidak memberati hal keduniaan, selalu bertindak sebagai ‘pelindong si-lemah’. Peranan Timor Leng adalah sejajar dengan syariat islam yang menekankan amar makruf nahi mungkar. Pengarang menyarankan pembaca atau masyarakat dunia agar mencari kekayaan dan ilmu sepanjang hayat. Nikmat masa hendaklah dimanfaatkan dengan sempurna agar membawa kebaikan kepada diri dan masyarakat seperti yang diucapkan oleh Sarjana Bahasa Antarabangsa, ‘kemudaan yang masih jerneh! Sunggoh senang masa itu!...Gunakan-lah kesempatan muda-mu…’

Kleopetra dalam konperensi perdamaian berjaya mengambarkan masyarakat pada kini yang hidup dalam kepura-puraan. Dunia yang mementingkan diri, kekayaan, sanjungan, penipuan, dan sebagainya. Pengarang turut menyindir masyarakat dunia pada masa itu yang gagal menyelesaikan pertikaian sesama sendiri. Seringkali perbincangan yang dibuat berakhir dengan kegagalan sehinggakan terpaksa menjemput orang asing yang sudah meninggal dunia untuk membantu mengusahakan perdamaian dunia. Sarjana Rohani yang diberikan amanah oleh penduduk dunia untuk membawa Kleopetra dan Timur Leng yang terkenal dengan kejahatan mereka semasa hidup di dunia dahulu sebagai salah seorang peserta dialog perdamaian. Ini adalah sesuatu yang mustahil pada amnya kerana roh orang yang meninggal tidak boleh dipanggil kembali ke dunia realiti. Pengarang cuba mengubah pandangan dan tanggapan masyarakat bahawa perilaku seseorang itu akan berubah sejajar dengan usia dan masa. Begitulah yang berlaku terhadap Timor Leng dan Kleopetra. Semasa hidup dahulu, Timor Leng seorang yang kejam, bengis, pembunuh dan menyebabkan manusia menderita. Beliau telah berubah selepas meninggal dunia, menjadi seorang yang gigih menganjurkan perdamaian, warak dan sentiasa bersyukur kepada Allah S.W.T dengan mengerjakan pelbagai ibadat, menderma dan sebagainya.

Mahmud Taimur, pengarang Kleopetra dalam konperensi perdamaian berjaya melontarkan permasalahan sosial dalam masyarakat. Sikap masyarakat pada masa itu yang suka mengampu, memberi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dikalangan pemimpin menyebabkan negara atau masayarakat berada dalam situasi kacau bilau. Watak Ketua Konperensi, digambarkan sebagai seorang yang lemah, tidak berpendirian tegas dalam mentadbir konperensi dan selalu tunduk terhadap desakan anggota misalnya sewaktu mahu menghadiri majlis amal Organisasi Roti Hitam, menentukan jenis pakaian, pembatalan persidangan dan sebagainya sehinggakan Timor Leng mengambil kesempatan di atas kelemahan Ketua Konperensi, malah beliau telah mengetuai persidangan tersebut dan mengemukakan draf perdamaian tanpa merujuk Ketua Konperensi.

Di saat para perwakilan sibuk dalam mencari jalan perdamaian, terdapat segilintir masyarakat atau perwakilan yang hanya mementingan diri termasuklah Kleopetra, Timor Leng, Martin, Antonius, Sarjana Bahasa Antara Bangsa, Perwakilan Organisasi Roti Hitam dan Jeneral Mohamad Yusof Pasha. Mereka ini sibuk dan asyik maksyuk dalam mencari kekayaan diri seperti yang dilakukan oleh Martin, warga Amerika yang sentiasa menagih cinta dari Kleopetra sehingga tujuan utama persidangan tersebut tersasar jauh dari landasan. Pengarang telah berjaya mengaitkan permasalahan yang wujud dalam kelompok masyarakat pada masa itu.

Perbezaan pandangan dalam masyarakat menyebabkan dunia menjadi celaru dan semakin sukar bersatu. Perbezaan matlamat dan kepentingan menyebabkan persidangan perdamaian tidak dapat mencapai kata putus dan gagal membuahkan hasil dan saranan idea yang bernas. Contohnya kedatangan perwakilan Organisasi Roti Hitam untuk menjalankan misi kemanusiaan dengan memberikan bantuan makanan kepada masyarakat dunia pada amnya adalah satu pekerjaan yang baik tetapi dengan menggunakan cara yang bertentangan dengan nilai-nilai agama. Peserta konperensi perdamaian dijemput hadir meraikan majlis amal yang dihiasi dengan pelbagai acara yang jelas bertentangan dengan syarak. Disaat begini, pengarang berjaya mengambarkan keinsafan di hati Timor Leng yang menjauhi majlis amal tersebut dengan menghadiri dan menghayati pertandingan bacaan al-Quran di masjid Sultan Hassan. Menurutnya, peperangan yang berlaku di kalangan manusia adalah sesuatu yang tidak jujur dalam membunuh saudaranya, kerana peperangan tidak dapat melahirkan kasih sayang dan kemanusiaan. Pandangan ini sejajar dengan saranan al-Quran yang mengharamkan seorang muslim menumpahkan darah muslim yang lain .Dalam Hadis Rasullulah S.A.W juga menekankan tentang lima hak seorang muslim terhadap saudara muslim antaranya maruah, harta dan nyawa.

Selain daripada itu, pengarang mengkritik sikap dunia waktu itu yang sering memaksa doktrin mereka ke atas masyarakat yang lain dengan menganggap dasar kenegaraan mereka adalah yang terbaik dan wajar diikuti oleh masyarakat dunia yang lain. Hal ini digambarkan melalui sikap Martin yang mempengaruhi peserta konperensi perdamaian dengan menggunakan filem sebagai wadah perdamaian dan bersifat global berbanding dengan persidangan. Pemaksaan penerimaan doktrin oleh sesebuah organisasi yang dominan telah dianggap sebagai lambang demokrasi oleh masyarakat dunia waktu itu dan katanya ‘Kekuasaan akan mengambil kesemuanya dan itu dikatakan cara baru yang terbaik’.

Masyarakat dewasa ini amat mementingkan perkembangan dan kemajuan hidup yang berteraskan kepada ilmu pendidikan. Kemajuan pendidikan dan sumbangan cerdik pandai telah mewujudkan dunia yang harmoni dan bersatu namun masih ada pemimpin yang menyalahgunakan kebijaksanaan dan ilmu untuk kepentingan dan kepuasan diri. Sokongan masyarakat terhadap pemimpin yang diibaratkan sebagai Nabi untuk membawa manusia ke arah kebaikan telah melahirkan satu corak pemikiran yang baru dan dianuti oleh manusia. Keberkesanan pendidikan dan pengajaran yang diberikan telah berjaya melahirkan satu generasi baru yang mempunyai nilai-nilai yang baik.

Kehidupan masyarakat yang menghormati dan memuliakan tetamu. Kedatangan Kleopetra dan Timur Leng ke majlis Konperensi Perdamaian disambut dengan penuh kemeriahan. Mereka telah menempatkan Kleopetra di Abulhaul Manakala Timor Leng di Masjid Sultan Hassan. Sifat memuliakan tetamu merupakan sikap yang terpuji dikalangan masyarakat arab dan dituntut oleh Islam.

Selain daripada itu, pengarang turut memaparkan tentang penerimaan masyarakat terhadap sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan sedangkan bertentangan dengan nilai keagamaan dan norma kehidupan bermasyarakat. Penggunaan minuman keras dan rokok dikalangan masyarakat barat yang telah berdarah daging menyebabkan ia sukar untuk dibasmikan waalupun banyak membawa keburukkan dari kebaikkan, malah kerana kepentingan induvidu, ia terus diangkat sebagai lambang kemewahan masyarakat dan alat meraikan kejayaan. Janaan budaya barat terutama dari Amerika Syarikat telah banyak mempengaruhi masyarakat dunia pada masa itu yang menganggapnya sebagai lambang ‘keberanian dan berfikiran sihat’. Budaya dan cara hidup barat adalah amat bertentangan dengan nilai dan cara hidup seorang muslim yang wajib berlandaskan al-quran dimana dalam Islam jelas mengharamkan pengikutnya minum minuman yang memabukkan dan memudaratkan diri.

Kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran dan dugaan memerlukan sesorang itu bersifat waja, rajin, berani dan sentiasa mendampingi agamanya. Kelekaan manusia menyebabkan manusia terjerumus ke lembah peperangan dan kehinaan untuk memenuhi tuntutan nafsu yang tiada penghujungnya. Masyarakat sebegini, bukanlah sebuah masyarakat yang berani sebenarnya seperti yang dikatakan oleh Pemilik Gudang sewaktu bersama dengan Martin dan Kleopetra semasa membicarakan minuman keras dan rokok yang mencandui dunia pada masa itu.
Perubahan kearah kebaikan bukanlah sesuatu yang mudah ibarat menukar kain atau pakaian seharian. Perubahan ke arah yang lebih baik melibatkan keseluruhan jiwa dan cara hidup. Pengarang telah mengkritik masyarakat waktu yang berpakaian seperti Arab dan melambangkan keislaman, sedangkan tindakan dan cara hidup seharian mereka penuh dengan kebatilan. Berjubah, berserban tebal dan mengenggam butiran tasbih yang besar seolah-olah seorang yang berilmu dan warak pada zahirnya tetapi tidak mengamalkan sifat dan cara hidup yang sebenarnya berpandukan Al quraan dan hadis. Sedangkan seorang Muslim Mukmin yang sejati dan sempurna imannya ialah mereka yang mengikrarkan dengan lidah, mengakui dengan hati dan melaksanakan dengan amal perbuatannya.

Selain daripada itu, pengarang turut menyelar sikap para ilmuan dan pemimpin yang dipilih. Pemimipin yang dipilih tersebut lebih mementingkan hal yang remeh temeh dan mengutamakan kepentingan diri. Kleopetra contohnya yang di bawa khas oleh Sarjana Rohani untuk membantu mencari perdamaian masyarakat dunia lebih mengutamakan hiburan, keramaian dan pembedahan hidung. Begitu juga dengan Sarjana Bahasa Antarabangsa yang mementingkan tidurnya, Vodka dan makanan. Semua perlakuan ini mendapat reaksi dan jelak masyarakat marhain yang diwakili oleh Abu Al.

Abu Al beberapa kali tergelak memikirkan perlakuan pemimpin yang gagal mendapat kata sepakat mengenai pekara yang remeh seperti istilah perang, memakai pakaian apa untuk menghadiri majlis amal dan sebagainya. Perlakuan Abu Al telah mendedahkan tembelang sebenar para pemimipin yang diakui oleh dunia, apabila teguran dari masyarakat bawahan gagal diterima oleh golongan pemimpin seperti yang berlaku ke atas Timor Leng. Beliau menunjukkan amarah yang keterlaluan dan tanpa merasa belas kasihan menghukum Abu Al. Suasana ini jauh berbeza jika kita berfikir sebagai hamba Allah yang sentiasa tidak sempurna dan juga jika kita meneliti sirah pemimpin pada zaman para sahabat yang sentiasa menjaga kepentingan umat serta rakyat dibawah pimpinannya melebihi kepentingan peribadi. Maka tidak hairanlah pemimpin zaman para sahabat seperti Khulafa AlRasyidin diakui sebagai pemimpin terhebat dan wajar di contohi oleh pemimpin-pemimpin masa kini.

Sikap masyarakat dunia telah berjaya ditelanjangi oleh pengarang. Pengarang berjaya mengutarakan beberapa konflik kepimpinan seperti pemimpin yang mengabaikan amanah yang diberikan oleh masyarakat. Kleopatra dalam konperensi perdamaian banyak menceritakan gelagat pemimpin yang lebih mengutamakan perut, darjat, hiburan dan cinta. Misalnya, Martin, Antonius, Jeneral Zainal Yusof Pasha dan Kleopetra terjerat dalam cinta segi, manakala Timor Leng sibuk dengan program kebajikan binatang dan orang miskin, begitu juga dengan Martin seorang warga Amerika Syarikat yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk kepentingan diri. Sikap Martin yang menjadikan majlis konprensi perdamaian sebagai medan untuk mendapatkan kekayaan dirinya amat dikesali.

Pengarang juga berjaya mendedahkan kegagalan masyarakat atau pemimpin dalam memilih pemimpin yang berkualiti. Kegagalan dalam melantik pemimpin yang baik akan menyebabkan rakyat menanggung bahana. Penerimaan Martin oleh Majlis Konperensi sebagai salah seorang ahli perdamaian telah menyebabkan majlis tersebut bertukar menjadi sebuah pementasan filem ‘Ikkahanon’. Menurut Martin, perdamaian hanya dapat dicapai melalui filem sahaja, dan satu benda yang sia-sia mencarikan perdamaian yang tuntas didunia ini jika manusia hanya mementingkan diri sendiri sahaja.


Penggunaan pendekatan alamiah oleh pengarang telah berjaya mengambarkan tentang kehidupan masyarakat dunia pada masa sekarang ini. Menurut pengarang ‘sa-kuntum bunga ta’kan tampak indah benar, kalau tidak di-andam dan di-rangkai dalam bentok, dalam warna, dalam harum yang harmonis’ sebagai medium dalam menerangkan tentang kaitan dan hubungan sesama manusia, hubungan dangan pencipta iaitu al-Khalik. Bagaimanapun, hubungan antara manusia sesama manusia dan dengan al-Khalik tidak akan sempurna jika hambanya enggan mengakui dan tunduk kepada Allah. Kehidupan manusia tidak membawa apa-apa makna jika kehidupan lepas bebas tanpa terikat sebarang ikatan yang mana akhirnya akan mewujudkan sebuah masyarakat yang terumbang ambing. Hubungan manusia dengan al-Khalik seharusnya dihiasi dengan kepatuhan, kehambaan, pengabdian dan penyaksian kepada keesaan Allah dan kekuasaanNya.

Pengarang juga menganjurkan kepada masyarakat tentang kepentingan ilmu dalam sesebuah masyarakat. Orang yang berilmu disanjungi dan dihormati dan seringkali didambakan dalam mencari jalan penyelesaian. Kedatangan Sajana Bahasa Antarabangsa ke konperensi perdamaian disambut dengan baik dan penuh penghormatan. Ilmu amat penting kepada manusia sebagai penyuluh hidup dan membimbing kejalan yang diredhai oleh Allah. Pengarang juga turut menyindir masyarakat yang terlibat dalam konperensi perdamaian, disamping menjalankan usaha kebaikkan, mereka juga turut terlibat dalam kemaksiatan seperti perjudian, penipuan dan tipu muslihat. Sikap Sarjana Bahasa Antara Bangsa yang sering mabuk menyebabkan konperensi tersebut tidak dapat dijalankan dengan lancar.

Saranan yang dilakukan oleh pengarang ini sejajar dengan penurunan wahyu pertama dan juga banyak hadis-hadis Rasulullah yang menekankan kepentingan yang menuntut ilmu. Kealpaan masyarakat dalam mencari ilmu agama menjadikan mereka terus hanyut dalam kesesatan. Masyarakat waktu itu hanya lebih mementingkan syiar dari pengamalan seperti monolog dalaman Sarjana Bahasa Antara Bangsa, ‘Sunggoh indah menara2 yang mencakar langgit itu, sa-akan2 hendak melepaskan diri dari segala kekotoran bumi ini dan dari segala dosa manusia ….Tetapi kenapa tidak beresuara’.

Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu atau sesuatu kaum jika dirinya sendiri tidak berusaha merubah dirinya. Begitu jugalah yang berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat pada masa itu. Pengarang menyorot kembali sikap manusia yang selalu alpa dan suka berfoya-foya. Antonius contohnya selalu mengambil kesempatan dengan kelekaan konperensi perdamaian. Beliau selalu berfoya-foya dengan Flora dan Janet pekerja Martin. Pengarang mengutarakan persoalan, bahawa sukar bagi seseorang itu untuk berubah walaupun masa telah beredar. Begitu jugalah dengan Antonius, seorang individu yang datang ke dunia secara kebetulan tanpa di undang dari alam kematian, masih lagi tiada perubahan dalam hidupnya, sejak dari dulu sehinggalah ia kembali ke dunia.

7.0. Rumusan.
Perkembangan sastera arab moden banyak membincangkan isu semasa sebagai satu medium dalam menghasilkan sesuatu karya. Keprihatinan dan keupayaan pengarang dalam menggunakan isu semasa berjaya membentuk satu masyarakat yang bermoral. Semuanya berbeza dengan karya barat yang bersifat realistik dan hipokrit dalam mempamerkan sesebuah karya. Keupayaan pengarang menghasilkan pelbagai karya dengan melihat pelbagai perspektif kemasyakatan menyebabkan sastera arab atau sastera islam amat berbeza sama sekali dengan sastera barat yang lebih mementingkan karya berbanding nilai-nilai kemanusian. Sastera Islam seharusnya jujur mengolah pelbagai isu agar dapat melahirkan satu momentum yang membawa kepada perubahan minda masyarakat agar menginjak potensi ruhani dan jasmani ke noktah yang lebih diredhai Allah dan berusaha memperdalam iman hamba mencintai pencipta. Melalui penggunaan pendekatan Pengkaedahan Melayu yang berteraskan Islam, kaedah ini berjaya menyelongkar pelbagai persoalan masyarakat dan dunia amnya yang cuba dikemukakan oleh Mahmud Taimur. Keupayaan pengarang dalam menyampaikan mesej menjadikan karya ini amat sesuai untuk diangkat sebagai sebuah karya sastera yang berteraskan Islam.
Sumber

Hashim Awang, Dato’, 1993, Pengkaedahan Melayu dalam kajian dan kritikan kesusasteraan tanah air, Dewan Sastera, Januari 1993
Mahmud Taimur, 1966, Kleopatra dalam konperensi perdamaian, Pustaka Nasional, Singapura

Rujukan
Al-attas, Syed Muhammad Naquib, 1970, Islam faham agama dan asas akhlak, Kuala Lumpur , ABIM.

Achmad Atho’illah Fathoni, 2007, Leksikon sasterawan Arab moden: biografi dan karyanya, Yogyakarta, Indonesia

Hashim Awang, 2002, Pendekatan pengkaedahan Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Mana Sikana (peny.),1997,Teori Sastera dan Budaya dalam Kajian Akademik, Bangi: Jabatan
Persuaratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rahimin Affandi Abd. Rahman,2000, Kebudayaan Melayu dan Islam di Nusantara: Suatu analisa pengkaedahan dalam Seminar hukum Islam semasa peringkat kebangsaan ( ke-3: 7-8 November, Kuala Lumpur)

Ranofla Dianti Irwan, “Sekitar perbahasan teori sastera Melayu”, dlm. Berita Minggu, 14 Julai 2002.

Samsina Abdul Rahman,2005, Pentakmilahan pengkaedahan Melayu dan pengaplikasiannya dalam genre puisi dalam Hajijah Jais dan Muhammad Ikhram Fadhly Hussin ( selenggara), Seminar teori dan kririkan serantau, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahnon Ahmad, 1981. Kesusasteraan dan etika Islam, Kuala Lumpur, Fajar Bakti.

Shanon Ahmad,1986, Kebudayaan Islam dan hubungan dengan kebudayaan nasional dalam Mahayudin Yahaya (Haji), Islam dan pembangunan negara, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shahnon Ahmad, 1993, Sastera sebagai seismograf kehidupan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

S. Othman Kelantan,1986, Sumbangan para intelektual Islam di Malaysia terhadap pembentukan kebudayaan dalam Ismail Hussein (seleng), Sastera dan agama, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tajul Arif Mohd Yusof, 2006, Persoalan masyarakat dalam novel terpilih Singapura: tinjauan pengkaedahan Melayu dalam Mana Sikana (penyunting), Sastera:memeluk akar menyuluh ke langgit, Jabatan bahasa dan budaya Melayu, Insititut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Yusoff Zaky Yacob,1986, Menyuburkan sastera Islam di Malaysia dalam Mahayudin Yahaya , Islam dan pembangunan negara, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kertas persidangan.

Umar Junus, “Teori dan kreativiti: Problematik pengembangan teori Sendiri”, kertas kerja yang dibentangkan dalam Kolokium Membina Teori Sastera Sendiri, anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur di Hotel The Summit, Subang USJ pada 6 – 8 Disember 1999.

Md. Salleh Yaapar, “Teori Sastera mandiri dalam perkembangan globalisasi”, kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Kritikan Sastera Melayu Serantau, anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur di Hotel Parkroyal, Kuala Lumpur pada 24 – 26 September
2001.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan