Jumaat, 15 Mei 2009

Pe,belajaran kesusasteraan Melayu: Mengapa bermasalah?

Pembelajaran Kesusasteraan Melayu : Mengapa bermasalah ?.
Rosli Abd. Manas

Abstrak.
Pengajaran matapelajaran Kesusasteraan Melayu dikalangan pelajar tingkatan Enam seringkali menimbulkan pelbagai polemik dikalangan guru dan pelajar. Penawaran matapelajaran ini dipandang serong oleh sesetengah pihak kerana tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding mata pelajaran sains, ekonomi dan perdagangan. Ekorannya pelajar yang mengambil mata pelajaran kesusasteraan dianggap sebagai pelajar kelas dua dan tidak berupaya mengangkat martabat sekolah serta diibaratkan melukut di tepi gantang. Kegagalan dan kelemahan guru yang mengajar sastera di tingkatan enam secara tangkap muat seakan-akan mengiakan tanggapan selama ini. Kegagalan guru dalam mempelbagaikan teknik dan kaedah pengajaran sastera mempengaruhi percapaian pelajar dalam peperiksaan sebenar. Penulis cuba menyelusuri permasalahan yang dihadapi dan menyarankan beberapa dasar bagi merungkaikan dan memartabatkan kembali

Pengenalan.
Pengajaran kesusasteraan yang dilaksanakan disekolah –sekolah di peringkat STPM yang diuji berdasarkan kertas 1 ( 922/1) dan Kertas 2 ( 922/2 ) oleh majlis Peperiksaan Malaysia. Mutu percapaian pelajar dalam peperiksaan awam yang dikaji seringkali menimbulkan keresahan dalam kalangan guru yang terlibat. Walaupun ramai yang beranggapan pembelajaran mata pelajaran kesusasteraan Melayu adalah merupakan satu subjek yang mudah, tetapi seringkali anggapan tersebut tersasar jauh dari anggapan umum.

Penawaran pembelajaran sastera diperingkat sekolah sentiasa relevan sepanjang masa. Pembelajaran sastera merupakan asas dalam menyemaikan sebuah masyarakat yang berbudaya, jati diri dan membentuk sebuah negara yang yang berindentiti Malaysia. Dengan kata lain peranan sastera yang diajar di sekolah melalui kurikulum sastera adalah merupakan roh dan jasad dalam melahirkan sebuah masyarakat yang sempurna roh dan jiwa melalui teks pengajaran yang digabungjalin. Namun seringkali keluhan yang dilemparkan oleh kalangan pendidik dengan mutu pelajar yang mengambil sastera menyebabkan peranan, fungsi dan matlamat melahirkan sebuah masyarakat yang madani berteraskan sastera ibarat telur separuh masak, tidak tercapai objektifnya.

Hasil daripada tinjauan rambang dan temu bual secara tidak formal antara pengkaji dengan guru dan pelajar secara rawak mendapati kebanyakan guru menggunakan beberapa kaedah pengajaran kesusasteraan Melayu (selepas ini disebut sebagai sastera ). Hasil tinjauan mendapati guru lebih gemar menggunakan beberapa kaedah seperti kuliah, perbentangan, memberikan nota dan latihan berpandu. Corak pengajaran seperti ini kebanyakan digemari oleh kebanyakan guru kerana memudahkan proses pengajaran tanpa ada gangguan. Penggunaan buku teks secara minimun menyebabkan pelajar tidak dapat menghayati nilai-nilai estetik yang terdapat didalam karya sastera. Pelajar tidak dapat menajamkan pemikiran dan merangsang minda imaginasi. Apa yang tinggal ialah teks sastera yang kaku dan membosankan ekoran kegagalan pelajar memahami sastera yang penuh dengan emosi seperti berasa seram, sedih, pilu dan gembira.

Penggunaan kaedah perbentangan kebiasaannya digunakan oleh guru terhadap kelas yang berupaya mengakses dan mengumpul maklumat terutama bagi kelas-kelas utama yang berada dalam kategori yang terbaik. Bagi matapelajaran sastera, ini adalah sesuatu yang mustahil, penawaran subjek ini dikecualikan kepada pelajar yang baik, sebagai galangnya, pelajar yang lemah dalam 3M ditawarkan matapelajaran ini. Suasana ini telah menimbulkan konflik antara guru dengan pelajar. Guru terpaksa mengejar sukatan pelajaran untuk dihabiskan pada masa sama terpaksa memberikan kefahaman terhadap pelajar yang lemah. Jalan keluar permasalahan ini, guru yang mengajar terpaksa memberikan nota dengan cara menulis di papan putih dan pelajar menyalin sepanjang masa. Teknik pembelajaran yang variatif dan inovatif dapat membangkitkan minat pelajar untuk belajar contoh penggunaan teknik interaktif yang melibatkan proses pembelajaran yang komunikatif, pelajar mempunyai peluang untuk meluahkan perasaan dan pendapat, serta wujudnya integrasi penggunaan ketrampilan berbahasa.

Terdapat sebilangan besar yang tidak membaca teks sebelum proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung. Permasalahan ini bukan sahaja berlaku terhadap pelajar menengah rendah atau menengah atas tetapi melibatkan pelajar pra universiti dan hanya bergantung terhadap analisis teks. Kelemahan pelajar telah menyumbang kepada penurunan percapaian prestasi. Hasil dari temubual pelajar secara tidak formal, mengatakan jumlah teks yang banyak dan tebal, menyebabkan mereka sukar memahami apa yang dibaca terutama konsep-konsep atau istilah sastera yang terdapat dalam teks terbabit. Memang tidak dinafikan terdapat beberapa buah teks yang diajar pada peringkat menengah atas ,berat, sukar difahami, dan tidak sesuai untuk khalayak remaja. Karya-karya yang sebegini menyebabkan guru-guru pening dan tidak dapat membantu menarik minat remaja remaja terhadap sastera, malah akan membuatkan mereka cuak terhadap sastera. Kesannya, pelajar lebih suka membaca buku ulasan kerana pelajar merasakan seperti dipaksa mempelajari sastera.

Corak pengajaran yang membosankan yang bersifat konvensional, bercorak sehala merupakan salah satu penyumbang kepada kelemahan pelajar. Penggunaan sistem kuliah, guru membaca dan pelajar menyalin nota menyebabkan tidak wujud percambahan ilmu disebabkan sikap pelajar yang pasif. Pelajar yang terlalu bergantung kepada guru dalam mendapatkan input pembelajaran ditambahi lagi dengan pemilihan teks yang pelbagai mengikut zon menyebabkan tidak wujud keseimbangan teks yang berkualiti. Terdapat sesetengah zon memperolehi karya yang bermutu dan memenuhi kriteria struktural teks dan sebaliknya. Situasi ini menyukarkan guru untuk mengajar sastera disebabkan pemelihan teks kajian tidak mengambil kira latar belakang pelajar yang terdiri dari pelbagai peringkat. Pengajaran dan pembelajaran sastera berguna membina masyarakat Malaysia kerana dapat membantu pelajar mempertingkatkan kemahiran berbahasa dan menambahkan ilmu pengetahuan. Pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru melemahkan perkembangan potensi pelajar dalam proses pembelajaran. Ini mengakibatkan prestasi pelajar tidak mencapai tahap optimum. Jika diambil kira hasil peperiksaan sastera pada dekad 1990an, pelajar yang mendapat tahap cemerlang ialah 6-9% dan terus merosot dengan teruk pada tahun 2000 dengan 2.7% memperolehi kedudukan cemerlang.

Dasar kerajaan yang mengutamakan matapelajaran yang bersifat sains dan teknik 40:60 menyebabkan mutu pelajar yang mengambil mata pelajaran sastera seakan tidak bermutu. Dasar Pendidikan negara amat mempengaruhi minda rakyat/khalayak meminati karya sastera. Sistem pendidikan negara yang meminggirkan subjek sastera secara tidak langsung telah mewujudkan pengasingan antara aliran sains, sastera, dan teknikal. Pelajar yang cemerlang diletakkan dalam aliran sains/teknikal, manakala yang lemah dikelompokkan dalam aliran sastera.. Dari segi persepsi khalayak/pelajar dan di pihak penggubal dasar pendidikan negara, subjek sastera hanyalah untuk pelajar yang lemah atau dalam bahasa mudah untuk ‘pelajar yang tak boleh ke mana.’ Tiada pilihan, maka di situlah ditempatkan sehingga usia dan masa menjemput mereka. Di barat tidak terdapat satu tembok yang menghalang antara aliran sains dan sastera, kerana merea menganggap kedua-dua sistem adalah amat perlu dalam membentuk sebuah masyarakat.

Konsep pengajaran yang mengutamakan literasi dapat membantu pelajar dalam memahami pembelajaran sastera. Pengajaran berfokus peperiksaan menyebabkan pelajar merasa bosan dan tidak menghayati pembelajaran yang berlaku. Contohnya dalam pembelajaran puisi, pelajar hanya diminta menghafal kemudian meluahkan kembali apa yang diingati tanpa mengalami penghayatan. Langkah drastik dalam membina perubahan pengajaran dilihat sebagai satu langkah mewujudkan konsep pembelajaran yang lebih kondusif. Pengajaran berbantu komputer sebagai salah satu bahan bantu pelajar menguasai sastera terutama artikel-artikel atau petikan cerpen, novel dan sebagainya.

Cadangan dan saranan pengkaji.
Pengkaji juga telah mencadangkan beberapa kaedah pengajaran untuk digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang difikirkan bersesuaian. Bagaimanapun perlu diingat kaedah tidak semestinya sesuai sepanjang masa tetapi perlu dipelbagaikan mengikut keadaan. Antara kaedah tersebut seperti:

Secara semula jadi manusia mudah dirangsang dengan bunyi-bunyian, melalui penggunaan bahasa yang indah dan puitis seperti acara berbalas pantun, bersyair, bergurindam, berseloka dan sebagainya akan dapat melahirkan kemerduan puisi tersebut. Cara ini dapat melahirkan kelainan pengajaran secara tidak langsung dapat menarik minat pelajar terhadap proses pengajaran. Penggunaan corak pengajaran yang santai penuh dengan humor akan dapat menarik minat pelajar serta menjadikan kelas lebih menarik, ceria dan berkesan. Kesepaduan pengajaran humor dapat melahirkan pelajar dapat melahirkan pelajar yang cerdas dari IQ dan EQ. Guru yang mengajar sastera juga menggunakan corak pengajaran bersifat humor dengan mengaplikasi dalam pengajaran puisi, drama, novel dan cerpen. ( Abdul Ghani etc )

Safiah (1979) menegaskan minat membaca di kalangan pelajar berkait rapat dengan faktor pencapaian. Membaca teks sastera memerlukan cabaran-cabaran intelektual yang berbeza. Membaca teks bukan sahaja sekadar menikmati maksud yang tersurat, tetapi juga maksud yang tersirat di mana ia melibatkan penaakulan dan gerak hati. Keupayaan seseorang pelajar dalam mengakses maklumat secara kendiri atau memperolehi maklumat secara perkongsian akan dapat membantu meningkatkan percapaian pelajar. Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu 2005 yang menyarankan agar diluaskan lagi penggunaan teks dan tugasan sastera yang sesuai seperti sajak, sedutan novel dan penulisan kreatif serta persembahan drama sebagai bahan pengajaran Bahasa Melayu.

Berdasarkan kajian yang telah dijalan oleh Kathy (1994) membuktikan bahawa kekurangan bahan – bahan bacaan sastera yang terdapat dipasaran merupakan antara faktor yang mempengaruhi minat pelajar terhadap sastera. Beliau telah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah kelab atau persatuan membaca yang diharap dapat menggalakan pelajar membaca dengan menganjurkan pelbagai peraduan dan program yang memberikan sedikit saguhati terhadap pihak yang terlibat terutama pengarang atau penerbit dalam menerbitkan karya sastera yang seuai dengan umur pelajar. Selain itu penggunaan teknik baca kuat untuk menggalakkan pelajar membaca dan buku percuma diberikan kepada pelajar yang terlibat. Buku-buku bentuk rekreasi perlu ditambahkanuntuk menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar. Dalam memupuk minat membaca dikalangan pelajar, seharusnya ada galakan berbentuk motivasi intrinsik atau motivasi ekstrinsik

Kombinasi pengajaran kedua-dua media lebih bersifat saling melengkapi disamping membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai jati diri, mewarisi nilai, memahami sejarah dan menjiwai seni dalam budaya masyarakat kita serta mengekalkan keunikan identiti kita sebagai masyarakat Asia.

Tiada pengunaan teknologi dalam proses pembelajaran dan pengajaran sastera menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat yang tinggi terhadap mata pelajaran sastera. Penyediaan bahan yang banyak oleh PPK melalui e-bahan atau penggunaan ICT seperti capaian laman web tertentu seperti e-sastera, e-karya dan sebagainya akan dapat menarik minat pelajar terhadap sastera. Dewasa ini kebanyakan sekolah telah dibekalkan dengan kemudahan ICT memudahkan pelajar mengapai maklumat sesawang .

Kebijaksanaan dan keupayaan dalam menarik minat pelajar seperti menggunakan teknik melagukan puisi. Dengan menggunakan kecerdasan muzikal yang ada pada pelajar dengan melagukan sajak diiringi petikan gitar dan tiupan harmonika serta disesuaikan dengan latar belakang yang membantu proses mengapresiasi sajak. Hasilnya pelajar yang pada peringkat awalnya tidak berminat dan memahami sastera mula memahami dan mempelajari sastera apabila puisi dilagukan apabila pengajaran yang berpusatkan pelajar.

Perkongsian maklumat antara guru yang mengajar mata pelajaran sastera dengan guru-guru lain samada pada peringkat sekolah, zon atau negeri akan dapat membantu guru – guru yang baharu mengajar matapelajaran ini. Pertukaran idea yang berlaku sesama guru akan dapat membantu dalam penghasilan pedagogi yang lebih inovatif, menarik dan bersesuaian mengikut keperluan pelajar seperti yang terdapat dalam gurindam berikut:
Terbang pakai sayap, melompat pakai kaki.
Menyikat gunakan sisir, meraut gunakan pisau.
Membelah gunakan kapak, menebang gunakan beliung.
Menyalai gunakan asap, memanggang gunakan bara.
Menampi gunakan nyiru, mengayak gunakan tampi.
Menjahit gunakan benang, mengikat gunakan tali

Prettyman (1996), menegaskan daya kreativiti amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Peranan guru amat penting dalam membantu pemahaman dan penghayatan sastera dengan membuang anggapan bahawa pembelajaran sastera dalam kalangan pelajar adalah mudah difahami tanpa menyelusuri permasalahan yang dihadapi oleh pelajar dalam memahami sastera. Bimbingan dan dorongan guru adalah sesuatu yang amat penting dalam proses pembelajaran. Sistem persekolahan yang mementingkan peperiksaan menyebabkan guru dan pelajar tidak mempunyai masa yang banyak dalam mengaplikasi apa yang dipelajari. Kebanyakan guru akan memberikan fokus terhadap peperiksan yang keterlaluan menyebabkan pelajar merasa bosan. Kita semua percaya, sistem yang bersifat peperiksaan adalah baik dan merangsang pemikiran dan berkaitan logik tetapi berbeza dengan corak pembelajaran sastera lebih kepada membentuk insan yang seimbang. Menyedari permasalahan ini, teknik seperti “Wing Of Creativity” adalah bersesuaian dalam memupuk sifat kreativiti melalui sastera. Wheatley (1992) menunjukkan bahawa pembelajaran aktif dapat mempertingkatkan pemikiran dan tindak balas pelajar. Pelajar seharusnya diberikan peluang untuk membuat refleksi terhadap aktiviti yang dijalankan untuk pembentukan makna daripada pengalam

Kesimpulan.
Jatuh bangun matapelajaran sastera banyak bergantung kepada daya usaha guru di peringkat sekolah. Perubahan minda dan anjakan diri merupakan asas utama dalam membangunkan kembali zaman kecermelangan yang pernah dikecapi. Ingatlah, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan menyerahkan serta menyalahkan orang lain terhadap kelemahan tanpa mengambil usaha yang berterusan dalam mengangkat martabat sastera di kalangan masyarakat.

Biliografi.
Abdul Ghani Abdullah, Abdul rahman Abdul Aziz dan Abdul Rashid Mohamad, Humor dalam pengajaran., PTS.

Jeniri Amir : Sastera dalam pendidikan: perlu pemikiran semula, Dewan Sastera : Disember 207, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Shamsudin Othman, Menyuburkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, Dewan Satera, Disember 200, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Kathy, F. (1994). Developing and implementing a plan involving parents to improve
thereading interests of middle school students. ERIC ED 381754
Prettyman, E.P. (1996). Two methods of teaching English literature and students attitudes towards these methods. Dissertation abstracts, xxvi

Safiah Osman. (1979). Pembinaan minat membaca satu langkah merentasi Krisis pendidikan. Dalam Symposium On The Child In Rapdly Changing World. Kuala Lumpur.

Wheatley. G.H. (1992). The role of reflection in Mathematics learning. Educational Studies in Mathematics. 23: 529-531


Laman web.
1. http://www.moe.gov.sg/media/speeches/2007/sp20070529.htm
2. http://www.moe.gov.sg/media/speeches/2007/sp20070529.htm
3. .http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0120&pub=utusan_malaysia &sec=sastera&pg=sa_01.htm&arc=hive
4. http://www.esasterawan.net/esasterawan/1_weblogg.asp?uid=170&bid=8428
5. http://rampaiseri.wordpress.com/2008/06/30/sastera-mencorak-sifat-kreatif-kanak-kanak/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan