Selasa, 18 Ogos 2009

Panduan Menganalisa Aspek Cereka Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Pendahuluan.
Pengkaji cuba mengupas sejauh mana Penulis iatu Maimunah Hj. Omar dalam membicarakan membicarakan beberapa panduan dalam menganalisis sebuah cereka. Penulis telah membahagikan perbincangan kepada tiga bab. Bab 1, membicarakan tentang panduan umum dalam menganalisa sesebuah novel cereka berdasarkan tema , plot , watak dan perwatakan , sudut pandangan , latar , gaya bahasa , nada dan pemikiran yang terdapat dalam sesebuah novel.
Bab 2, Pembicaraan dikhususkan terhadap penganalisaan kesemua aspek cereka novel berdasarkan aspek yang dibincangkan di Bab 1 dengan menumpukan analisa terhadap novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Manakala Bab 3 pula mengisahkan pengkajian dan penelitian beberapa persoalan yang terdapat dalam cereka Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Sinopsis
Bab 1 membicarakan tentang beberapa aspek penganalisaan cereka berdasarkan tema dan ciri- cirinya , pendedahan tentang plot atau jalan cerita sebuah karya yang berfungsi menggerakan jalan cerita dari satu tahap ke tahap berdasarkan aksi watak. Watak pula adalah mengisahkan tentang aksi pelaku yang mengerakan plot dalam mengembangkan tema yang mahu disampaikan oleh penulis. Pengunaan bahasa dan gaya bahasa adalah merupakan satu cara pengarang menyampaikan karya kreatif dan berunsur dramatik dengan gaya bahasa tersendiri. Perbincangan mengenai latar dalam sesebuah karya merujuk perihal tempat dan masa yang terdapat dalam cereka dan membantu pembaca memahami cerita , peristiwa terjadi dan dimana berlaku.Bagi memastikan apa yang disajikan kepada khalayak dapat dirasai , pemilihan kata yang bersesuaian yang mengambarkan sikap dan perasaan pengarang melalui penggunaan bahasa. Aspek penganalisaan terakhir berdasarkan aspek pemikiran yang merujuk keseluruhan makna tersirat yang ingin disampaikan oleh pengarang .

Pada Bab 2 pengarang membicarakan tentang penganalisaan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur berdasarkan ciri – ciri yang dibincangkan sebelum ini iaitu;
a. Sinopsis
Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur mengisahkan tentang liku – liku kehidupan Encik Muhammad dalam menjalankan perniagaannya. En.Muhammad merupakan salah seorang dari pengarah sebuah firma perdagangan yang terkenal di Kuala Lumpur dan berkongsi dengan En. Tan serta Tan Sri Syed Aris. Encik Muhammad seorang yang bercita- cita besar dan telah membuka sebuah Ladang Orkid yang diuruskan oleh isterinya Cik Tipah dan merancang untuk membuka sebuah kawasan perlombongan di Lembah Tualang. Antara kampung terlibat ialah kampungnya sendiri iaitu Kampung Pulai.

Encik Muhammad menghadapi masalah dan rintangan dalam memajukan Lembah Tualang sebagai kawasan perlombongan. Beliau terpaksa membeli tanah orang kampung dan memindahkan mereka ke kawasan tanah rancangan felda. Pada masa yang sama masyarakat memandang serong terhadapnya setelah tersebar khabar angin mengatakan rancangannya memajukan Jeram Medang sebagai pusat maksiat.

Rahim, anak Encik Muhammad yang belajar di luar negara turut menentang cadangan bapanya dan menganggap sebagai seorang pemeras , tamak dan zalim. Bagi mendapatkan sokongan anaknya , En. Muhamamad cuba merapatkan Mahani anak Tan Sri Syed Aris dan akhirnya mereka berkahwin. En. Muhammad Yusof, Wakil rakyat Lembah Tualang telah membantu Encik Muhammad menyelesaikan masalah penempatan penduduk Kampung Pulau ke Tanah Rancangan Felda.

Masalah Encik Muhamad masih belum selesai apabila rancangannya turut diganggu oleh Lebai Maarup salah seorang penduduk di Kampung Pulai. Lebai Maarup merupakan seorang anak muda yang mempunyai tanah di situ dan tidak mahu menjualkan tanahnya, sebaliknya ingin mewakafkanya. Rahim anaknya berjaya memujuk ayahnya supaya bersetuju dengan cadangan Lebai Maarup dan sebagai pertukaran, Rahim bersetuju menjadi pengurus syarikat perlombongan bapanya.

Tema yang cuba dibangkitkan dalam novel ini berkaitan dengan kebangkitan bangsa Melayu di dalam bidang perniagaan . Pada masa yang sama wujud kebangkitan pergerakan dakwah Islamiah dikalangan generasi muda dari dalam dan luar negeri.

Plot novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur mempunyai lebih dari satu cerita yang ingin disampaikan oleh pengarang. Ceritanya mengenai cadangan En. Muhammad mengembangkan perniagaannya. Cerita kedua berkaitan perkembangan dan penerapan nilai – nilai islam yang dibawa Lebai Maarup , Imam Sahak dan lain- lain. Kepelbagaian plot yang digunakan pengarang menyebabkan ia tidak kronologi dan berlapis – lapis dan bercampur aduk dengan peristiwa lain . Struktur plot dalam novel ini bersifat moden yang terdiri dari lima tahap iaitu eksposisi , aksi menaik , klimaks , aksi menurun dan penyelesaian. Bagi memastikan cerita lebih menarik, Keris Mas telah memaparkan unsur konflik dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Konflik yang wujud dalam novel ini iaitu;
Konflik dalam diri watak yang diwakili oleh En. Muhammad dengan penduduk Kampung Pulai dan Konflik di antara Mahani dengan Rahim.
Konflik antara manusia dengan manusia contohnya Sudin dengan Mat Akil , Encik Muhammmad dengan Tauke Chan , Lebai Maarup dengan Mat Akil dan bebarapa watak lain.
Konflik antara manusia dengan Tuhan contohnya Ketaatan Encik Muhammad pada ajaran islam tetapi tidak mahu menerima cadangan Lebai Maarup mewakafkan tanahnya ke jalan Allah.

Berdasarkan analisa ke atas novel saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, pengarang telah berjaya mengambarkan watak Encik Muhammmad sebagai seorang yang berani , berpandangan jauh , berpendidikan tinggi dan berjaya dalam hidup. Watak Encik Muhammmad ini cuba digambarkan oleh Kris Mas mewakili satu golongan ahli perniagaan yang berjaya dilahirkan oleh Dasar Ekonomi Baru. Selain dari watak Encik Muhammad ia turut memaparkan watak lain seperti Jahid , Mahani , Rahim ,Lebai Maarup , Imam Sahak dan lain – lain.

Penggunaan bahasa dari aspek pengkajian terhadap novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur menggunakan sesuatu perkatan dengan lengkap, tepat, lancar dan berkesan. Penggunaan dan pemilihan perkataan yang sesuai berjaya mengambarkan watak yang terlibat.Penggunaan perkataan Inggeris seperti ‘ air con’,‘ supermarket’ dan sebagainya berjaya mengambarkan kehidupan masyarakat kota.

Latar yang digunakan dalam novel berjaya mengambarkan keadaan sebenar sesuatu tempat seperti Pekan Tualang , Kedai Bunga Flora , Jeram Medang , Rumah Besar Tepi Bukit dan sebagainya. Latar masa yang digunakan dalam novel ini berlatarbelakangkan tahun – tahun 70an dan 80an berdasarkan graduan yang senang mendapat kerja sebelum tamat pengajian. Kepelbagaian latar yang digunakan oleh Keris Mas menjadikan perkembangan cerita lebih menarik , tidak statik , mengambarkan sosial masyarakat pada masa itu disamping pembaca berupaya menyelami peristiwa yang berlaku seolah – olah dialami sendiri .

Keris Mas menggunakan pelbagai sudut pandangan dalam mengembangkan dan mengambarkan perwatakan dalam sesebuah karya. Penggunaan sudut pandangan orang ketiga, sudut pandangan serba tahu, sudut pandangan objektif, sudut pandangan neutral dan sudut pandangan terhad. Umpamanya Keris Mas menggunakan sudut pandangan orang pertama bagi tujuan pengkisahan manakala pada bahagian – bahagian tertentu menggunakan sudut pandangan yang lain bagi menimbulan kesan – kesan tertentu.

Pada bab ke tiga pengarang lebih menumpukan kepada pengkajian beberapa persoalan yang dikemukakan dalam sesebuah cereka. Contohnya persoalan yang berkaitan dengan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur seperti asas keagaman , adat resam , kemajuan , kekayaan dan sebagainya.

Kelebihan dan Kekurangan
Berdasarkan buku yang ditulis oleh Maimunah Haji Omar , ia akan dapat membantu seseorang dalam menganalisa sebuah cereka berdasarkan ,
1. Tema dan persoalan yang yang ingin diutarakan dalam sesebuah cereka.
2. Mengenalpasti penggunaan plot yang yang terdapat dalam sesebuah karya.
3. Dapat mengenalpasti latar masa , tempat , masyarakat , budaya dan lain – lain.
4. Penggunaan gaya bahasa dan pemilihan bahasa yang digunakan oleh pengarang samada bahasa asing, pemilihan perkataan yang sesuai , penggunaan ayat yang tepat berdasarkan frasa ayat , semantik dan penggunaaan unsur – unsur bahasa . Penggunaan unsur bahasa ini akan dapat menimbulkan kesan emosi ke atas pembaca.
5. Pengambaran watak dan perwatakan .
6. Pemikiran yang ingin diutarakan .


Faedah kepada pengkaji.
1. Dapat memahami dasar- dasar kerajaan dalam membangunkan ekonomi orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru yang diwakili oleh watak Encik Muhammad. ( Noor Azam , 1975 )
2. Melalui buku ini ia akan dapat membantu pengkaji memahami aspek – aspek utama dalam menganalisa sesebuah cereka.
3. Membantu pengkaji mengenalpasti mutu sesebuah cereka berdasarkan ciri – ciri yang harus ada pada sesebuah cereka.
4. Memudahkan pengkaji membuat analisa mengenai teks yang berkaitan cereka dan genre lain .
5. Pendedahan kepada pengkaji aspek cereka jika digunakan dengan baik akan melahirkan sebuah karya yang bermutu .

Penutup.
Pengarang telah mendedahkan beberapa aspek dalam menilai sesebuah cereka.Bagi menghayati sebuah karya kesusasteraan, pengetahuan tentang kaedah dan penulisan sebuah karya adalah amat berguna kepada pembaca. Pengetahuan tentang teori dapat membantu pembaca memahami isi tersurat dan tersirat. Pembicaran setiap komponen yang berhubungkait antara satu dengan yang lain telah membantu pengkaji dalam memahami garis panduan penilaian sebuah karya cereka.

Bibliografi.
Noor Azam , Persfektif , DBP , Kuala Lumpur ,1975
Keris Mas , Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka , Kuala Lumpur , 2003.
Sahnon Ahmad ,Konsep wira melayu moden dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Di dalam Siti Aishah Murad ( selenggaraan) ,Konsep Wira Dalam Sastera Melayu,Dewan Bahasa Dan Pustaka , Kuala Lumpur , 1993
Sohaimi Abdul Aziz , Novel dalam kritikan ,Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang, 2004.

2 ulasan:

  1. Wau ... bagus nya esei ni... sangat berguna utk calon STPM . Rugi depa tak masuk sini kan...

    apa pun...tahniah... suke lah esei ni.
    2 thumbs up !!

    BalasPadam
  2. ye betul... saya suka artikel ni... mungkin ada masa saudara bolehlah mengkritik karya saya yang bertajuk PAHLAWAN ADAMUS- SEBUAH FANTASI... ada di pasaran ( dapatkan di kedai buku MPH)..

    selamat membaca(iklan je.. hehhe)

    BalasPadam