Selasa, 11 Ogos 2009

Pemikiran Ketatanegaraan dalam Teks Nasihat al-Muluk

1.0 Pendahuluan.

Sastera adab atau kenegaraan adalah merupakan petunjuk kepada golongan raja – raja dalam mentadbir negara yang diterangkan secara naratif tentang panduan mentadbir negara berdasarkan contoh raja-raja zaman dahulu khasnya raja-raja dari zaman Timur Tengah (Harun Mat Piah, 2006 : 549). Sebelum kedatangan Islam, penduduk di Nusantara telah terdedah dengan kitab ketatanegaraan dari pengaruh agama Hindu seperti Pacantara dan masyarakat Jawa iaitu Paraton. Setelah kedatangan Islam ke Nusantara, kitab ketatanegaraan Islam telah mempengaruhi pentadbiran raja-raja seperti Taj a-Salatin, Bustan al-Salatin dan sebagainya.

Penulisan karya Nasihat al-Muluk ( Nasīhatul Mulūk ) oleh Imam al- Ghazali (1058-1111) kemungkinan besar dikarang untuk Sultan Ahmad Sanjar ibn Malekshah, pemerintah Dinasti Saljuq pada tahun 1099 seperti dicatat oleh Jalāluddīn Humāyī. Karya Nasihat al-Muluk mengandungi kisah-kisah raja zaman pre-Islam di Parsi terutama Anoshervān dan selepas Islam. Nasihatul Muluk telah disalin semula ke bahasa Arab dengan menggunakan tajuk al-Tibr al-masbuk fi nasihat al-muluk.

Secara umumnya karangan ketatanegaraan hampir menyamai karya “Mirror of Princes”. Dalam kalangan masyarakat Melayu kewujudan karya ketatanegaraan merupakan petanda kewujudan pengaruh kesusasteraan Islam dalam memberikan panduan kepada raja-raja yang memerintah dan hubungan antara raja dan rakyat khususnya amalan keadilan. Teks Nasihat al-Muluk telah dikarang bertujuan menegur sultan yang zalim supaya bersikap adil dan saksama dalam pentadbiran negara dengan diolah melalui cerita-cerita yang lain seperti kisah nabi-nabi, Khalifah al-Rasyidin dan cerita-cerita agama dicelah-celah cerita lain. Kearifan dalam teks ketatanegaraan ialah raja/sultan yang adil, saksama dan bertanggungjawab itu adalah tonggak pemerintahan yang aman dan sejahtera. Di sini, karya ketatanegaraan khusus itu diperlukan untuk menegur kelemahan raja, termasuk tertunduk kepada nafsu dan kegelojohan, lebih-lebih lagi mengetepikan nasihat dan pesan raja sebelumnya, walaupun kisah kejatuhan kerajaan yang dikaitkan dengan kezalimannya itu adalah kiasan dalam memberikan nasihat kepada raja. Dengan kata lain, pengarang masa dahulu merasa diri mereka bertanggungjawab untuk menegur raja supaya insaf dan membaiki kelemahan dirinya, selain dikehendaki mengarang karya yang indah untuk halwa telinga, Ini bermakna karya sentiasa bersifat diaktif, sebagai pedoman dan cermin untuk khalayaknya supaya berbuat baik bagi mengekalkan keharmonian masyarakat.

Siti Hawa Salleh (2006 : 42) menyatakan konsep kenegaraan atau kerajaan yang dibentuk adalah berkaitan dengan peribadi orang yang dilantik menjadi raja atau sultan sendiri. Raja diberikan perlukisan sifat dan tokoh yang menarik, saksama, bertanggungjawab, adil, tidak menganiayai rakyatnya dan namanya harum dikenali orang. Sifat-sifat yang baik seorang raja akan melahirkan sebuah kerajaan dan menarik rakyat dari kawasan lain untuk berteduh di bawah naungannya.

Perbincangan Nasihat al-Muluk.
Antara pemikiran yang terdapat dalam Nasihat al-Muluk dapatlah dibahagikan kepada beberapa bahagian, antaranya ;

2.0 Keadilan raja
Keadilan yang terkandung dalam Nasihat al-Muluk yang dikarang Imam al-Ghazali merupakan salah satu intipati utama. Menurut Imam al-Gahazali, keadilan seseorang raja merupakan kewajipan seorang pemerintah dan dituntut oleh Allah dan diberikan pahala di akhirat kelak. Berdasarkan sebuah hadis,

Dan sabda nabi alaihissalam, “Terlebih dikasih orang itu pada Allah taala dan terlebih hampir mereka itu segala raja-raja yang adil, dan terlebih dibenci akan mereka itu pada Allah taala dan terlebih jauh mereka itu dengan segala raja-raja yang aniaya.”
( Jelani Harun ( peny ) 2006 : 118 )

Menurut al-Ghazali, raja yang dilantik haruslah mempunyai sepuluh ciri untuk memastikan dirinya menjadi seorang raja yang adil dalam pemerintahannya. Ciri-ciri seorang raja yang adil berdasarkan pohon adil ialah mengetahui terlebih dahulu situasi kerajaan dan bahaya yang akan menimpanya, sentiasa menyukai majlis ilmu dan berbuat baik dengan alim ulama, tidak melakukan kezaliman terhadap rakyatnya, tidak sombong dan bermegah-megah dengan membesarkan diri, sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat, memenuhi hajat rakyat, tidak mementingkan nafsu syahwat, bertolak ansur melakukan sesuatu pekerjaan, bermuafakat dan yang terakhir jangan mengambil hak orang lain tanpa kebenaran ( Jelani Harun ( Peny), 2006 : 117 – 136 )

Nasihat al-Muluk bukan saja memperkatakan tentang keadilan seorang raja yang memerintah sesebuah negara tetapi juga memberikan nasihat. Menurut Imam al-Ghazali, raja hendaklah menjauhkan diri dari membuat kezaliman kerana boleh merenggangkan hubungan dengan rakyat jelata seperti dinyatakan oleh Imam al-Ghazali,

Bermula raja yang adil itu barang yang siapa adil pada antara segala hambanya, takut ia daripada aniaya, dan binasa. Dan raja yang aniaya itu celaka ia, tiada tinggal kerajaannya itu, dan tiada kekal. Dari kerana bahawasanya nabi sallallahu-alaihi wasssalam berkata,” Bermula kerajaan itu kekal ia serta kafir dan tiada kekal serta aniayanya.”
(Jelani Harun (peny), 2006 : 73 – 74)

Petikan Nasihat al-Muluk diatas menerangkan tentang sifat seorang raja mestilah seorang yang bersikap adil dan saksama dalam membuat sesuatu keputusan agar tiada orang yang teraniaya. Kesilapan dalam membuat keputusan akan menyebabkan sesebuah kerajaan akan mengalami kejatuhan. Menurut Siti Hawa Haji Salleh (2003 : 43), konsep ketatanegaraan mempunyai hubungan rapat dengan antara raja dengan rakyat. Kesalahan pentadbiran daripada pihak raja menyebabkan negeri yang diperintah akhirnya membawa kehancuran walaupun sebelumnya sebuah negara yang kuat.

Selain itu, Nasihat al-Muluk membincangkan peranan akal dalam Bab Enam. Menurut Imam al- Ghazali, pemerintah yang baik ialah pemerintah yang berakal dan menggunakan akal dalam membuat keputusan. Imam al-Gahazali turut mengisahkan kemuliaan akal dan berakal dengan mengemukakan kisah Khaifah Ma’mun. Khaifah Ma’mun telas menulis sepucuk surat kepada Nursirwan Adil, berkenaan kelebihan akal. Kelebihan akal menurut pandangan Nursirwan Adil, “bahawasanya tiada bagi raja itu dan tiada bagi rakyat itu yang terlebih baik daripada akal”
(Jelani Harun (peny.), 2006 : 123)

Pemerintah disaran mengunakan akal fikiran semasa memerintah supaya wujud keadilan kepada rakyat. Keadilan raja bukan saja terhad dalam membuat keputusan tetapi melibatkan segala aspek kehidupan seperti makan minum, keluarga dan tempat tinggal, dan keadilan batiniah. Imam al- Gahazali menasihatkan raja agar tidak bertuhankan nafsu syahwat dan kusar seperti dalam petikan berikut,

Seyogia bagi yang berkehendak akan memeliharakan adil atas segala rakyatnya itu bahawa ditertibkan akan segala hambanya dan segala yang bekerja padanya bagi adil ia. Dan dipeliharakan segala hal yang dikerjakan dan dilihat pada isi rumahnya, dan segala anaknya, dan segala tempatnya. Dan tiada sempurna baginya demikian itu melainkan memelihara adilnya dahulu daripada batinnya. Dan demikian itu bahawa jangan dikeraskan akan syahwatnya dan kusarnya atas akalnya. Dan jangan dijadikan akalnya dan agamanya itu akan tuannya syahwatnya dan kusarnya, tetapi dijadikan akan akalnya dan agamanya itu akan tuannya syahwat dan kusarnya.
(Jelani Harun (peny.), 2006 : 128)

Selain daripada itu, menurut Imam al-Ghazali yang disebutkan sebagai adil ialah mempunyai akal yang sempurna.

Ketahui oleh mu hai raja, dan nyatakan dalam hatimu bahawasanya kelihatan adil itu daripada kesempurnaan akal jua.

Dan barangsiapa tiada ada ia berakal, tiada ia adil, dan tempat diam itu api neraka. Maka dari kerana sebab inilah ada kepala harta segala yang bahagia itu akal jua.
(Jelani Harun (peny.), 2006 : 129)

Nasihat al-Muluk juga banyak menerangkan beberapa bentuk keadilan sebagai panduan kepada raja yang memerintah iaitu:

i. Raja harus memahami tugas dan tanggungjawab.
Apabila seseorang putera raja ditabalkan menjadi raja, raja wajib mengetahui peranan dan tanggungjawabnya. Kedudukannya bukan saja sebagai ketua pemerintah dengan mengeluarkan segala arahan tetapi bertanggungjawab kepada Allah S.W.T yang memberikan amanah kepadanya. Segala perbuatan raja semasa memerintah rakyatnya dinilai baik dan buruk.

Bahawa diketahuinya (raja) dahulu kadar kerajaan dan mengetahui akan bahayanya. Maka bahawa kerajaan itu suatu nikmat bagi yang berdiri dengan sebenar-benarnya, diperoleh daripada bahagia yang tiada hingga baginya, tiada kemudiannya. Dan barangsiapa taksir daripada berdiri dengan haknya diperolehi ia dalam celaka.
(Jelani Harun ( peny.), 2006 : 78)
ii. Raja harus beriman dan beramal salih.

Seseorang yang ditabal menjadi raja mestilah seorang yang beramal salih dan sentiasa mentaati Allah S.W.T. Raja yang taat dan sentiasa mematuhi perintah Allah S.W.T menjadikan dirinya seorang yang adil , beriman, bertakwa, serta sentiasa memberikan pedoman kepada rakyatnya.

“Bahawa (raja) jangan menuntut akan kesukaan seorang daripada manusia dengan bersalahan dengan syarak”.
( Jelani Harun (peny.), 2006 : 83 )

iii. Raja harus menjadikan peribadi yang adil.
Rasullulah S.A.W telah mengaitkan keadilan raja berkaitan rapat dengan agamanya,“Yang adil itu kemuliaan agama dan dalamnya itu kebaikkan segala raja-raja dan kuat segala yang khas, dan segala yang am, dan dalamnya itu adalah kebaikan rakyat, sentosa mereka itu, dan afiat mereka itu. Dan segala pekerjaan itu ditimbang dangan timbangan yang adil.” (Jelani Harun (peny.), 2006 : 118)

vi. Raja harus mengadili pertikaian rakyat.
Raja Anursyarwan telah menyelesaikan pertikaian rakyatnya berkaitan dengan penemuan harta yang terdapat dalam sebidang tanah yang telah dijual oleh seorang rakyatnya kepada sahabatnya. Masing-masing tidak mahu menerima harta tersebut berada disitu sebelum dijual, manakala Penjual tidak mahu menerimanya dengan alasan tanah tersebut telah dijual. Raja Anusyarwan telah menyelesaikan pertikaian tersebut dengan cara mengahwinkan anak mereka.

v. Raja harus menghormati ulama.
Sebagai seorang raja yang menerima amanah dari Allah S.W.T, pemerintah hendaklah sentiasa patuh dan menurut segala ajaran Islam dengan mempelajari ilmu agama dan mendapat nasihat dari mualim. Panduan dan nasihat yang diberikan oleh ulama dapat membentuk sebuah negara mengikut syariat Allah S.W.T.

Bahawa sentiasa rindu (raja) kepada melihat segala ulama dan loba ia atas mendengarkan pengajar mereka itu.
(Jelani Harun ( peny.), 2006 : 105)


vi. Raja harus bijaksana
Diceritakan dalam teks Nasihat al-muluk, raja mestilah seorang yang bijaksana dalam mentadbir negara. Raja mesti seorang bijak, tegas dan adil dalam mengurus permasalahan yang wujud. Contohnya kisah Raja Kasytasyat dengan seorang Pengembala Kambing. Pengembala Kambing telah menyalib anjingnya yang gagal menjaga belaan daripada dibaham harimau sebaliknya mendiamkan diri. Kisah ini menimbulkan kesedaran kepada Raja Kasytasyat berkenaan menterinya yang gagal menguruskan rakyat jelata dan sebaliknya mengkhianati amanah. Raja Kasytasyat telah memerintah Wazir Rasat Rusan menyiasat salah laku yang dilakukan wazir dan menjatuhkan hukuman sula. Nasihat al- Muluk telah berjaya mengolah cerita yang berunsur nasihat berkenaan kawanan kambing sebagai rakyat jelata, manakala Pengembala Kambing ialah pemerintah dan anjing sebagai seorang Wazir yang diamanahkan menjaga kebajikan rakyat.

Kebijaksanaan raja mentadbir negara menjadikannya seorang yang matang, sabar, telus dalam tadbir urus negara dan sentiasa berfikiran kritis dalam menyelesaikan masalah rakyat dan negara, bijak berkomunikasi, berpandangan jauh, mempunyai siasah yang tinggi menyebabkan dirinya dihormati rakyat dan disegani musuh.

“Seyogia bagi yang berkehendak akan memeliharakan adil atas segala rakyatnya itu bahawa ditertibkan akan segala hambanya dan segala yang bekerja padanya bagi adil ia. Dan dipeliharakan segala hal yang dikerjakan dan dilihat pada isi rumahnya, dan segala anaknya, dan segala tempatnya. Dan tiada sempurna baginya demikian itu melainkan memelihara adilnya dahulu daripada batinnya. Dan demikian itu bahawa jangan dikeraskan akan syahwatnya dan kusarnya atas akalnya. Dan jangan dijadikan akalnya dan agamanya itu akan tuannya syahwatnya dan kusarnya, tetapi dijadikan akan akalnya dan agamanya itu akan tuannya syahwat dan kusarnya.”.
(Jelani Harun (peny.), 2006 : 128)

vii. Raja harus mengasihi rakyat
Raja yang adil sentiasa dan mengasihi rakyatnya dan selalu memikirkan hal-hal yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyatnya. Raja yang mengasihi rakyat tidak akan membiarkan rakyatnya menderita dengan mengenakan pelbagai cukai yang membebankan, majlis yang membazir, bersikap pemaaf dan pemurah. Kesannya, rakyat akan sentiasa menghormati, menumpahkan taat setia dan mendoakan kesejahteraan raja
.
“Bahawa jangan suka pada mengangkat tanganmu (raja) daripada aniaya tapi kauringankan akan segala hambamu itu, dan segala taulanmu, dan segala yang bekerja padamu, dan yang menunggu pintumu”.
(Jelani Harun ( peny.), 2006 : 55)

Menurut Aflatun, raja yang kuat bukan saja seorang raja yang dapat menewaskan lawannya, tetapi seorang yang tenang, berfikir, berakal, menjaga kemuliaan diri dan menjaga hati rakyatnya dengan mengambil pedoman kerajaan yang terdahulu dalam mentadbir rakyat. Raja mesti beradab semasa berurusan dengan rakyat agar sentiasa dihormati dan dipandang mulia. Raja yang tidak mengasihi rakyat dan bersikap zalim ibarat seorang raja yang tidak berakal seperti sifat binatang seperti yang diungkapkan oleh syair dibawah,

Yang baik hatinya itu bertempat-tempat harimau,
Tinggalkan olehmu bersenda-senda kata,
Apabila tiada engkau dalamnya itu harimau,
Peliharakanlah diri kamu serta dua biji matamu.
(Jelani Harun (peny.), 2006 : 120)

Bahawa engkau ( raja) sungguh-sunguh akan gemar daripadamu daripada sekalian rakyatmu dengan dengan muafakat dengan syarat.
(Jelani Harun (peny.), 2006 : 128)

Raja yang menyayangi rakyatnya sepanjang dan sentiasa menunaikan segala kehendak hambanya, ibarat kasih Allah S.W.T terhadap hambanya seperti sabda Nabi sallallahu alaihi wassalam, “bermula segala raja-raja yang tiada kasih pada rakyatnya itu maka tiada dikasih akan dia pada hari kiamat” dan “Hai Tuhanku, berikan oleh-Mu kurnia pada segala raja-raja yang memberi kurnia akan segala rakyatnya dan kusarkan oleh-Mu atas segala raja-raja yang kusar ia atas segala rakyatnya”. (Jelani Harun (peny.), 2006 : 37)


viii. Raja harus mengekalkan peribadi yang baik.
Raja mestilah seorang yang mempunyai keperibadian yang baik, amanah dan bertanggungjawab kepada Allah S.W.T dan rakyatnya. Raja yang baik sentiasa menjaga tingkahlaku dan mempunyai peribadi yang baik, menghindarkan diri dari melakukan kejahatan dan menyalahi hukum syarak seperti berjudi, menipu, minum arak yang boleh menyebabkannya di pandang hina oleh rakyat.

“Bahawa jangan engkau (raja) adat akan dirimu itu kelengkar dengan syahwat daripada memakai kain yang sangat baik, dan makan akan makanan baik, tetapi engkau kerjakan qanaat pada segala pekara itu. Maka tiada adil baginya dengan tiada qanaat ia”.
(Jelani Harun (peny.), 2006 : 78)

xi. Cita- cita tinggi seorang raja
Raja yang dihormati dan disanjungi rakyat, tidak bersikap sombong, bongkak dan zalim dalam berhubung dengan rakyatnya bagi mengelak dirinya dipandang hina dan sentiasa dihormati oleh rakyat. Banyak kerajaan sebelumnya telah runtuh kerana sikap raja yang mengabaikan tanggungjawab mereka. Kerajaan yang baik dan adil dipelihara oleh Allah S.W.T dan sentiasa memenuhi kehendak rakyat tanpa mengira masa dan menghindari dari diampu orang bawahan.

3.0 Kebijaksanaan pembesar.
Menurut Siti Hawa Salleh (2003 : 42), raja dengan pembesar mempunyai hubungan yang erat. Dalam sistem pentadbiran, rakyat bergantung penuh kepada raja yang adil, saksama dan bijaksana. Dalam Nasihat al- Muluk kemuliaan raja bergantung kepada menteri yang dipilih. Menteri berperanan besar dalam mentadbir negara dan merupakan tulang belakang raja seperti Firman Allah Azzawajalla di dalam surah;

[An- Nahl : 43]: “Tanyalah olehmu mereka itu tentang pekerjaan.” Dan cerita mengenai Nabi Musa alaissalam [Taha:29-33]: “ jadikan oleh-Mu akan daku menteri daripada isi rumahku Harun saudaraku, Kau keraskan dengan dia kuatku dan Kau satukan ia dalam pekerjaan ku’.
( Jelani Harun ( peny ) 2006 : 136 )

Nasihat al- Muluk telah memberikan panduan didalam membuat pilihan melantik menteri berdasarkan ciri-ciri berikut,

a. Menteri mestilah seorang yang berakal, pengasih, boleh dipercayai, berilmu, adil, salih, amanah dalam melaksanakan perintah raja dan bijak menyimpan rahsia. Sifat amanah menteri yang dipilih oleh raja dapat melahirkan sebuah kerajaan yang makmur, baik dan mulia. Kesukaan raja adalah menghapuskan musuhnya, taat dan membesarkan darjat seperti yang diucapkan oleh Anusyarwan pada anaknya;

“Permuliakanlah olehmu kan menteri mu kerana bahawasanya apabila dilihat akan dikau atas pekerjaan yang tiada harus bagimu bahawa tiada muafakat akan dikau atasnya”
(Jelani Harun (peny.), 2006 : 137 )

b. Menteri yang dipilih mestilah seorang yang alim dan bijak menasihati raja ke arah kebaikan jika mendapati raja tidak bersifat adil dengan menganiaya rakyatnya. Kemahuan rakyat ialah seorang raja yang adil dan baik seperti ditanya oleh Bahram ( Jelani Harun ( Peny), 2006 : 138 ) terdiri dari enam pekara iaitu, ( a ) mempunyai seorang menteri yang salih, ( b ) kuda yang baik, ( c ), pedang yang baik, ( d ) kota yang teguh dan harta yang bernilai tinggi, ( e ) isteri yang baik budi pekerti dan ( f ) tukang masak yang pandai.

c. Menteri yang dipilih juga seorang yang mampu mengajar dan memberikan nasihat kepada raja seperti ditegaskan oleh Qadhi Qudhat pada masa pemerintahan Raja Anusyarman, “bahawasanya tiada boleh memeliharakan kerajaaan itu melainkan dengan sahabat yang empunya pemilih lagi mengajari mereka itu bersungguh serta raja itu”. Selain itu menteri yang dipilih juga seorang yang mampu membentuk dan menasihati raja menjadi seorang taat dan takut pada Allah, bersikap amanah, berbuat kebenaran dan mencari keredhaan rakyat dan Tuhan serta mempercayai sebenar-benarnya sesuatu itu datang Allah Taala. Diceritakan hubungan antara raja dengan menteri amat erat ibarat isi dengan kuku. Rosak ketua rosaklah anak buahnya seperti kisah antara Nabi Sulaiman dengan Seri-Seri. Berkatalah Nabi Sulaiman, “Tetap engkau”. Berkatalah seri-seri itu, “Tetaplah engkau dahulu supaya tetap aku” (Jelani Harun (peny.), 2006 : 139).

Berdasarkan surat yang dihantar oleh Wazir Yunan kepada Raja Anursyarwan yang mengandungi empat pesanan iaitu sentiasa bersikap adil, berakal, bersabar dan merasa malu. Pada masa yang sama jangan meninggalkan empat pekara iaitu bijak berbicara dan tipu muslihat, kecut hati , bersifat kedekut, dan suka berperang. Sifat tersebut harus ada pada setiap raja agar dapat menimbulkan perasaan kasih dan sayang rakyat terhadap rajanya. (Jelani Harun (peny.), 2006 : 110).

Sabda Rasulullah (S.A.W) “Apabila dikehendaki Allah pada seorang raja akan kebaikan, dilimpahkan baginya menteri memberi nasihat, lagi benar ia, lagi fasihat. Jika lupa raja itu diingatkan akan dia, dan minta tolong dengan dia, ditolonginya”.
(Jelani Harun ( peny.), 2006 : 110)

d. Menteri merupakan hiasan atau lambang seorang raja. Menteri dilantik mestilah seorang yang alim, berakal, tua dan mahir dalam melakukan pekerjaan. Contohnya bagaimana kebijaksanaan Umar ibn Laith dalam mengadili tindakan saudaranya Abi Ja’far Zaiduyat yang telah mendera hambanya dengan menendang dan memukul sebanyak 26 kali. Tindakan Abi Ja’far Zaiduyat telah menimbulkan perasaan kurang senang Umar. Ekoran itu, Umar telah memanggil Abi Ja’far Zaiduyat dengan memberikan nasihat dengan mengibaratkan hamba yang dipukul seperti dua bilah pedang yang diletakan dalam satu sarung. Nasihat yang disampaikan oleh Umar secara simbolik telah menimbulkan kesedaran dan keinsafan terhadap Abi Ja’far Zaiduyat.

Raja bukan saja bertanggungjawab dalam melantik menteri dan memastikan mereka menjalankan amanah yang diserahkan kepada mereka, tetapi pada masa yang sama, raja harus bertanggungjawab terhadap orang yang berada dibawahnya seperti,
i. Apabila mendapati menteri yang dipilih melakukan kesilapan, siasat terlebih dahulu, membetulkan kesalahan, jangan terburu-buru menghukum menterinya.
ii. Seseorang menteri akan dipandang mulia kerana kebijaksanaannya, memahami kehendak rakyat, tidak tamak harta dunia. Menteri mestilah seorang yang adil dan tidak melakukan kezaliman dengan membunuh orang yang tidak berdosa, merampas harta yang dipusakai oleh rakyat sebaiknya mereka menjaga kebajikan rakyat agar mereka dipandang tinggi oleh masyarakat.
iii. Seorang yang sentiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam menjalankan amanah yang ditugaskan kepadanya.
iv. Seorang raja tidak boleh menyerahkan tugas mentadbir negara kepada seorang menteri yang tidak mahir dalam mentadbir negara, jika diserahkan juga tugas tersebut akan menyebabkan kerajaan menjadi huru-hara,

4.0 Kepatuhan rakyat
Dalam sesebuah negara, kepatuhan dan ketaatan rakyat kepada raja berkaitan dengan keadilan dan keprihatinan raja terhadap pentadbirannya. Keadilan dan kepatuhan rakyat terhadap raja banyak diperkatakan dalam teks Nasihat al-Muluk. Contohnya nasihat yang disampaikan oleh Wazir Yunan melalui sepucuk surat kepada Raja Anursyarwan

Kepatuhan rakyat kepada raja disebabkan beberapa sebab seperi perasaan takut atau perasaan hormat terhadapnya. Nasihat al-Muluk banyak menceritakan tentang kepatuhan rakyat terhadap rajanya. Dalam keadaan tertentu, adab bersama raja amat dititikberatkan yang bertujuan untuk melahirkan perasaan hormat dan patuh. Jika rakyat tidak patuh dan bersikap kurang sopan, hamba tersebut akan menerima padahnya seperti yang dikatakan oleh Sufyan al-Thawri, “Jangan bersahabat bagi raja-raja dan pelihara olehmu berkhidmat padanya, dari kerana bahawasanya jika ada engkau bagi mengikut, dilelahkan akan dikau. Maka jika engkau sangkal akan dia akan dibunuh akan dikau. Maka tiada ia memberi kepadamu”. ( Jelani Harun ( peny. ) 2006 : 115 )

5.0 Ilmu, akal dan budaya
Bauran ilmu dalam Nasihat al-Muluk banyak memperkatakan tentang peranan alim ulama dalam mentadbir negara. Kealpaan ulama memberikan nasihat dan panduan menyebabkan negara mengalami kerosakan. Ulama berperanan besar dalam pentadbiran seperti kata Ali ibn Abi Talib, “Adalah segala-gala manusia itu pada zaman itu tidur dan adalah segala ulama itu jaga ia. Dan pada hari ini segala ulama itu tidur dan segala makluk itu mati. Maka apa faedahnya berkata-kata orang yang tidur itu bagi orang mati?”(Jelani Harun (peny.) 2006 : 118).

Nasihat al-muluk turut menyinggung berkenaan perhubungan diplomatik dan kepentingan penghantaran surat atau utusan negara. Imam al-Gahazali memberikan nasihat agar surat yang ditulis dapat memberikan pengajaran dan panduan kepada seseorang raja dan boleh dirujuk kembali. Hasil penulisan merupakan lambang keagungan atau cerminan kehidupan masyarakat lampau serta memberikan teladan kepada generasi selepasnya. Ilmu pengetahuan dipandang tinggi Islam seperti firman Allah dalam [Surah Al- ‘Alaq : 1-4 ] : “Bacakan olehmu ya Muhammad, dan Tuhan-mu yang terlebih mulia yang memberitahu dengan kalam, memberitahukan segala manusia barang yang tiada diketahui.”

Nasihat al-muluk telah memberikan panduan dengan jelas adab-adab dalam menulis surat seperti menggunakan tulisan yang jelas, kalam yang runcing, khat yang baik serta pemilihan kata dan bahasa yang baik. Contoh surat yang ditulis oleh Abdullah ibn Rafi’ bagi pihak Khalifah Ali ibn Abi Talib (a.s). “Hai Abdullah, perbaik olehmu akan dakwat kamu dan luaskan olehmu antara segala mistar itu dan himpunkan olehmu antara segala huruf.”. Surat – surat yang ditulis kerajaan dihantar secara rasmi dan dimuliakan dengan beberapa tanda atau mohor seperti penggunaan cincin yang bertanda Lailahaillallah Muhammadar Rasullulah. Surat yang diterima dari negara lain akan dibaca dengan segera. Surat yang rasmi yang ditulis dengan menggunakan bahasa yang ringkas, padat dan tepat.

Berdasarkan Surah Al-Alaq, ilmu adalah amat penting dalam kehidupan manusia. Ilmu itu berfungsi sebagai alat perhubungan manusia dan cerminan hidup bermasyarakat. Ilmu dan pedang cukup sinonim dalam sesebuah masyarakat pada suatu masa dahulu. Seorang yang tiada berilmu pengetahuan dan kemahiran berpedang dipandang rendah oleh masyarakat. Pada masa dahulu kalam digunakan sebagai salah satu perantaraan dalam merekod pelbagai perkara seperti mencari sumber alam, perubahan musim, astronomi dan perniagaan.

Bauran ilmu yang terdapat dalam Nasihat al-Muluk banyak memaparkan kesukaan raja dan pembesar yang sentiasa mencintai majlis ilmu. Contohnya perbincangan ilmu mengenai peranan akal semasa pemerintahan Khalifah Ma’mun. Dari segi sosial, kedudukan seorang yang berilmu akan dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat. Bagaimanapun jika orang yang berilmu mencintai dunia dan perutnya, dirinya dipandang hina oleh masyarakat. Manakala manusia yang tidak berakal dan berilmu dipinggirkan masyarakat dan ini berbeza bagi yang berakal, berilmu dan sentiasa berbuat kebaikan serta mematuhi suruhan Allah S.W.T.

Ilmu berupaya memandu akal ke arah kebaikan, mentaati Allah dan menjauhi diri dari melakukan kejahatan. Akal dapat membezakan seorang yang beriman dengan orang yang jahil, bertuankan nafsu, bermegah-megah, zalim dan sentiasa menjauhi kebaikan. Kedudukan akal dalam Islam dapat mengangkat kedudukan dan kemuliaan seseorang dalam masyarakat berbanding mereka yang jahil. Diam seorang yang berilmu adalah lebih baik berbanding dengan percakapan seorang yang jahil.

Kelebihan orang yang berilmu menyebabkan dirinya dihormati, dipandang tinggi melebihi daripada menghormati orang tua ( Jelani Harun ( peny. ), 2006 : 175 ), kerana ilmu yang ada padanya dapat mengelak dirinya dari neraka dan menghampirkan diri dengan syurga.

Nasihat al-Muluk mengalakkan proses pencarian ilmu dan sentiasa bersabar. Kesabaran adalah ilmu atau kemuliaan menuju ke arah kebaikan, menyelamatkan akidah, memperolehi manfaat darinya, serta mengajari dan memberikan nasihat kepada orang lain.

6.0 Kepentingan Hukuma
Naskah Nasihat al-Muluk pada fasa ini banyak membicarakan tentang hukuma atau peraturan / wasiat yang ditinggalkan oleh orang yang terdahulu sebagai panduan kepada rakyat atau raja bagi sesebuah negara. Panduan atau peraturan yang dibincangkan berkaitan dengan kehidupan seharian seperti hubungan manusia dengan penciptanya iaitu Allah, hubungan sesama manusia, bermasyarakat dan tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Antara panduan yang diberikan berdasarkan Nasihat al-Muluk, panduan menjaga kesihatan mata, hendaklah sentiasa melihat sesuatu yang berwarna hijau, air yang mengalir, minum minuman yang hening dan melihat wajah manusia yang tenang. Bagi mengelak dari terkena penyakit, hendaklah mengurangkan mengambil makanan masin, mandi dengan air panas, melihat matahari yang terik dan melihat musuh. Selain itu terdapat beberapa pekara yang akan melemahkan anggota badan seperti banyak memakan daging, banyak berjimak dan tidur selepas waktu isyak. Empat pekara yang akan menyihatkan badan seseorang ialah makan pada masanya, tidak berlebihan dan tidak melakukan sesuatu yang sia-sia.

7.0 Kewanitaan.
Nasihat al-muluk telah memberikan bererapa contoh dan panduan kepada raja dan marhain untuk memilih isteri. Menurutnya sebaik-baik isteri yang dipilih mestilah berdasarkan sabda Nabi sallallahu alaihi wassalam, “Sebaik-baik segala perempuan dan lebih berkat mereka itu yang baik parasnya, yang peranak, yang ringan mas kahwin” dan “Wajib atasmu dengan perempuan yang merdeka, maka bahawasanya ia terlebih suci dan lebih berkat”. Terdapat banyak panduan diberikan untuk menilai seorang perempuan yang baik untuk dijadikan isteri. Bagaimanapun, Nasihat al-Muluk telah menyarankan agar perempuan yang dipilih itu mestilah berdasarkan kepada agamanya, bukan kepada paras rupa, harta dan nafsu. Melalui agama, isteri tersebut akan taat pada suaminya dan merupakan dinding kepada api neraka.

Selain itu, Nasihat al-Muluk turut memberikan nasihat kepada raja yang memerintah tentang kebaikan dan keburukan perempuan. Banyak kerajaan di dunia yang runtuh kerana seorang perempuan. Kealpaan dan sikap yang suka berpoya-poya menyebabkan negara menjadi huru hara dan menimbulkan perasaan benci rakyat terhadap raja.

Nasihat al-Muluk telah membincangkan sepuluh sifat perempuan adalah seperti binatang iaitu babi, kera, anjing, ular, baghal, kala, tikus, burung, luak dan kambing. Sifat perempuan yang pertama iaitu seperti babi, hanya memikirkan tentang makan dan minum tanpa memikirkan peranan dan tangjungjawab mereka kepada agama, keluarga dan bangsa. Kedua yang berperangai seperti kera, iaitu berkenaan dengan sikap perempuan amat menyukai segala barangan perhiasan seperti emas dan perak, suka bermegah-megah terhadap orang lain dan menggunakan kedudukan suaminya tanpa memikirkan kesannya. Ketiga pula perempuan yang mempunyai sifat seperti anjing, perempuan yang tidak mempunyai sikap hormat terhadap suaminya. Perempuan ini digambarkan sebagai seorang yang suka memarahi dan sentiasa bertengkar dengan suamiinya apabila kehendaknya tidak dipenuhi dan sebaliknya akan memuji apabila dirinya dilumuri dengan intan, emas dan permata. Perempuan seperti anjing seorang yang suka bermuka-muka untuk mendapatkan sesuatu.

Sikap perempuan seperti baghal pula, merujuk pemikiran yang lemah. Apabila seorang isteri dimarahi dan ditegur oleh suaminya, terus melarikan diri dari rumah dan tidak mahu lagi kembali. Perempuan yang mempunyai sikap seperti kala, perempuan yang suka membuat fitnah dan mengadu domba sesama jiran menyebabkan jiran berseteru, dengki-mendengki dan bergaduh tanpa perasaan takut terhadap azab yang dijanjikan oleh Allah. Perempuan yang berperangai seperti tikus, perempuan yang suka mengambil dan mencuri barangan suaminya dan kemudian disembunyikan ketempat lain atau memberikan kepada saudara maranya tanpa pengetahuan suaminya.

Perempuan yang berperangai seperti burung, merujuk kepada perempuan yang mengabaikan keluarganya dan menjaja kehidupan keluarganya kepada orang lain pada siang hari dengan mempersoalkan tanggungjawab dan kasih sayang suaminya terhadap dirinya. Perempuan yang berperangai seperti luak, berkaitan dengan sifat perempuan yag suka memaki suaminya apabila berada di rumah dan berpura-pura sakit. Sedangkan semasa peninggalan suaminya semua berada dalam keadaan elok dan yang terakhir perempuan yang berperangai seperti kambing, bersifat pengasih, salih dan mentaati suami dan Allah. Perempuan sebegini memberikan keberkatan kepada keluarga.

Nasihat al-Muluk banyak memberikan panduan kepada pemerintah dan masyarakat dalam memilih perempuan sebagai pasangan hidup dan perhubungan sesama manusia. Perhubungan yang terjalin mestilah berdasarkan hukum syarak dan diredhai Allah. Perempuan yang dianjurkan dalam Islam sentiasa sabar, rajin, menjaga maruah suami, redha dengan takdir Ilahi dan sentiasa mentaati suami dan Allah. Diceritakan juga bagaimana seorang perempuan yang bertaqwa dapat mengembalikan seorang lelaki yang sesat ke jalan Allah dan kisah Raja Kasyru dan bersama isteri yang bernama Syirin berhajat mahu makan ikan. Kebijaksanaan isteri Raja Kasyru dan Pengail menyebabkan Raja Kasyru menjadi seorang yang pemurah.

8.0 Kesimpulan.
Nasihat al-Muluk yang dikarang oleh Imam al-Ghazali merupakan panduan kepada raja dalam mentadbir negara berdasarkan himpunan cerita-cerita yang dikutip dan diolah dari zaman sebelum dan selepas Islam. Keupayaan Imam al-Ghazali mengabungkan tanggungjawab raja, menteri, ilmu, akal dan wanita menjadikannya sebagai salah sebuah karya yang dapat menuntun raja mnjadi seorang pemimpin yang baik.




Bibliografi.
Ahmad Jelani Halimi, Surat perdagangan Kedah-Inggeris pada separuh pertama abad ke 18, dalam Rogayah H. Hamid & Maryam Salim, 2006, Kesultanan Melayu : Kedah , Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jelani Harun (peny), 2006, Nasihat al-Muluk - Nasihat kepada Raja-Raja, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah, 2006, Kesusasteraan Melayu tradisional, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jelani Harun, 2003, Pemikiran adab ketatanegaraan Kesultanan Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jelani Harun, Idealisme keadilan undang-undang : Karya ketatanegaraan sebagai respons intelektual terhadap undang-undang adat Melayu dalam Mohamad Mokhtar Hassan (peny.), 2003,Kesusasteraan dan undang-undang, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Siti Hawa Salleh, Naskah Melayu berunsur sejarah ( Kerajan Melayu ) dalam Rogayah A Hamid (peny.), 2003, Kesultanan Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Laman Web.
Ding Chong Ming, Kearifan lokal dalam naskah nusantara dalam abad ke 19 , Kertas simposium Internasional Penaskahan Nusantara IX, kearifan lokal yang terkandung dalam Nusantara di Bima, Nusa Tenggara Barat, 27-29 Julai 2007 melalui http://article.melayuonline.com/?a=SkxQL3FMZVZBUkU4Ng%3D%3D=
Jelani Harun , Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas : Karya ketatanegaraan Melayu yang terakhir, melalui http://www.penerbit.ukm.my/jsari19-08.

W. M Abdul Hadi, Islam di Nusantara dan tranformasi budaya ilmu melalui http://ahmadsamantho.wordpress.com/2008/04/10/islam-di-nusantara-dan-transformasi-kebudayaan-melayu/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan