Penulis amat tertarik dengan penulisan Ku Seman Ku Husein mengenai penglibatan Prof. Hashim Yaakob yang memainkan permainan wayang kulit di pantai Seri Tujuh, Kelantan. ( Rujuk Akhbar Utusan Malaysia : 8/3/2010). Sebagaimana yang kita ketahui bahawa pemainan wayang kulit di Kelantan pada zaman 90an selepas kerajaan sekarang ini memenangi pemerintahan telah mula melarang kegiatan permainan ini pada tahun 1998 ekoran pengenalan dasar atau enekmen hiburan yang diperkenalkan oleh kerajaan kelantan pada masa itu.
Hasil penyelidikan penulis ( Ketika itu, penulis membuat penyelidikan untuk tesis sarjana Kesusasteraan Melayu dengan menjurus kepada Perubahan nilai dalam permainan wayang kulit di Kelantan sebelum dan semasa pemerintahan Pas) mendapati terdapat beberapa perubahan yang berlaku dalam permainan wayang kulit. Perubahan tersebut meliputi upacara penyediaan kulit, pengukiran watak, upacara naik panggung, penggunaan kelir, pohon beringin dan sebagainya. Larangan dan peraturan yang terdapat dalam peraturan tersebut tidak lain untuk tujuan menjaga ketertiban dan maruah pengamalnya. Unsur yang dikatakan khurafat juga kebanyakan sudah banyak tidak diamalkan lagi memandangkan kemunculan banyak dalang generasi baru yang memainkan wayang kulit moden. antara dalang seperti Saufi yang menggunakan watak dari plastik, mengabaikan cerita yang berteraskan kitab hindu seperti Mahabrata dan Ramayana dan digantikan dengan isu semasa. Perubahan minda dan kesanggupan pengamal wayang kulit di Kelantan dilihat membawa satu sinar baru dalam wayang kulit tersebut.
Selain itu, penulis mendapati kesan pilihanraya umum ke 11 menyebabkan kerajaan kelantan hampir tumbang juga mendorong kepada perubahan paradigma di kalangan pentadbir kelantan. Kerajaan Kelantan cuba memenangi hati rakyat Kelantan dengan melonggarkan syarat hiburan. Kesannya beberapa pengamal wayang kulit seperti Pak Su Mat (Bachok) dibenarkan mempersembahkan dan melatih dalang dalam tahun 2002-2005. begitu juga dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Kelantan seperti Menteri Besar, Dato Nik Abdul Aziz dan Dato Takiyudin Hassan banyak mendorong kepada kembalinya sinar kepada permainan ini.
Namun demikian, alangkah baiknya jika apa yang disarankan oleh Ku Seman Ku Husein tadi menjadi titik tolak dalam mengangkat kembali martabat wayang kulit. pada masa yang sama pengiat wayang kulit, alim ulama dan pentadbir dapat menerang dan memberikan panduan kepada pengamal dan khalayak apa yang sepatutnya dilakukan. Langkah kerajaan negeri pada suatu ketika memainkan wayang kulit di pusat Islam, banyak dilihat oleh masyarakat sebagai satu propaganda. Tidak banyak bezanya dengan sebelumnya. Cuma pengasingan penonton, cerita-cerita, penggunaan watak dari plastik dan tidak lengkap. perubahan yang tuntas amat dituntut dengan memperkenalkan dasar yang benar-benar relevan ( yang mana boleh /tidak boleh) agar tidak ada orang yang menjadi mangsa akibat dasar yang longgar.
Bagi pengamalkan wayang kulit, permainan wayang kulit sebenarnya merupakan satu unsur tasauf atau falsafah keislaman berdasarkan corak penggunaan kelir, pohon beringin, watak yang pelbagai, batang pisang dan peranan dalang itu sendiri. Apa yang perlu ditegaskan disini, NIAT dalang mestilah betul agar ia tidak mendatangkan keburukan dan syirik. Walaupun kita tahu, wayang kulit pada suatu masa dahulu pernah digunakan sebagai alat penyebaran agama islam di Jawa. Melalui proses evolusi dan perubahan nilai menyebabkan konsep wayang kulit itu sendiri bersifat Rencam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan