Isnin, 8 Mac 2010

Mencari titik temu dalam permainan Wayang Kulit di Kelantan


Penulis amat tertarik dengan penulisan Ku Seman Ku Husein mengenai penglibatan Prof. Hashim Yaakob yang memainkan permainan wayang kulit di pantai Seri Tujuh, Kelantan. ( Rujuk Akhbar Utusan Malaysia : 8/3/2010). Sebagaimana yang kita ketahui bahawa pemainan wayang kulit di Kelantan pada zaman 90an selepas kerajaan sekarang ini memenangi pemerintahan telah mula melarang kegiatan permainan ini pada tahun 1998 ekoran pengenalan dasar atau enekmen hiburan yang diperkenalkan oleh kerajaan kelantan pada masa itu.

Hasil penyelidikan penulis ( Ketika itu, penulis membuat penyelidikan untuk tesis sarjana Kesusasteraan Melayu dengan menjurus kepada Perubahan nilai dalam permainan wayang kulit di Kelantan sebelum dan semasa pemerintahan Pas) mendapati terdapat beberapa perubahan yang berlaku dalam permainan wayang kulit. Perubahan tersebut meliputi upacara penyediaan kulit, pengukiran watak, upacara naik panggung, penggunaan kelir, pohon beringin dan sebagainya. Larangan dan peraturan yang terdapat dalam peraturan tersebut tidak lain untuk tujuan menjaga ketertiban dan maruah pengamalnya. Unsur yang dikatakan khurafat juga kebanyakan sudah banyak tidak diamalkan lagi memandangkan kemunculan banyak dalang generasi baru yang memainkan wayang kulit moden. antara dalang seperti Saufi yang menggunakan watak dari plastik, mengabaikan cerita yang berteraskan kitab hindu seperti Mahabrata dan Ramayana dan digantikan dengan isu semasa. Perubahan minda dan kesanggupan pengamal wayang kulit di Kelantan dilihat membawa satu sinar baru dalam wayang kulit tersebut.

Selain itu, penulis mendapati kesan pilihanraya umum ke 11 menyebabkan kerajaan kelantan hampir tumbang juga mendorong kepada perubahan paradigma di kalangan pentadbir kelantan. Kerajaan Kelantan cuba memenangi hati rakyat Kelantan dengan melonggarkan syarat hiburan. Kesannya beberapa pengamal wayang kulit seperti Pak Su Mat (Bachok) dibenarkan mempersembahkan dan melatih dalang dalam tahun 2002-2005. begitu juga dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Kelantan seperti Menteri Besar, Dato Nik Abdul Aziz dan Dato Takiyudin Hassan banyak mendorong kepada kembalinya sinar kepada permainan ini.
Namun demikian, alangkah baiknya jika apa yang disarankan oleh Ku Seman Ku Husein tadi menjadi titik tolak dalam mengangkat kembali martabat wayang kulit. pada masa yang sama pengiat wayang kulit, alim ulama dan pentadbir dapat menerang dan memberikan panduan kepada pengamal dan khalayak apa yang sepatutnya dilakukan. Langkah kerajaan negeri pada suatu ketika memainkan wayang kulit di pusat Islam, banyak dilihat oleh masyarakat sebagai satu propaganda. Tidak banyak bezanya dengan sebelumnya. Cuma pengasingan penonton, cerita-cerita, penggunaan watak dari plastik dan tidak lengkap. perubahan yang tuntas amat dituntut dengan memperkenalkan dasar yang benar-benar relevan ( yang mana boleh /tidak boleh) agar tidak ada orang yang menjadi mangsa akibat dasar yang longgar.


Bagi pengamalkan wayang kulit, permainan wayang kulit sebenarnya merupakan satu unsur tasauf atau falsafah keislaman berdasarkan corak penggunaan kelir, pohon beringin, watak yang pelbagai, batang pisang dan peranan dalang itu sendiri. Apa yang perlu ditegaskan disini, NIAT dalang mestilah betul agar ia tidak mendatangkan keburukan dan syirik. Walaupun kita tahu, wayang kulit pada suatu masa dahulu pernah digunakan sebagai alat penyebaran agama islam di Jawa. Melalui proses evolusi dan perubahan nilai menyebabkan konsep wayang kulit itu sendiri bersifat Rencam.



Sabtu, 6 Mac 2010

Sastera Picisan : Sejauhmana memupuk budaya membaca khalayak

sastera picisan atau sastera yang bergenre ringgan yang tidak mempunyai isi yang boleh menggalakan perkembangan pemikiran atau membantu pembaca dalam kehidupan harian mereka. Andai sesebuah kayra yang ditulis tersebut tidak mempunyai sebarang mesej yang bernilai, dianggap sebagai sebuah karya picisan. bagaimanakah kita boleh menilai sebuah karya itu picisan, jika contohnya karya Ahadiat Akasyah 'Budak Setan' pada suatu masa dahulu merupakan sebuah karaya yang mendapat sambutan hangat di khalayak pembaca tetapi dikalangan pengiat sastera atau sasterawan negara, karya tersebut dianggap sebagai sebuah karya picisan. Persoalannya, karya yang bagaimana boleh dianggap sebagai picisan dan bagaimana pula bukan picisan?


Sesetengah mereka ini berpendapat tujuan utama penulisannnya karya sebagai bahan untuk bergossip dan tidak mempunyai idea pemikiran yang boleh membantu ke arah kebaikkan. Perbincangan mengenai sastera picisan sudah lama berlaku di dunia barat terutama dikalangan penulis yang tersohor. Dan dikalangan mereka ini memberikan pelbagai definisi. Menurut Martin Heidegger, menghuraikan dengan panjang lebar cara berfikir yang dipanggilnya “idle talk”, yakni omongan, ocehan, borak kedai kopi, yang sifatnya cetek, mengelirukan, dan menghalang perkembangan pemikiran sihat dalam masyarakat. Prof. Harry G. Frankurt, dalam bukunya On Bullshit (2005) menamakan tulisan atau ucapan begini sebagai sejenis “bullshit”[1]


Di Malaysia, sastera picisan mula wujud apabila bidang penulisan yang pada mulanya dipelopori sasterwan ranum ( Fatimah Busu) berterusan dibeika ruang kepada mereka untuk meneruskan idea penulisan tanpa memikirka ruang dan peluang kepada penulis lain yang lebih berintelektual dan mempunyai idea-idea yang lebih tuntas dan segar. sikap memonopoli ruang penulisan dalam sesebuah penerbitan menyebabkan mereka terpaksa mengarang karya yang tidak mempunyai isi dan ilmu. Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya 'picisan' hatta seorang yang berintelektual seperti Shahnon Ahmad sendiri. Beliau sendiri keliru dan mengaitkan karya picisan dengan harga sesebuah karya tersebut.
Persoalan disini, bagaimanakah karya tersebut boleh membantu kepada pemupukan budaya membaca. Disini, penulis membiarkan isu ini tergantung dan menyerahkan kepada pembaca untuk membuat penilaiannya. Adakah pandangan ini benar atau tidak
alasan:
1. Menambah pengetahuan am
2. menarik minat terutama golongan kanak-kanak dan remaja
3. sumbangan saran
4. Karya yang ringgan dan santai
5. Hiburan waktu sengan
6. menggalakan hasil penulis muda kerana tiada terikat dengan syarat2
7. penumpuan kepda khalayak tertentu








Nota Kaki:

[1] Mohd Affandi Hassan , Gosip sastera yang sia-sia, Utusan Malaysia, 10/2/2008

Dimensi Komunikasi Pemikiran: Menelusur pancarannya dalam karya sastera Melayu

DIMENSI KOMUNIKASI-PEMIKIRAN: MENELUSUR PANCARANNYA DALAM KARYA SASTERA MELAYU

Oleh :Azmi Rahman & Phat a/l Awang Deng

( Dipetik dari laman blog En. Azmi Rahman : 6 mac 2010 http://www.esasterawan.net/esasterawan/1_karya.asp?uid=170&ID=3310

Pengenalan
Esei ini memberi fokus kepada dimensi komunikasi-pemikiran, dan mendekati/ menyelaminya dengan mengambil pantun dan peribahasa Melayu sebagai data analisis. Aspek komunikasi-pemikiran yang digabungbincangkan akan memberi dimensi yang lebih luas dan tidak terjangkau minda kita, terutamanya melibatkan pemikiran luhur, lahir, logik dan lateral. Dan aplikasi teori SP4L/ SPB4L ini terhadap karya sastera genre pantun dan peribahasa Melayu adalah sebagai titik permulaan. Teori SP4L/ SPB4L masih mencari arah dan menuju titik kesempurnaan serta kemantapan.

Komunikasi-pemikiran
Sistem pemikiran seringkali disebut sebagai pemikiran saintifik atau sistem pemikiran bersepadu merupakan sistem pemikiran yang tersusun dan berdasarkan kaedah saintifik (Mohd. Yusof Hasan, 2000, hal. 1). Dua kata digabungkan: komunikasi-pemikiran merupakan kata abstrak. Kedua-dua kata/ konsep ini saling berkaitan, dan dijelmakan dalam realiti kehidupan manusia. Kata komunikasi (bahasa Inggeris, communication berasal daripada bahasa Latin, communicatio, berasalnya daripada kata commucatus yang bermaksud “the act or action of imparting or transmitting.” Makna tersebut diperluas menjadi “a system for communicating information and orders,” “interchange of thoughts or opinios,” dan “a process by which meanings are exchanged between individuals through a common system of symbols – as language, signs or gestures” (Gove, 1986, hal. 460). Kalau diperincikan makna komunikasi, kita tidak menemui makna yang konkrit. Yang perlu diberi tumpuan ialah kita hendaklah meneliti berbagai-bagai dimensi komunikasi bagi tujuan penjurusan makna komunikasi dan pertimbangan normatif. Justeru, makna komunikasi begitu luas dan proses komunikasi pula begitu kompleks (Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd. Yusof Hussain, 2003, hal. 6 -7). Begitulah juga apabila kita berdepan dengan kata pemikiran (bahasa Inggeris think, thinking) pastinya kita tidak menemui suatu makna konkrit bagi kata itu (Lihat Mohd. Yusof Hasan, Mohamad Azmi Ab. Rahman, Ghazali Hamid dan Syd. Abdul Rahman Syd. Zin, 2001, hal. 12-14). Gove (1986, hal. 2376 – 2377), misalnya menyatakan bahawa think/ thinking ialah “to have in one’s mind as an intention or desire,” “to have as an opinion,” “the action of using one’s mind to produce thoughts,” “the kind of thought that belongs,” “having or using the ability to think.” Manakala de Bono, sarjana pemikiran lateral menyatakan bahawa pemikiran (thinking) adalah kebijaksanaan atau kecerdasan manusia (1997, hal. 11). Berdasarkan penyataan makna komunikasi dan pemikiran, dapatlah dirumuskan bahawa komunikasi adalah proses interaksi manusia sama ada dengan benda bernyawa/ hidup, abstrak dan Tuhan. Hasil daripada interaksi manusia, maka terpancarlah pemikiran. Adakalanya pemikiran manusia diterjemahkan dalam bentuk karya sama ada lisan atau tulisan/ bercetak.

Teori SP4L/ SPB4L
Teori SP4L/ SPB4L telah diperakukan oleh sarjana sastera Melayu sebagai sebuah teori sastera tempatan yang muncul pada awal abad ke-21 (Mohamad Mokhtar Hassan, 2005, hal. vii). Teori ini mula dicetuskan oleh Mohd. Yusof Hasan, sekitar 1990-an, seterusnya teori ini disebarkan dan diajarkan kepada para pelajar Universiti Utara Malaysia – dicetak sebagai bahan bacaan wajib kursus Pengantar Pemikiran pada 1994 (dinamakan Pemikiran Saintifik SP4L). Kemudian diterbitkan pula meskipun teori itu dalam proses pemurnian/ pemantapan dengan menamakannya SPB4L (Sistem Pemikiran Bersepadu 4L). (Mohd. Yusof Hasan, 2000). Teori SP4L/ SPB4L menggabungkan dan menyepadukan empat (4) sistem pemikiran yang dijelmakan oleh manusia dalam komunikasi harian: pemikiran luhur, lahir, logik dan lateral.

Konsep SBP4L dan analisis karya
Berdasarkan empat (4) sistem pemikiran seperti yang dinyatakan di bahagian atas, kertas ini akan membincangkannya dengan melihat kepada data daripada pantun dan peribahasa Melayu.

Pemikiran Luhur
Pemikiran luhur adalah pemikiran yang suci dan tinggi martabatnya. Pemikiran ini berkaitan dengan keimanan, ketauhidan, dan kepercayaan manusia kepada Yang Maha Esa. (Mohd. Yusof Hasan, 2000, hal 4 – 5). Aspek atau skop pemikiran luhur terlalu luas dan tidak terjangkau minda manusia. Pemikiran luhur dalam agama Islam, misalnya melibatkan komunikasi manusia secara vertikal iaitu manusia sebagai hamba sekaligus sebagai khalifah berhubungan terus dengan Allah. Manakala komunikasi manusia secara horizontal pula melibatkan hubungan manusia sesama manusia dan alam. Pemikiran luhur dalam Islam termaktub lengkap di dalam Al-Quran: ajaran tentang Rukun Iman, Rukun Islam, dan aspek kehidupan berpolitik, ekonomi, sosial dan sebagainya. (Mohd. Yusof Hasan, 2000, hal. 32 – 35).
Pemikiran luhur ada dijelmakan dalam karya genre pantun dan peribahasa Melayu. Genre ini mengungkapkan kepercayaan kepada Yang Maha Esa, Al-Quran, Nabi Muhammad SAW, alam akhirat, syurga dan neraka. Perhatikan contoh-contoh berikut:

(a) Banyak bulan perkara bulan,
Tidak semulia bulan puasa;
Banyak Tuhan perkara Tuhan,
Tidak semulia Tuhan Yang Esa.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983, hal. 60)

(b) Banyaklah hari antara hari,
Tidak semulia hari Jumaat;
Banyak nabi antara nabi,
Tidak semulia Nabi Muhammad.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983, hal. 60)

(c) Daun terap di atas dulang,
Anak udang mati dituba;
Dalam Kitab ada terlarang,
Perbuatan haram jangan dicuba.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983, hal. 62)

(d) Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh dijirat paduka tuan;
Di atas dunia kaul tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983. hal. 62)

(e) Halia ini tanam-tanaman,
Di barat sahaja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Ahkirat juga akan sungguhnya.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983. hal. 63).

(f) Adat memakai, syarak mengata. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 3).
Adat yang tidak sesuai dengan hukum Tuhan dan tidak selaras dengan keadaan masa tidaklah guna dipertahankan kerana adapt harus takluk kepada hukum syarak.

(g) Adat penuh ke atas, syarak penuh ke bawah. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 3).
Adat itu sebutan yang besar tetapi boleh diperlonggarkan sedangkan hukum Tuhan tidak boleh diubah-ubah dan orang wajib mematuhinya.

(h) Kita semua mati tetapi kubur masing-masing (Shellabear, W.G, 1963, hal.4).
Sungguhpun orang yang berkaum kerabat dan bersanak saudara itu berhimpun tetapi adalah adalah masing-masing itu melayarkan bahtera hidupnya bersendirian.

(i) Apa digaduhkan pengayuh sama di tangan, perahu sama di air (Shellabear, W.G, 1963, hal.41).
Usahlah gentar melawan seseorang yang setaraf dengan kita halnya. Kehendak seseorang itu pada hati masing-masing tetapi nasib dalam tangan Allah; siapa yang lebih bernasib baik, ialah yang menang atau mendapat.

(j) Ditetak belah, dipalu belah, tembikar juga akan jadinya (Shellabear, W.G, 1963, hal.151).
Walau dengan apa seksa atau sakit sekalipun, penghabisannya itu mati jua, jadi mayat.

Berdasarkan contoh-contoh 4.1 (a-j), jelaslah bahawa terpancar pemikiran tentang keEsaan dan kemuliaan Allah, Nabi mamad SAW, ajaran terkandung di dalam Kitab (Al-Quran), persoalan syurga dan akhirat, hukum syarak, dan hidup-mati manusia. Namun begitu, pancaran pemikiran luhur Islam tidaklah terperinci.

Pemikiran Lahir
Pemikiran lahir adalah pemikiran mengenai “kelahiran manusia iaitu bermula daripada pertemuan benih lelaki dan benih wanita pada usia enam hari hinggalah kepada kehamilan dan kelahiran bayi sehingga usia enam tahun.” Pemikiran lahir juga berkaitan dengan pembinaan dan pertumbuhan minda manusia pada peringkat usia janin enam hari di dalam kandungan sehinggalah bayi dilahirkan ketika berusia sembilan bulan sembilan hari, seterusnya bayi mencapai umur enam tahun. Sepanjang usia manusia bermula dari enam hari hinggalah enam tahun, haruslah diaplikasikan dan difokuskan kepada aspek pemikiran lahir yang dipercayai dapat menyerlahkan potensi kebijaksanaan minda. Penteori merujuk kepada potensi minda yang dikemukakan oleh Howard Gardner dengan Theory of Multiple Intelligences pada 1983; kebijaksanaan logik-matematik, linguistik, muzikal, menguasai ruang, keindahan gerak-geri badan, hubungan antara manusia/ interpersonal dan hubungan di dalam diri manusia/ intrapersonal (Mohd. Yusof Hasan, 2000, hal. 89 – 94).
Adakah terjelma pemikiran lahir dalam genre pantun dan peribahasa Melayu? Secara tersusun dan sistematik, sukar kita mengesannya. Namun kita dapat mengesan dan mengenal pasti pemikiran lahir terjelma di sebalik wajah kata-kata yang tersusun indah. Khalayak/ pembaca harus berinteraksi dengan kata-kata tersebut untuk merungkaikan dan menterjemahkan pemikirannya. Kita teliti contoh-contoh berikut:

(a) Ayun anak ayun
Ayun sampai hujung serambi,
Bangun anak bangun;
Jangan tidur meninggi hari
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983, hal.. 97)

(b) Pokok kelapa ditanam berjajar,
Nampak dari tepi pantai;
Barang siapa rajin belajar,
Tentu dia menjadi pandai.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983, hal.. 97)

(c) Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap;
Belum tumbuh gigi,
Pandai baca kitab.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983, hal. 98).

(d) Pijak galah sambil berlari,
Rupanya hujung sudah patah;
Banyakkan usaha kepada diri,
Masa diri muda mentah.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983, hal. 137)

(e) Tatkala rebung tiada dilentur, ketika sudah menjadi aur apa gunanya lagi (Shellabear, W.G, 1963, hal.151).
Tabiat manusia itu hendaklah dilatih daripada kecil lagi, demikian juga dengan pelajaran yang berfaedah, tetapi apabila ia telah besar, keraslah hatinya.

(f) Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 95) .Yang baik itu biar di mana pun tempatnya akan tetap baik juga.

Berdasarkan contoh-contoh 4.2 (a-f), dapat dikesan adanya pemikiran lahir dengan penyataan bahawa “benih’ yang baik akan menghasilkan yang baik juga. Kalau dikaitkan dengan zuriat manusia, yang baik adalah hasil persenyawaan benih yang baik. Selain itu, pembinaan dan pembentukan peribadi dan jatidiri seseorang hendaklah bermula sejak kecil lagi (barangkali sejak berada di dalam kandungan lagi) sehinggalah manusia berusia 6 tahun. Pemikiran lahir lain ialah anak-anak digalakkan bangun pagi, rajin belajar dan berusaha serta membaca.
Dalam kerangka pemikiran lahir terutamanya di kalangan masyarakat Melayu tradisional, nilai budi dipaksikan pada minda Melayu. Budi dalam Medan makna yang luas adalah akal, kebijaksanaan, sifat dan perbuatan baik (Kamus Dewan edisi keempat, 2005, hal. 212) terpancar dalam pantun dan peribahasa Melayu. Hasil komunikasi yang murni dan kolektif di kalangan masyarakat Melayu, tertanam dan sebati nilai budi di minda Melayu. Budi disemai, ditanam dan dibaja sebelum ‘manusia rebung’ menjadi ‘manusia aur.’ Kita teliti contoh-contoh maksud pantun Melayu berikut: /Yang kurik kundi, yang merah saga/ Yang baik budi, yang indah bahasa/ (Zainal Abidin Bakar. Peny. 1982, hal. 71), /Di sana budi di sini budi/ Barulah sempurna bernama orang/ (Zainal Abidin Bakar. Peny. 1982, hal. 76),/ Emas perak kebesaran dunia/ Budi yang baik dibawa mati/ (Zainal Abidin Bakar. Peny. Hal. 77),/Hancur badan dikandung tanah/ Budi yang baik dikenang juga/, (Zainal Abidin Bakar. Peny. 1982, hal. 77), /Hina besi kerana karat/ Hina manusia tidak berbudi/ (Zainal Abidin Bakar. Peny. 1982, hal. 78). Begitu juga dalam peribahasa, dapat dikesan aspek budi yang dipaksikan di minda Melayu.

(g) Kurang budi teraba, tidak ilmu suluh padam/ orang yang kurang siasat di dalam sesuatu perkara, akhirnya akan mendapat kesusahan. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 111).
Orang yang kurang siasat di dalam sesuatu perkara, akhirnya akan mendapat kesusahan.

(h) Sebab budi boleh kedapatan. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 169).
Tingkah laku juga yang menyebabkan seseorang itu binasa.

(i) Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 152).
Tiap-tiap pemberian orang hendaklah dibalas dengan pemberian; kita harus tahu berterima kasih.

Pemikiran Logik
Komunikasi harian manusia sama ada penulisan, pembacaan, pertuturan atau pendengaran memerlukan pemikiran logik. Dengan ilmu logik, komunikasi manusia akan lebih jelas dan berkesan. Justeru, logik dapatlah ditakrifkan sebagai proses penaakulan yang membawa kepada keputusan atau kesimpulan. Proses membuat keputusan (penaakulan) adalah berdasarkan bukti dan hujah yang jelas dan konkrit.
Pemikiran logik akan lebih jelas sekiranya kita memahami beberapa konsep asas yang mendasari ilmu logik, misalnya premis, silogisme, penyataan umum dan khusus, induksi, deduksi dan falasi. (Mohd. Yusof Hasan, 2000, hal. 7 – 8, dan hal. 119 – 129).
Seterusnya kita teliti pula aspek pemikiran logik yang terpancar dalam genre pantun dan peribahasa Melayu. Contoh-contoh pantun dan peribahasa Melayu berikut dapat menjelaskan aspek pemikiran logik (logik Melayu).

(a) Pohon petola di Tanjung Jati,
Dibawa orang dari seberang;
Kerana gula semut mati,
Kerana semut gula terbuang.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. 1983, hal. 164)

(b) Orang berhuma di Paya Ketapi,
Huma tak jadi paya tinggal;
Saya seperti beras ditampi,
Beras diambil sekam ditinggal.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. hal. 191)

(c) Jika dilurut padi masak,
Jatuh ke tanah berderai-derai;
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai.
(Zainal Abidin Bakar, 1983, hal. 146)

(d) Mara hinggap mara terbang, enggang lalu ranting patah (Shellabear, W.G, 1963, hal.53).
Jika seseorang tiada membuat sesuatu kesalahan, tetapi ia ada bersama tatkala kejadian itu berlaku, maka ia tertuduh sama.

(e) Usul-usul asal-asal, asal jangan ditinggalkan (Shellabear, W.G, 1963, hal.100).
Dalam segala pekerjaan patutlah menilik daripada permulaan kejadiannya.

(f) Jikalau menampi, jangan tumpah padinya (Shellabear, W.G, 1963, hal.100).
Jikalau memilih dalam sesuatu, jangan pula barang yang berguna pun jadi jumlah buangan.

(g) Lekuk batu dititik air selalu. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 118).
Biar bodoh sekalipun kalau belajar dengan bersungguh-sungguh, nescaya akan menjadi pandai juga.

Jika diteliti contoh-contoh 4.2 (a-f), pemikiran logik yang terpancarl ádalah hasil daripada komunikasi di antara pengkarya dengan manusia/ alam. Logiknya jika sesiapa rajin belajar akan pandai, benih yang baik akan menghasilkan yang baik, dan pembentukan peribadi manusia hendaklah bermula sejak awal lagi kerana diri masih bersih, lembut dan mudah diwarnakan. Manakala contoh-contoh 4.3 (a-g), pemikiran logik lagi jelas. Maksud pantun (a), logiknya bertitik-tolak dari premis “mati semut kerana gula. Gula yang terkena semut akan dibuang kerana gula sudah tercemar/ kotor.” Premis dalam maksud pantun (c) pula menyatakan logik “rumah di tepi pantai akan dilanda/ dilambung ombak. Maka, janganlah berumah di tepi pantai kalau takut dilanda ombak.” Begitu juga peribahasa (e) dan (g) menarik pemikiran logia yang melibatkan proses penaakulan. asumsi dan falasi akan mengheret kita membuat kesimpulan yang salah. Contoh-contoh peribahasa lain yang berada dalam kelompok asumsi dan falasi: Batu direbus masakan empuk (Abdullah Hussain, 1982, hal. 30)/ Orang bodoh tak dapat diberi ajaran. Peribahasa ini suatu falasi kerana berlawanan dengan peribahasa “Pijat-pijat telah menjadi kura-kura” (Abdullah Hussain, 1982, hal. 160)/ Orang bodoh dan hina telah menjadi cerdik dan mulia. Begitu juga dengan falasi “Rebung tak miang, bemban pula miang.” (Abdullah Hussain, 1982, hal. 164)/ Orang yang bersangkutan berdiam diri, sedang orang luar ikut campur dan “Yang secupak takkan jadi segantang/ Yang sehasta takkan jadi sedepa/ Yang sejengkal tidak jadi sedepa.” (Abdullah Hussain, 1982, hal. 224)/ Sesuatu yang tidak dapat diubah lagi.

Pemikiran Lateral
Seterusnya dihuraikan pula pemikiran lateral yang diperkenalkan oleh Edward de Bono. Pemikiran lateral adalah pemikiran yang mengaplikasikan aspek kreativiti, imaginasi dan fakta, bukanlah pemikiran yang bersifat khayalan. (Mohd. Yusof Hasan, 2000, hal. 2). Penggunaan kreativiti manusia dalam penghasilan sesuatu yang baru amat diperlukan. Kita menggunakan kreativiti, misalnya untuk menyelesaikan masalah sedia ada atau lama, mencipta produk baru, dan mencari pelbagai alternatif yang sesuai mengikut masa, lokasi, budaya, dan cita rasa. Dalam pemikiran lateral, ungkapan yang sesuai ialah “semua boleh dan ada alternatif.” Bagi pemikir lateral, jalan yang lebih baik sentiasa dicari dengan cara menukar, memindah, mengubah dan melarikan diri dari pemikiran sedia ada atau lama. (Lihat Mohd. Yusof Hasan, 2000, hal. 142 – 153).
Dalam pemikiran lateral, terdapat alat pemikiran. Alat pemikiran merupakan instrumen yang dapat membantu seseorang menggunakan pemikiran dengan lebih tersusun, sistematik dan berkesan. (Lihat Mohamad Azmi Ab. Rahman, 2004, hal. 107-115). Antara alat pemikiran lateral ialah CoRT1 hingga CoRT 6 (Cognitive Research Trust). (Edward de Bono, 1997). Alat pemikiran CoRT1 merupakan asas bagi keseluruhan CoRT; PMI (Plus, Minus, Interesting), CAF (Consider All Factors), C&S (Consequence And Sequel), AGO (Aims, Goals, Objectives), FIP (First Important Priorities), APC (Alternatives, Posssibilities, Choices), OPV (Other Point Of View), RULES, PLANNING, DECISIONS.
Dalam genre pantun dan peribahasa Melayu, dapat dikesan unsur pemikiran lateral dan beberapa alat pemikiran CoRT 1 digunakan secara langsung atau tidak langsung.

(a) Anak siamang di pohon duri,
Anak buaya terenang-renang;
Jika malang menimpa diri,
Bawalah tertawa supaya tenang.
(Zainal Abidin Bakar, 1983, hal. 144)

(b) Kuda sakti jatuh di logam,
Kena panah patah kakinya;
Cubalah tabur padi segenggam,
Barulah tahu mana jadinya.
(Zainal Abidin Bakar, 1983, hal. 158)

(c) Sambil menyelam minum air, menyerodok galas lalu (Shellabear, W.G, 1963, hal.25).
Berbuat dua pekerjaan dalam satu waktu, yang mana kedua-duanya mendatangkan faedah.

(d) Baik-baik berjagung sementara padi masak (Shellabear, W.G, 1963, hal.25).
Sementara menanti pekerjaan yang besar-besar, baiklah berbuat pekerjaan yang kecil-kecil dahulu.

(e) Adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung. (Abdullah Husain 1982, hal. 3).
Tidak mementingkan diri sendiri.

(f) Apabila orang miskin menghendaki wang, dia mendapat anak; apabila orang kaya menghendaki anak, dia mendapat wang. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 11).
Hasil yang berlawanan dengan keinginan; lain yang dihajati lain pula yang diperoleh.

(g) Awak tikus, hendak menampar kucing. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 13).
Melakukan sesuatu yang mustahil.

(h) Belakang parang lagi kalau diasah nescaya tajam. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 31)
Biar bodoh sekalipun kalau belajar dengan bersungguh-sungguh, nescaya akan menjadi pandai juga.

(i) Lemak manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 119).
Sesuatu nasihat itu hendaklah difikirkan masak-masak buruk baiknya, sedangkan kecaman janganlah pula ditolak mentah-mentah.

(j) Kalau bangkai galikan kuburnya, kalau hidup sediakan buaiannya. (Abdullah Hussain, 1982, hal. 95).
Pertimbangan tentang buruk baiknya sesuatu itu hendaklah diperbuat sesudah kejadiannya berlaku.

(k) Biar pecah perut, bumi merekah (Abdullah Hussain, 1982, hal. 47) Keputusan yang tegas.

Genre pantun ádalah karya asli orang Melayu. Pantun memiliki struktur binaan luaran dan dalaman yang tersendiri, dan unik terhasil daripada daya kreativiti dan imaginasi tinggi penciptanya. Pencipta/ pengkarya pantun ádalah manusia (pemikir lateral) yang kreatif. Pencipta pantun mewarnakan wajah fizikal pantun dengan skema rima, baris dan suku kata setiap baris seimbang. Wajah bahasanya pula sarat dengan citra alam, simbol, metáfora dan ironi. Begitu juga bahasa peribahasa Melayu disulam keindaham dan berseni serta sarat dengan ketaksaan makna kehidupan.
Jika diteliti contoh-contoh 4.4 (a-k), dapat dikesan adanya pemikiran lateral. Contoh peribahasa (g) menjelaskan lagi bahawa tindakan dan perlakuan manusia adakalanya “melakukan sesuatu yang mustahil.” Bagi pemikir lateral, maksud peribahasa “Awak tikus, hendak menampar kucing” inilah yang dilakukan. Peribahasa (c), (d) dan (h) memperlihatkan bahawa tindakan di luar dan lari dari kerangka pemikiran biasa akan mendatangkan banyak faedah kepada manusia. Selain itu, contoh-contoh 4.4 (c – k) dapat juga diteliti aspek pemikiran lateral dengan menggunakan alat pemikiran CoRT1. Berdasarkan peribahasa, misalnya contoh (d), dapatlah dikaitkan dengan PMI, CAF, FIP dan OPV. Peribahasa (e) memenuhi kehendak OPV, dan kaitannya dengan DECISIONS seperti juga peribahasa (k) yang menyatakan bahawa “keputusan yang tegas.” Manakala peribahasa (i) dan (j) dapatlah dikaitkan dengan CAF, C&S, APC, OPV, dan DECISIONS.

Pertimbangan dan Rumusan
Teori SP4L/ SPB4L bukanlah sebuah teori yang besar, apatah lagi tersohor. Namun teori ini muncul, digarap, dikembang, dan mencari-cari titik pemantapan dan pemurnian dalam usaha untuk berada di persada jutaan teori lain dalam kelompok ilmu yang sama. Apa-apa teoripun yang terhasil pastinya ada manfaat kepada khalayak, dan boleh diaplikasikan terhadap kehidupan manusia.
Teori SP4L/ SPB4L harus mencari pengikutnya dan diaplikasikan terhadap pelbagai disiplin ilmu untuk berkembang di pentas ilmu. Jika tidak,teori tinggal teori, hilang gahnya, dan akan pudar ditinggalkan tanpa kepedulian akademikus di rumah ilmu. Meskipun teori ini bersifat lokal tetapi terkandung unsur komunikasi - pemikiran global. Maka dapatlah dikatakan teori ini sebuah teori yang lokal tetapi global (loglo).

Rujukan
Abdullah Hussain.(1982). Kamus istimewa peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
de Bono, E. (1997). de Bono’s thinking course revised. London: BBC Book.
de Bono, E. (1973). CoRT thinking. Pergamon Press.
Gove, P.B. (1986). Webster’s third new international dictionary of the English language unabridged. Springfield, Massachusetts: Merriam-Webster Inc.,
Hassan Ahmad. (2006). Ke arah kelahiran Melayu glokal: Memperkasa bangsa melalui kekuatan dalaman. Shah Alam: Alaf 21 Sendirian Berhad.
Kamus dewan edisi keempat. (2006). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Yusof Hasan. (1994). Pemikiran saintifik (SP4L). Sintok: Sekolah Bahasa dan Pemikiran Saintifik, Universiti Utara Malaysia.
Mohd. Yusof Hasan. (2000). Pemikiran saintifik SPB4L. Petaling Jaya: Pearson Education Malaysia Sdn. Bhd.
Mohd. Yusof Hasan, Mohamad Azmi Ab. Rahman, Ghazali Hamid & Syd. Abdul Rahman Syd. Zin. (2001). Pengantar pemikiran. Sintok: Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia.
Mohamad Mokhtar Hassan. (2005). Teori konseptual kata kunci. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Mohamad Azmi Ab. Rahman. (2004). Kesusasteraan Melayu: Dimensi bahasa dan pemikiran. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Mohd. Tajuddin Hj. Abdul Rahman & Rahman Shaari. (1997). Teman peribahasa untuk KBSM. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti SDn. Bhd.
Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd. Yusof Hussain. (2003). Teori-teori komunikasi. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Shellabear, W.G. (1963). Kitab kiliran budi. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
Zainal Abdin Bakar. Peny. (1983). Kumpulan pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.