Isnin, 16 November 2009

Drama @ Main Puteri

Main Puteri adalah merupakan salah satu permainan tradisi dalam kebudayaan masyarakat Melayu Kelantan. Selain Main Puteri atau Main Teri, permainan tradisi lain seperti permainan Mak Yung, Menora, Dikir Barat dan Bageh. Kebiasaannya permainan Main Teri adalah bertujuan pengubatan semangat dan kejiwaan yang digunakan dalam masyarakat Melayu Kelantan-Pattani atau lebih dikenali pesakit angin / ‘pelepas angin’ yang dihadapi oleh pesakit. Upacara Main Puteri dianggotai oleh dua watak utama iaitu Tuan Puteri dan Tok Minduk yang bermain rebab dan diiringi oleh paluan gendang ibu dan anak. Sebelum majlis dimulakan, ia dimulai dengan bacaan doa selamat yang menampilkan Tok Puteri mempersiapkan diri sambil membaca doa tertentu manakala Tok Minduk yang dibantu oleh anggota oleh 10 atau 11 orang anggota akan mengiring main puteri dengan iringan tiupan serunai dan pukulan rebab, gendang ibu, gendang anak, gedombak ibu, gedombak anak, tetawak dan canang, sebelum bertih dan beras kunyit ditabur di ke empat penjuru ruang. Kebiasaannya rawatan diadakan pada sebelah malam, ada kalanya dalam tempoh dua atau tiga jam, malah berlarutan hingga pagi.

Ketika Tuan Puteri lupakan diri, semangat halus akan meresap kedalam tubuh Tuan Puteri dan Tok Minduk akan menyoal makhluk halus tersebut untuk memastikan punca penyakit. Di dalam kepercayaan main puteri setiap bahagian tubuh badan manusia mempunyai penunggunya sendiri dan penyakit yang dialami adalah kerana penunggu atau hantu ini tidak disaji. Di dalam pengubatan ini Tok Puteri dengan menggunakan kepercayaan penyakit tentang semangat dan hantu cuba mecetuskan tenaga pemulihan dari dalam badan pesakit sendiri. Selalunya penyakit psikologis dapat dipulihkan, yang bukan fisiologis tidak.

Main Puteri akan dimainkan selama satu sehingga tiga malam untuk tujuan berubat penyakit yang disebabkan oleh rasukan maklus halus, hilang semangat, ketidakseimbangan tenaga dalaman, dan juga oleh gangguan angin ( kehendak yang tidak dipenuhi.) Tok Minduk yang bertindak sebagai perantaraan yang menggunakan lagu-lagu sambil menggesek rebab dan berinteraksi dengan Tok Puteri. Ketika Tok Puteri lupa diri seolah-olah diresapi semangat halus dalam tubuhnya, Tok Minduk akan menyoal secara halus tentang punca penyakit dan menafsirkannya bersama. Tok Minduk membayangkan masalah pesakit dan mengungkapkan secara bijak dialog perbualan antaranya dengan Tok Puteri.

Dalam upacara Main Puteri diseru beberapa watak dan perkataan seperti dewa muda, hala tujuh, anak jin putih selangkah tunggal menggunakan pengeras yang terdiri dari beras, benang sirih pinang dan pengeras duit siling 25 sen. Pengucapan yang dilakukan Tok Minduk merupakan perlambangan, simbol dan kiasan serta mempunyai falsafah yang selari dengan aspek kehidupan dan keagamaan. contohnya watak Dewa Muda adalah perlambangan nafsu, sifat dan kesempurnaan manusia manakala ‘hala tujuh’ ialah wali tujuh dan bukannya membawa pengertian hantu dan jembalang. Anak jin putih selangkah tunggal pula adalah jasad (jisim) dan putih adalah darah yang sukar. Wang pengeras 25 sen mencerminkan bilangan rasul dengan benang dianggap tasbih, mengambil berkat para ambia, nabi-nabi dalam usaha mendoakan sembuhnya pesakit.

Dalam Main Puteri, rebab mempunyai peranan yang penting. Rebab akan digesel dengan tertib, semasa ia dimainkan tiada sesiapa dibenarkan melintasi dihadapannya. Rebab melambangkan gerak mula kehidupan manusia yang murni, tertib dan sempurna dalam kehidupan anggota badan, kemudian dimulakan dengan bacaan ayat al-Quran dan memohon Tuhan sembuhkan pesakit. Main Puteri mengandungi empat lagu dan kebiasaannya dimainkan mengikut kesesuaian penyakit yang dihadapi oleh pesakit. Persembahan Main Teri tidak memerlukan manuskrip kerana dialog diucapkan Tok Puteri dan Tok Minduk, berdasarkan jenis angin yang ada pada pesakit dan diucapkan dengan fasih oleh kedua-dua pendukung terbabit.
Contohnya seperti dialog dibawah;

“Kalau ikut pusaka ayah, arwah tok nenek Nik (pesakit) tidak jadi lagu (macam) ni. Sebab zaman tok nenek Nik, beso (biasa) akat kira bicara, siapkan pulut satok (semangat), kelor (panggil) waris warah, masuk ijmak kira bicara. Jatuh ke Nik, habis dok (duduk) atas papan selipat, tikar sebidang, bantal sebutir, paling kiri basah, paling kanan basah, tiada orang nak tolong kira bicara”.

Ungkapan yang dilakukan oleh Tok Minduk tadi menjelaskan keinginan pesakit untuk mendapat perhatian daripada anggota keluarga dan pesakit tidak mahu bersendirian. Tok Minduk akan mengucapkan satu dialog yang tetap, iaitu "...ya benar sekali...." yang diucap berulang kali sebagai tanda memahami cerita Tok Puteri berkaitan masalah angin pesakit dan Tok Puteri akan menjelmakan angin pesakit menerusi luahan watak. Antara unsur angin yang dibangkitkan dalam upacara rawatan itu ialah Angin Raja Dua Belas iaitu Sulung, Bimbaran Empat, Pahlawan Empat, Sertan Empat, Megat Empat, Cik Siti Putih Nakhoda Anjung, Mamud Kuning Hayun Manis Hitam Ayun Baka, Anak Dewa Di Gunung dan Awang Pengasuh. Perlakuan di bawah sedar Tok Puteri memperlihatkan ragam manusia berjalan tempang, bersuara sengau, bermasalah dengan anak menantu dan berperwatakan pendekar selain dialog berubah-ubah mengikut watak yang dibawa Tok Puteri dalam gaya pengucapan puisi tradisional dialek
Kelantan-Pattani yang menarik.

Drama pentas dan drama elektronik yang terdapat pada masa ini terdapat beberapa persamaan dan persamaan. Antaranya drama Pentas yang dipentaskan dan dipertontonkan oleh sesebuah kumpulan kebiasaannya akan dapat memberikan lebih kepuasan kepada penonton. Kebanyakan mereka yang terlibat drama pentas terdiri dari mereka yang berpengalaman, berupaya dalam mendalami watak dan menjalani latihan dalam tempoh masa yang lama. Mereka akan berusaha seboleh mungkin untuk mengurangkan dari berlakunya kesilapan dalam pementasan. Kebanyakan drama pentas memerlukan seseorang itu menggunakan kebolehan diri yang ada pada mereka semaksima mungkin seperti menari, melompat, bergaduh , menyanyi dan sebagainya. Jadi pementasan drama pentas menuntut komitmen yang tinggi dari mereka yang terlibat. Keadaan ini adalah amat berbeza sama sekali dengan mereka yang terlibat dalam darama media elektronik. Segala kesilapan yang dilakukan ooleh pelakon boleh dibetulkan berulangkali sehingga menepati kehendak skrip, disunting dan sebagainya.
Proses pementasan drama pentas boleh disesuaikan mengikut kos. Pementasan ini boleh dilakukan dimana saja mengikut kesesuaian dan jenis drama yang dipentaskan terpulang samada sebabak atau sebagainya, dan ia boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Keadaan ini adalah amat berbeza samasekali jika dibandingkan dengan proses pembikinan filem layar perak yang memerlukan kos yang tinggi dalam merealisasikannya. Kos untuk kostum, pengangkutan, kamera, penyuntingan dan sebagainya.

Hakikat yang perlu diakui oleh semua golongan ialah jumlah penonton drama pentas adalah terhad kepada sesuatu kelompok dan dimainkan pada masa tertentu. Justeru itu drama pentas juga dikenai sebagai salah satu bentuk hiburan milik golongan elit memandangkan kos untuk menikmati pementasan adalah tinggi dan tidak mampu dinikmati oleh golongan marhain. Puteri Gunung Ledang The Musical III yang dipentas hanya mampu menarik golongan pertengahan dan elit sahaja. Keadaan ini amat berbeza berbanding dengan filem yang sama, Puteri Gunung Ledang, ia boleh dinikmat oleh sesiapa sahaja dengan kos yang begitu murah dan boleh dilakukan dimana saja tanpa melibatkan lokasi yang khusus.Jumlah penonton yang terhad ini menjadikan ia amat mahal untuk dipentaskan dan dinikmati selalu, ia amat berbeza bagi kategori drama elektronik, berjaya merentasi sempadan politik, agama dan bangsa.

Kebanyakan pementasan drama akan mengambil masa yang panjang merangkumi kegiatan latihan seperti bacaan skrip, latihan pengukuhan, penyediaan prop dan pentas serta pekara yang berkaitan dengannya. Kos dan masa yang diambil bagi menyediakan pentas agak lama berbanding dengan pementasan yang dilakukan hanya tempoh beberapa hari sahaja. Keadaan ini adalah amat berbeza sama sekali dibandingkan dengan proses pembikinan filem. Kebiasaannya tempoh menyiapkan sesebuah filem adalah di antara dua bulan sehingga setahun seperti yang dilakukan di Malaysia pada masa kini.

Drama pentas atau drama media elektronik mempunyai persamaan yang dalam memainkan peranan sebagai agen perubahan dan sebagai wadah pengajaran. ( Aziz Abas via Rahmah Bujang , 1982 : 83 ). Pementasan atau penyiaran drama yang berasakan kedua- dua kategori ini adalah berasaskan cara kehidupan manusia sehari-hari dan dan unsur kesenian yang wujud di antara penonton dan pelakon. Namun demikian dari segi penayangan drama atau filem yang berasaskan elektronik lebih terikat dengan perancangan persembahan, mutu dan standard cerita yang ditetapkan dan kecenderungan penonton dalam memenuhi kehendak penayangan. Keadaan ini adalah amat berbeza berbanding dengan cerita drama pentas yang tidak begitu terikat dengan kategori di atas.

Kalam Hamidi ( 2003:40 ) menyatakan proses pementasan darama pentas adalah amat berbeza sama sekali berbanding dengan media elektronik yang terdapat pada masa kini. Pementasan drama pentas ini memerlukan beberapa prop yang khas bagi mengambarkan situasi cerita, kostum, pencahayaan dan sebagainya bagi mengambarkan peredaran masa dan tempat yang dipentaskan. Penggunaan tirai dalam pementasan drama amat penting sekali kerana ia melambangkan peralihan masa dan terbahagi kepada beberapa bahagian seperti tirai pembuka dan penutup, tirai babak-babak yang dilakonkan dan yang terakhir ialah tirai penutup disamping kebijaksanaan pengarah dalam menyusun atur penggunaan pentas dan lampu. Pekara sebegini tidak begitu dititikberatkan dalam media elektronik seperti proses pengambaran dan pembuatan filem contohnya. Kebanyakan pengarah akan mencari lokasi yang bersesuaian dan boleh diubah-ubah, penggunaan kostum yang bersesuaian, pemilihan pelakon yang bersesuaian dan mampu menjiwai watak yang diserahkan (Darwis Harahap, 1993:14). Kejayaan lakonan drama pentas atau drama layar perak bukanlah diukur berdasarkan ungkapan pelakon tetapi berasaskan keupayaan penonton dalam menyelami watak yang dibawa, penonton ketawa tanpa melibatkan pelakon ketawa , pelakon merasa sedih tanpa pelakon mengalirkan air mata.
Semua orang tahu menyebut 'drama', tetapi apakah kita benar-benar memahami konsep sebenar sebuah 'drama' dan ciri-cirinya. Drama berasal daripada dua perkataan samada dari bahasa atau sifat. Pengertian drama dari bahasa adalah berdasarkan perkataan Greek Tua iaitu “dran” yang bermaksud satu lakonan atau perbuatan. Manakala dari segi sifat pula membawa maksud ‘sedih’ ( Kalam Hamidi 2003:20). Drama ialah aksi mimetic (peniruan), iaitu aksi yang meniru atau mewakilkan perlakuan manusia. Menurut Aristotle, drama ialah peniruan kehidupan, sebuah cermin budaya dan suatu bayangan kebenaran. Dalam buku The American College Dictionary, drama didefinisikan sebagai karangan prosa dan puisi yang menyajikan dialog, pantomin atau cereka yang mengandungi konflik untuk dipentaskan. Mengikut Oxford Dictionary, drama sebagai komposisi prosa boleh disesuaikan untuk diaksikan di atas pentas yang ceritanya disampaikan melalui dialog dan aksi, dan dipersembahkan dengan bantuan gerak, kostum dan latar hiasan seperti kehidupan yang sebenar. Bagi Aristotle, plot merupakan penggerak utama sesebuah drama dan drama harus dibina daripada tiga kesatuan, iaitu aksi, tempat dan masa. Elemen-elemen inilah yang menyebabkan drama ialah sebahagian daripada cabang sastera. Selain elemen sastera, drama juga merangkumi elemen-elemen seni yang lain seperti lakon, seni muzik, seni bina, seni busana dan seni tari.

Manakala Rahmah Bujang ( 1994:2 ) telah memberikan definisi drama sebagai sebuah hasil seni yang berbentuk kreatif dan dramatik yang mengutamakan kesan dan tekanan emosi sebagai penambat yang mendorong penonton untuk terus menonton dan menjwai persoalan-persoalan yang dramatik dari awal sehingga akhir.
Mana Sikana ( 1982 : 3) menyatakan drama adalah berasal dari perkataan Greece yang bererti aksi dan gerak yang melibatkan aspek penulisan skrip, pengarahan, pemangunggan, dan lain-lain aspek pementasan manakala Herman J Waluyo mendefinisikan drama adadalh berasal dari kata akal yunani iaitu “draomai” yang bererti membuat berbuat, berlaku, bertindak atau beraksi. Secara keseluruhannya drama ini memberikan makna satu cabang seni sastera atau seni mandiri.
Moody menyatakan bahawa drama merupakan bentuk kebudayaan yang melekat erat pada kebudayaan dan kebiasaan manusia diseluruh dunia. Drama dapat memebtuk seseorang menjadi dewasa dengan mengajarnya pelbagai pengalaman hidup manusia beradasarkan watak yang dilakonkannya. Melalui pementasan drama, seseorang itu akan dapat memahami dan mengenrti kehidupan manusia yang lain dengan sepenuhnya. Drama bukan hanya untuk dibaca , tetapi untuk dilakonkan di atas pentas, dengan penghayatannya berbeza antara dibaca dengan pementasannya. Di sinilah letaknya perbezaan maksud antara drama dengan teater. Sebuah drama ialah naskhah skrip yang boleh dibaca secara individu tanpa memerlukan ruang, pelakon atau bantuan seni yang lain. Apabila skrip drama itu dilakonkan di atas ruang pentas dengan gabungan pelbagai seni yang lain dan ditonton pula oleh khalayak secara kolektif, maka ia dinamakan teater.
Sejarah perkembangan drama adalah amat panjang. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa drama adalah berasalkan dari Greek, Mesir dan India. Dari segi ilmunya, Greek adalah antara negara yang berkaitan dengan perkembangan drama pada masa kini. Drama pada peringkat awal lebih memainan fungsi sebagai upacara ritual dalam kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Sesetengah pula berpendapat perkembangan drama di Mesir bermula pada zaman pemerintahan Firaun pada zaman kedua dan ketiga sebelum masehi. Bagaimanapun pandangan ini tidak diterima oleh para ilmua kerana tiada catatan yang bertulis mengenai perkembangan drama disini dan ini berlaianan dengan India yang mempunyai catatan bertulis iaitu Natyasastera. Perkembangan drama melibatkan beberapa bahagian seperti drama moden dan drama tradisional. Perkembangan drama tradiosnal pada peringkat awal yang berfunsi sebagai sebuah upacara ritual dalam membentuk sesebuah masyarakat yang harmorni. Contohnya, upacara memuja pantai yang dilakukan di sebuah negeri di pantai Timus semenanjung Malaysia selepas musim menuai adalah melibatkan upacara ritual, jampi serampah, teater atau drama kemudian dikuti oleh majlis perkahwinan. Dewasa ini, pementasan drama merupaka salah satu idea dalam menerapkan idea pemikiran masyarakat atau sebagai alat propaganda pihak tertentu. Drama moden yang terdapat pada masa ini lebih merupakan drama yang berbentuk prosa moden atau puisi. Terdapat beberapa drama yang menggunakan puisi dalam pementasan seperti yang digunakan dalam sandiwara. Kewujudan pelbagai genre drama yang terdapat dipasaran pada masa ini telah memberikan ruang dan peluang yang luas untuk dibaca dan dipentaskan.

Perkembangan dan fungsi drama yang pelbagai dan menyeluruh telah berjaya melahirkan sebuah karya kreatif yang berkesan dalam membentuk sebuah genre dalam merakam dan membangunkan semangat nasionalise, perakam sejarah, pencerminan masyarakat dan sebagai alat untuk mendiskusi keunggulan intelektualisme dan tamadun masyarakat. Keberkesanan dalam pengolahan idea yang dialirkan berjaya melahirkan sebuah genre drama yang mampu mencetuskan satu fenomena dikalangan khalayak.
Kebolehan dan kebijaksanaan pengarang dalam melahir dan membentuk watak-watak drama menjadikan watak tersebut benar-benar wujud di alam nyata dan seakan ia begitu rapat dengan kita. Pengucapan dan pengolahan idea yang dilontarkan oleh watak yang diwujudkan pengkarya melalui watak hero, heroin, dan watak pembantu yang lain telah berjaya memberikan impak yang pelbagai dalam pementasan drama. Drama Sharom Husain, Si Bongkok Tanjung Puteri , berjaya menggarapkan unsur patriotisme dan melahirkan semangat kebangsaan terhadap tanah air melalui watak seperti Si Bongkok, Tanjung, Daeng Parani dan sebagainya. Begitu juga dengan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical yang diolah dan dipentas oleh Tiara Jacqueline di Panggung Negara telah berjaya memberikan satu impak terhadap perkembangan seni pementasan negara pada masa ini.
Pemikiran dan gagasan pengarang yang disampaikan didalam sesebuah drama melalui pengucapan dialog watak-wataknya atau melalui penggunaan pelbagai perlambangan dalam menyampaikan idea. Drama yang bersifat sejarah contohnya, pengarang akan menasiolismekan bangsanya dengan mewujudkan watak-watak dari kerajaan Melayu pada satu ketika dahulu seperti zaman kesultanan Melaka, Johor dan Pahang. Watak-watak seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Mat Salleh dan Mat Kilau sebagai satu cara melahirkan semangat patriotisme dikalangan rakyat. Kewujudan watak yang sebegini menyebabkan plot akan bergerak , beraksi, bercakap, berfikir, berkonflik antara satu sama lian.
Aristtole telah mengkategorikan beberapa konflik berdasarkan watak yang terlibat. Pertama watak yang hidup akan bergerak selaras dengan perwatakan kemanusiaannya atau kedanamika kehidupan. Kedua watak tersebut harus ada keseimbangan yang sesuai dengan kemampuan diri dan kehendak dramatik sebuah drama. Ketiga watak yang wujud itu mestilah watak yang asli sifatnya bukan wujud atas dasar tertentu atau bersifat palsu dan yang ke empat watak harus kukuh iaitu perubahan watak yang berlaku atas sebab musabab. Drama yang terdapat pada masa ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Menurut Herman J. Waluyo (2002:2 ), kategori drama adalah terdiri daripada drama pentas dan drama naskah. Hasil darpada drama naskah itulah lahrlah beberapa jenis drama yang lain seperti drama pentas, layar perak, elektronik dan sebagainya.
Perwatakan yang wujud dalam drama dewasa ini bertujuan menyorot perwatakan kemanusiaan seperti keinginan, tindakan, perasaan dan sebagainya. Pembentukkan plot yang baik selalunya akan mendapati watak yang yang wujud adalah bersesuaian dari aspek perkembangan jiwa dan dan pemikirannya dari peringkat awal, semasa dan akan berlaku. Perjalanan watak ini akan dikongsi bersama oleh penonton dari segi emosi, jiwa, perasaan dan sebagainya menyebabkan penonton dapat merasai ‘pengalaman hidup’ dan melahirkan pengalaman yang dramatik berdasarkan unsur dramatik yang wujud disekelilingnya. Sebuah skrip yang tidak didasari oleh konflik tidak dapat dianggap sebagai sebuah drama yang baik. Penggunaan bahasa dialog akan dapat memukau pendengar atau penonton apabila didengari oleh penonton dan menimbulkan keseronokan pancaindera disamping dapat menyampaikan amanat persoalan dan pengajaran., Gaya bahasa dalam sesebuah drama juga penting kerana ia menunjukkan latar masa dan masyarakat yang diwakilinya, sekali gus drama ini mencerminkan sosiobudaya masyarakat yang digambarkan oleh pengarang

Drama mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat sebagai salah satu genre sastera berbanding genre lain seperti cerpen, puisi atau novel dilihat dari segi menikmati dan menghayati sesebuah hasil karya. Ini kerana drama adalah berbeza daripada novel dan cerpen atau puisi. Bagi novel dan cerpen, pengarang akan menjelaskan dengan terperinci kepada pembaca tentang sesuatu situasi dan latar bagi sesuatu peristiwa yang berlaku. Dan situasi ini adalah berbeza dengan drama, seseorang pembaca hanya akan diberikan gambaran umum (deskripsi) tentang sesuatu situasi, latar atau tempat. Berdasarkan genre cerpen, novel atau puisi, kewujudan dialog adalah dalam situasi tertentu. Dialoglah yang akan menyampaikan mesej dan pemikiran pengarang. Hal inilah yang membezakan drama daripada karya sastera yang lain. Sememangnya sifat sesebuah naskhah drama digerakkan oleh dialog. Pemikiran atau gagasan pengarang disampaikan melalui dialog pelakon (watak-watak) yang berinteraksi dalam sesebuah drama. Sebuah naskhah drama yang baik akan dapat memberikan gambaran jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog yang dihasilkan. Unsur dramatik bermaksud diksi atau ungkapan yang boleh membangunkan konflik dalam drama seperti dialog yang menimbulkan perasaan marah, gembira, lucu, dan seumpamanya. Sebuah drama yang baik juga harus mempunyai unsur suspens, ketegangan dan seharusnya mampu membina rasa ingin tahu pembaca atau penonton.
Drama merupakan karya seni yang mempunyai sifat sosial yang paling luas. Drama bersifat kerja berkumpulan kerana gabungan pekerja seni yang lain dan juga kerana reaksi penonton yang bersifat langsung. Skrip drama yang menjadi sebahagian daripada cabang sastera bersifat “tetap” dan kekal secara keseluruhan, tetapi setiap kali naskhah drama itu dipersembahkan (dilakonkan) di atas pentas, produksi teks (skrip) akan berlaku perbezaan. Hal ini demikian kerana pelakon akan memberikan reaksi yang berbeza kepada penonton yang berbeza dan juga kesan daripada mood pelakon yang berbeza dalam setiap persembahan. Gabungan antara nilai yang tetap dan berubah inilah menjadi kelebihan sesebuah teater yang membezakannya daripada drama yang dirakamkan secara mekanikal, iaitu filem, drama radio dan drama televisyen.

Drama mempunyai tiga tahap sebelum ia dipentaskan berbanding dengan genre sastera yang lain berdasarkan perancangan, latihan dan pementasan. Perancangan yang dilakukan adalah bertujuan untuk mewujudkan sebuah karya baik dari seorang pengarah. Manakala latihan memerlukan seseorang itu menggunakan itonasi suara dan gerak tubuh aktor sebagai satu kesatuan suara dan hiasan pentas berserta dengan pemakaian kostum. Pada tahap yang terakhir ialah permentasan. Sutradara dan perancang, sebagai orang belakang panggung, membantu aktor-aktornya mempertunjukkan drama kepada penonton. Dari segi penggunaan bahasa, penggunaan bahasa drama pentas lebih segar dan menarik tidak terasa kaku seperti bahasa puisi atau terlampau merintih dan mendayu. Bahasa yang digunakan dalam genre drama adalah lebih hampir dengan yang dialog yang terdapat dalam masyarakat. Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang digunakan seharian, padat dan ringkas tanpa meleret-leret.
Genre drama juga adalah berbeza dengan genre sastera yang lain kerana ia dapat mengambarkan peranan manusia dengan tepat. Setiap gambaran atau penerangan tentang watak dan perwatakan digambarkan dengan dengan begitu baik. Watak – watak ini selalu mempunyai konflik antara satu sama lain dengan menggunakan dialog. Situasi ini berbeza dengan genre sastera yang lain yang hampir keseluruhan karya adalah terdiri dari prosa melainkan beberapa babak yang melibatkan dialog. Justeru penggunaan dialog dalam drama menjadikannya berjaya mencuit hati dan perasaan penonton dengan lebih berkesan.

Terdapat beberapa perbezaan antara drama pentas dengan drama elektronik. Moulton telah menyatakan drama pentas ialah sebuah drama yang lahir berasaskan penulisan dan dialog yang yang dilukiskan sebagai kehidupan manusia yang melakukan aksi. Kedua- dua genre drama ini menpunyai persamaan dalam menggunakan bahasa sastera sebagai media pengantaraan. Drama pentas dilakukan secara langsung dan seboleh mungkin tidak akan berlaku kesilapan semasa pementasan. Pelakon memberikan perhatian dan sepenuh penghayatan untuk menjayakan pementasan. Pemnentasan drama pentas memerlukan masa yang panjang untuk membuat latihan, penghayatan watak , menghafal skrip dan sebagainya. Keadaan ini berbeza dengan drama elektronik boleh dilakukan suntingan untuk membetulkan kesilapan pelakon dan dilakukan secara berulangan.
Drama pentas adalah merupakan sebuah seni yang bersifat mandiri, yang berinteraksi antara beberapa kesenian seperti musik, tatalampu, seni lukis kostum, seni rias dan sebagainya. Suanana ini adalah berbeza dengan situasi drama elektronik, dalam drama ini pengarah, atau penulis skrip akan mengadun dan mengolah bahan yang diperolehi atau apa-apa yang berkaitan dengannya mengikut kesesuaian sehingga ia menjadi begitu menarik. Drama eletronik adalah lebih bersifat dominan berbanding dengan drama pentas Drama pentas ini menggunakan naskah yang tertentu dan diolah mengikut kesesuaian dan ia tidak dapat mengambarkan dengan tepat situasi kejadian. Pementasan drama memerlukan seseorang penonton memahami dan menghayati serta dapat menafsirkan apa yang ingin dan akan disampaikan oleh pelakon. Keadaan ini amat berbeza dengan drama elektronik pada masa sekarang ini, yang lebih bersifat kelenturan dan boleh disuaikan dengan kehendak skrip seperti perubahan alam dan peredaran masa yang boleh disesuaikan.

Filem layar adalah merupakan sebuah drama elektronik yang dapat menjelmakan kehidupan manusia atau memanusiakan manusia berdasarka pelbagai sumber cerita seperti kehidupan harian rakyat, novel, rekaaan atau khayalan yang diolah menikut kesesuaian filem. Para pelakon akan memainkan watak-watak tersebut dengan cara yang berkesan bagi membangkitkan emosi dan keberkesanan watak yang dimainkan dari segi perwatakan, gerakan, dialog, perasaan atau kehidupan yang dikehendaki.
Rumusan
Seni drama samada drama pentas atau drama elektronik adalah merupakan satu medium masyarakat dalam menyalurkan idea dalam menyampaikan permikiran atau pengajaran terhadap masyarakat. Keupayaan seseorang yang bergelar pengarah atau penulis skrip diibaratkan seorang tukang masak. Merekalah yang menentukan samada ia diterima atu tidak oleh masyarakat


Bibliografi.
Abdul Rahman Napiah, 1987, Drama moden Malaysia, perkembangan dan perubahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Darwis Harahap, 1993, mengamati filem cereka, Fajar Bakti, Kuala Lumpur.
Herman J. Waluyo, 2002, Drama, teori dan pengajarannya, PT Hanindita Graha Widya, Yogyakarta.
Kalam Hamidi, 2003, Pegangan pementasan drama, Penerbit UKM, Bangi, Selangor.
Khadijah Hashim, 2000 , Panduan menulis skrip drama radio, ‘K’ Publishing Sdn. Bhd, Shah Alam.
Mana Sikana, 1989, Di sekitar pemikiran drama moden, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Mana Sikana, 1996, Drama Melayu moden, Fajar Bakti, Shah Alam.
Mohamed Ghouse Nasuruddin, Seni Persembahan Tradisi Menjelang Awal Abad ke-21, Siri Syarahan Pelantikan Profesor 1994/Bil. 6 Pada 24 September 1994, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Rahmah Bujang ( Selenggara ) 1982, Drama Melayu 25 tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Rahmah Bujang , 1994, Drama Melayu : dari skrip ke pentas, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Said Salim Said Nong, 1988, Drama Melayu Televisyen Malaysia, satu pernilaian perkembangan dan peranan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan