Abstrak.
Permasalahan sosial yang sering menghambat pelajar telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap keberkesanan dasar – dasar pendidikan kebangsaan. Sejauhmanakah hasrat dan harapan pihak yang berwajib dalam membentuk keperibadian mulia di kalangan pelajar tercapai? Bagaimanakah Falsafah Pendidikan Negara ( FPN ) berperanan dalam menyingkap dan menerapkan nilai – nilai murni yang terkandung dalam falsafah serta membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi , rohani dan jasmani. Penulis cuba menyorot kembali peranan FPN dalam menyemai dan menerapkan nilai – nilai murni seperti yang dicanangkan dalam FPK melalui pengajaran matapelajaran kesusasteraan Melayu. Perbincangan ini adalah bertujuan untuk melihat sejauhmanakah pengajaran mata pelajaran Pendidikan Kesusasteraan Melayu dapat menerapkan nilai – nilai murni dikalangan pelajar.
Pengenalan.
Pengajaran Kesusasteraan Melayu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam membentuk sebuah masyarakat yang bermoral. Impian kerajaan telah terpancar melaui dasar pendidikan kebangsaan melalui Falsafah Pendidikan Negara antara berbunyi ;
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara
Harapan kerajaan ini diungkap dengan lebih jelas berdasarkan sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum ( 2003 ). Falsafah Pendidikan Kesusasteraan antara lain bertujuan menjana minda, rohani dan emosi, mengukuhkan jati diri, menyuburkan budaya bangsa, dan memupuk sikap berdaya saing ke arah pembinaan insan bestari
Manakala nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Takrifan tentang nilai murni sebagai : "Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia”
Penerapan nilai – nilai murni melalui teks kesusasteraan adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu. Hasrat dan matlamat kerajaan ini telah dilakarkan melalui Penyata Razak pada tahun 1956 dan diteruskan dengan pengenalan pelbagai dasar pendidikan dan yang terbaru melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( PIPP ) yang memberikan fokus terhadap perpaduan dan memperkasakan sekolah. Berdasarkan PIPP melalui teras keduanya yang bertujuan membangunkan modal insan dan berpengetahuan serta berkemahiran dalam menghayati nilai – nilai murni , bermoral serta bersikap positif
Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri – ciri seperti percaya dan patuh kepada tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bersikap penyayang, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara. Berbakti dan memberikan sumbangan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Penerapan nilai- nilai murni melalui teks kesusasteraan Melayu juga dapat di kongsi bersama melalui tindakan yang bersepadu dalam menentang berlakunya penularan pelbagai penyakit masyarakat yang berpunca dari kepelbagaian gelojak teknologi yang mengheret remaja dan masyarakat terjebak dengan pelbagai masalah masyarakat. Isu ponteng kelas, pelacuran, perjudian, merempit dan sebagainya dapat diatasi dengan langkah mempelbagaikan kaedah pengajaran dan penganjuran apresiasi nilai – nilai sastera seperti penganjuran teater, mestamu puisi, seminar dan sebagainya yang membabitkan bilangan pelajar yang ramai. Penglibatan golongan pelajar yang ramai secara tidak langsung dapat mewujudkan interaksi antara pelajar yang berbilang kaum. Kesinambungan interaksi akan melahirkan kesefahaman dalam membentukan sebuah masyarakat yang bermoral berteraskan nilai – nilai murni.
Dasar Kurikilum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), terdapat kira – kira 17 jenis nilai – nilai murni yang akan diterapkan terhadap pelajar dengan 63 cabang nilai yang wajar diditeladani oleh setiap pelajar, oleh sebab karya sastera kaya dengan nilai – nilai murni, pengajaran komsas dapat membentuk pelajar yang berperibadi baik.
Rasional pengenalan nilai – nilai murni dalam pengajaran sastera akibat dasar kerajaan Inggeris pada suatu masa dahulu. Sikap penjajah yang menjalankan dasar pecah dan perintah telah menyebabkan berlaku peristiwa 13 Mei. Rusuhan kaum berlaku akibat tiada kepekaan dalam kalangan penduduk yang mengaku sebagai rakyat Malaysia. Struktur masyarakat yang terpisah akibat polarisasi kaum menyebabkan dasar pendidikan yang dimulakan oleh Tun Abdul Razak tidak dapat dijalankan sepenuhnya. Pengajaran kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada berbilang kaum dilihat sebagai sebuah wadah yang dapat menyatukan pelbagai bangsa yang seterusnya dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu.
Jawatankuasa Penddikan Aklak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti beberapa nilai akhlak yang terdapat di dalam beberapa agama yang terdapat di Malaysia. Penerapan nilai tersebut bertujuan membentuk murid yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak. Penekanan bagi penerapan nilai ini diteruskan melalui pelaksanaan KBSR dan KBSM.
Pembentukan nilai – nilai murni melalui teks sastera berdasarkan peranannya sebagai agen masyarakat. Nilai murni dapat diterapkan berdasarkan pembelajaran teks Kesusasteraan Melayu ( KS ). Pembelajaran pelbagai jenis genre seperti puisi iaitu pantun, syair, teromba, gurindam, cerpen , novel dan drama kesemuanya menjuruskan ke arah membentuk masyarakat yang bersopan santun dan berbudi pekerti. Contoh puisi Melayu seperti pantun banyak memaparkan tentang adat resam seperti penggunaan pantun di bawah.
Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja ditepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi.
Penggunaan pantun di atas, jelas memaparkan tentang kehidupan manusia yang berada dalam ruang lingkup kehidupan bermasyarakat. Manusia yang hidup hendaklah sentiasa berbudi perkerti yang baik.
Anak beruk di tepi pantai
Pandai melompat pandai menari
Biar buruk kain di pakai
Asal hidup pandai berbudi
Begitu juga dengan penggunaan pantun di atas yang memaparan tentang kebijaksaan masyarakat pada suatu masa dahulu yang berpandangan jauh dalam melontarkan idea dan pengajaran masyarakat pada masa tersebut. Idea tersebut terakam melalui pemilihan kata yang puitis dan merdu apabila diucapkan secara idak langsung memainkan peranan mendidik masyarakat dengan cara yang halus.
Sebagai sebuah masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama, secara tidak langsung akan menyebabkan masyarakat Malaysia akan terdedah kepada amalan yang menjuruskan kepada ketegangan dan sensitivi kaum. Kurang kepekaan terhadap isu semasa tidak mustahil peristiwa berdarah 13 mei akan berulangan. Tindakan Majlis peguam yang menganjur pelbagai forum yang menyentuh sensitivi kaum secara terbuka lebih bersifat mencurah minyak ke api. Peristiwa seperti ini dapat diatasi jika masyarakat Malaysia menerima pakai nilai – nilai murni yang terdapat dalam teks kesusasteraan Melayu. Teks kesusasteraan Melayu seperti ‘Pemberontakan’ yang pernah menjadi teks kajian pelajar dahulu turut memaparkan tentang permasalahan masyarakat di Malaysia berkaitan dengan pengambilan tanah oleh sesuatu kaum.
Antara nilai – nilai murni yang terpancar melalui teks kesusasteraan melayu seperti nilai baik hati, kepahlawanan, hormat – menghormati, kerajinan, patriotisme, berdikari dan juga berkaitan dengan hukum – hukum islam.
Nilai baik hati yang diterapkan melalui teks Kesusasteraan Melayu banyak terangkum dalam media seperti drama, novel, puisi dan cerpen. Berdasarkan novel ‘Perlumbaan Kedua’ karangan yang memaparkan tentang kehidupan masyarakat binatang selepas berlakunya peristiwa di antara Kura – Kura dengan Arnab. Berdasarkan teks ini, pengajaran yang diterapkan ialah , sikap baik hati, melupakan segala persengketaan yang tercetus pada masa dahulu dan melakukan muhasabah diri agar dapat mwujudkan satu masyarakat yang harmoni. Begitu juga di dalam novel ‘Julia’ karangan Abu Morad Hassan. Yang memaparkan tentang seorang kakak yang terpaksa menanggung keluarga dan mengambil alih perniagaan keluarga setelah kematian kedua orang tuanya dalam satu kemalangan. Kesanggupan Julia memikul tanggungjawab dalam usia yang masih mentah menunjukkan sikap yang baik dan matang dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia.
Sikap yang rajin berusaha dan berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain banyak dipaparkan dalam teks sastera spm. Watak seperti Julia ( Julia ) dan Tuan Faridah Syed Abdullah ( Seteguh Karang ) yang memaparkan tentang kecekalan dan kerajinan sorang wanita dalam mengubah nasib dan persepsi masyarakat. Citra wanita yang dilambangkan melalui teks tersebut sebagai seorang yang cekal, gigih, bijak dan rajin berusaha. Awanis atau Anis yang kematian keluarga akibat kemalangan jalanraya menjadi pemurung dan kemudian bertukar menjadi seorang yang cekal dan tabah. Manakala Julia pula merupakan seorang pelajar yang bijak dalam membahagikan masa dalam menguruskan perniagaan keluarga, pendidikan dan di samping menjadi ayah dan ibu kepada adik- adiknya.
Nilai patriotisme antara nilai yang tercatat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kesusasteraan Melayu. Nilai patriotisme banyak digambarkan tentang bagaimana masyarakat berusaha dalam menuntut kemerdekaan, menghargai dan memelihara dan pengertian sebenar tentang kemerdekaan. Gambaran ini terpancar lewat novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Mohamad. Novel ini berjaya memaparkan tentang masyarakat Melayu yang bersifat anti penjajah dan menyedari kelicikan Inggeris menguasai ekonomi orang Melayu.
Persoalan yang sering dipaparkan dalam sesebuah novel seringkali berkaitan dengan permasalahan masyarakat. Contohnya Novel Julia, memaparkan tentang kecekalan, ketabahan dan sikap bertanggungjawab seorang anak terhadap keluarga yang sanggup menggantikan kedua ibubapa yang meninggal dunia untuk mememelihara adik- adiknya. Kecekalan dan ketabahan Julia wajar di contohi oleh Masyarakat, yang mengutamakan keluarga melebihi dirinya. Watak Julia atau Awanis mempunyai sedikit sebanyak sedikit persamaan dengan Filem Abang 92 arahan Dato’ Rahim Razali yang dilakonkan oleh Azhar Sulaiman dan Hasliza Misbun. Kecekalan dan ketabahan Julia menyebabkannya dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Menurut Asmad, (1990:3) menyatakan satu daripada bidang kehidupan yang utama dalam kehidupan sesuatu masyarakat ialah kesenian. Kesenian dibahagikan pula kepada beberapa cabang tertentu. Seni atau kesenian pada dasarnya adalah sesuatu yang indah pada pandangan pancaindera manusia iaitu melalui penglihatan, pendengaran dan citarasa. Keindahan yang wujud pada setiap hasil kesenian itulah yang memberikan rasa kepuasan di dalam jiwa manusia. Kehalusan jiwa manusia turut menentukan nilai sesuatu hasil kesenian. Sehubungan dengan itu kehalusan rasa seni di dalam jiwa manusia pula berasaskan ketinggian budinya.
Kesenian umum yang dimaksudkan oleh Asmad adalah mempunyai perkaitan kehidupan manusia dan masyarakat. Masyarakat telah menggunakan unsur kesenian untuk membentuk atau menyalurkan nilai – nilai murni. Masyarakat Melayu pada zaman awal banyak menghasilkan puisi – puisi tradisi dalam usaha mendidik masyarakat pada masa itu dan tetap relevan sehinga sekarang ini.
Winckelmann dalam Johari Ab. Hamid (2000) menegaskan, keindahan mesti mengandungi ciri-ciri kesatuan, kesederhanaan dan perasaan. Keindahan ini mesti dinikmati oleh deria dan difahami oleh para intelek. Perasaan yang lahir dari deria dalaman dan luaran adalah penting untuk mengenal dan menikmati keindahan. Keupayaan pengarang dalam melukiskan watak dengan menggunakan unsur kesenian yang indah dan menarik menyebabkan nilai – nilai yang ingin disampaikan dapat diterapkan kepada pelajar. Terdapat sebanyak 17 nilai yang terdapat didalam teks sastera pada peringkat SPM. Antara nilai tersebut seperti kasih sayang, baik hati, tolak ansur , bertanggungjawab, cekal, tabah dan sebagainya. Kesemua ini terpancar melalui pelukisan watak oleh pengarang.
Penggunaan dialog yang sesuai dengan pemilihan dan penyusunan kata yang menarik telah menjadikan teks tersebut hidup. Penggunaan dialog yang bersahaja dan seharian menjadikan kita berasa amat rapat dengan suasana tersebut. Pembaca berasa dialog tersebut seperti diucapkan sendiri olehnya. Kebijaksanaan pengarang dalam memilih dan menyusun kata menjadikan dialog yang diucapkan tersebut lebih bermakna dan sarat dengan pelbagai nilai – nilai murni dan nilai estetika.
Pemilihan dan penggunaan gaya bahasa yang dilakukan oleh pengarang di dalam sesebuah teks banyak membantu dalam melahirkan dan membentuk sebuah masyarakat yang harmoni. Penggunaan gaya bahasa yang pelbagai seperti pengulangan kata, perlambangan, paradoks dan sebagainya sedikit sebanyak telah melahirkan unsur puitis dalam pelukisan watak secara tidak langsung nilai – nilai murni yang cuba diterapkan oleh pengarang dapat dilakukan dengan secara tidak langsung. Konsep masyarakat melayu yang berpegang kepada adat seperti melentur buluh biar dari rebungnya atau ular menyusur akar tidak akan bisanya.
Hubungan unsur dan kebudayaan yang terpancar melalui teks kesusasteraan mempunyai banyak perkaitan yang erat dengan nilai kemasyarakatan. Keeupayaan sesebuah masyarakat mengubahsuai unsur budaya dengan menggunakan medium kesusasteraan akan dapat mengembangkan warisan. Hubungan unsur atau sistem kebudayaan dengan perlakuan mempunyai perkaitan yang erat. Warisan budaya akan berkekalan jika pengaruh unsur ini masih dapat dipertahankan. Andainya unsur atau sistem budaya ini telah dipengaruhi, maka budaya warisan ini akan berubah atau mungkin lenyap ditinggal zaman. Masyarakat Melayu tradisional biasanya menyampaikan ilmu melalui adat resam mereka juga dalam perkataan seperti peribahasa, pantun, teka teki dan lain-lain. Ismail Hamid (1991:140) menyatakan jika diselidiki dalam puisi Melayu lama atau adat istiadat Melayu lama, kita akan temui unsur-unsur pengajaran dan falsafah pendidikan untuk membentuk dan memberi pendidikan secara informal khususnya kepada orang-orang muda yang tidak berpengalaman
Kesimpulan.
Penerapan nilai-nilai murni dalam teks sastera Melayu atau komsas diharap akan dapat membantu melahirkan sebuah masyarakat yang madani. Kesungguhan pihak yang berwajib dalam merealitikan impian masyarakat tidak harus dipandang enteng. Pengemblengan pihak yang berwajib dan masyarakat diharap dapat mewujudkan satu rantaian murni untuk merealisasikan dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui pembudayaan nilai tersebut.
Bibliografi.
Asmad. (1990). Kesenian, Adat, Kepercayaan dan Petua. Melaka:Associated
Educational Distributors (M) Sdn. Bhd
Ismail Hamid. (1991), Masyarakat dan Budaya Melayu, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Laman Web.
http://e-learning2u.com/pipp2.asp?http://www.scribd.com/doc/2524018/Pendidikan-Nilai-Melalui-Bahan-Sastera?ga_related_doc=1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan