Jumaat, 29 Julai 2011

Estetika karya teater tradisional




PERIBAHASA tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas sudah sebati dengan masyarakat Melayu yang menjunjung budaya dan adat yang diajar sejak zaman nenek moyang lagi.

Namun, saban hari kuasa budaya itu semakin hilang tenaga dalam meresap karakter dan cara hidup anak-anak muda kini ekoran dominasi globalisasi.

Permainan konda-kondi, congkak dan galah panjang mahu pun tarian tradisional negeri serta busana tempatan sekadar penghias muzium gara-gara peredaran zaman yang lebih mengikut acuan Barat.

Jika ada sekalipun, ia hanya menjengukkan wajah tatkala majlis-majlis perayaan ataupun acara-acara kesenian yang bertujuan memberi pengetahuan kepada anak-anak abad ke-21 yang buta sejarah dan budaya.

Bagi mengangkat estetika yang kian pudar itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi bulan Festival Kuala Lumpur 2011 giat mencanang Siri Teater Tradisional Malaysia.

Kurangnya penghargaan masyarakat tempatan hari ini terhadap teater dan bangsawan mendorong JKKN mewujudkan beberapa teater tradisional bermodalkan karya-karya agung sepanjang Julai ini.

Teater pertama yang dijayakan JKKN ialah persembahan Mak Yong yang intim dengan masyarakat negeri Che Siti Wan Kembang.

Kisah Raja Sinun Sakti dipentaskan penuh gah melambangkan kebijaksanaan pemerintah zaman dahulu mentadbir sebuah kerajaan bernama Jembar Tua dengan adil dan saksama.

Kreativiti randai

Konflik dimulakan oleh sebuah kerajaan yang ditadbir Raja Angah Sari yang mencemburui kekayaan milik negeri Jembar Tua dan cuba merampas kemewahan negeri tersebut.

Diselang-seli dengan tarian-tarian mengasyikkan, teater itu mampu menggambarkan mesej perpaduan. Mesej itu perlu dipupuk dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini agar tidak leka dalam mempertahankan maruah negara daripada dicemari anasir luar.

Menjengah kepada teater randai, tidak mustahil dikatakan ramai yang keliru dengan definisi randai. Malah ada segelintir yang pertama kali mendengar persembahan dari Negeri Sembilan itu.

Pegawai Kebudayaan, Universiti Malaya (UM), Ramzi Ramli, selaku peneraju utama teater yang berjudul Palimo Gaga itu menjelaskan, tarikan randai pada masa kini terletak pada kreativiti pengolahannya.

“Dahulu ia dipentaskan untuk tempoh di antara dua hingga tiga jam, tetapi disebabkan gaya hidup masyarakat kini yang sering bergerak pantas, ia hanya mengambil masa selama satu jam.

“Walaupun singkat, mesej dan jalan ceritanya padat serta cara penyampaiannya dirasakan dapat memberi impak kepada penonton,” ujarnya yang mendukung watak Palimo Gaga.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa teater randai merupakan gabungan silat gelombang dari Sumatera Barat dan pementasan bangsawan dari Tanah Melayu.


Mohd. Nasir bertindak sebagai Tok Dalang untuk persembahan wayang kulit berjudul Perjuangan Seri Rama.


Perkembangan teater tersebut di Malaysia berlaku secara berperingkat-peringkat. Ia bermula dengan gerak silat dan lakonan sehinggalah lengkap dengan gerak tari diiringi alatan muzik tradisional serta nyanyian.

Persembahan Kumpulan Randai Pusat Kebudayaan UM yang menggunakan dialek minang jelas menarik penonton pelbagai peringkat umur lapisan masyarakat.

Campuran alatan muzik seperti gendang, caklempong, bangsi dan serunai serta pendendang yang mengiringi teater tersebut turut mencuri tumpuan pelancong-pelancong asing yang berkampung di Bukit Bintang pada hari tersebut.

Nafas baharu bangsawan

Ketika kegemilangan bangsawan, barisan pelakonnya disanjung tinggi hingga terbitnya gelaran anak bangsawan pada era moden ini.

Meskipun tidak gah seperti dahulu, tidak bermakna warisan itu lenyap ditelan zaman bahkan masih ada lapisan anak-anak muda yang menjunjung kembali naskhah tersebut.

Diadaptasi berdasarkan teater Koma Jakarta karya Pak Mano dan diolah oleh Ahmad Yatim, teater bangsawan bertajuk Opera Primadona berlangsung dengan jayanya selama tiga hari di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur.

Pengarah persembahan, Syahmi Naim memberitahu, skrip dan penceritaan karya itu diterbitkan mengikut konteks penonton pada zaman sekarang.

“Penerimaan masyarakat terhadap bangsawan semakin berkurangan, jadi kami cuba mengembalikan minat mereka terutama golongan muda dengan menekankan lebih kepada pengisian cerita.

“Masyarakat hari ini mahukan cerita ringkas tetapi menghiburkan untuk itu kita minimumkan penggunaan set dan banyakkan tarian serta nyanyian.

“Tempoh persembahan selama 1 jam 45 minit juga cukup membuatkan penonton memahami mesej yang disampaikan,” kata ahli kepada kumpulan Kreatif Utama Budaya Anak Seni (KUBAS), Kedah itu.

Opera Primadona mengisahkan konflik yang dialami seorang anak seni bernama Miss Kecubung yang iri hati terhadap seorang pendatang baharu, Siti Kejora yang menggugat statusnya sebagai primadona terulung.

Sepanjang karya yang menggabungkan alat muzik seperti set gamelan, gitar dan dram itu berlangsung, penonton dikerah untuk berfikir dan menjawab segala persoalan yang timbul.

Kecerdikan kumpulan tersebut mempersembahkan bangsawan itu ternyata memberi erti bahawa karya purba masih mampu diberi nafas baharu agar ia tidak karam selama-lamanya.

Begitu juga dengan wayang kulit, walaupun ramai yang menyifatkannya sebagai pementasan berunsur jenaka dan lebih kepada hiburan semata-mata, perspektif itu pada hakikatnya tidak benar.

Menerusi persembahan wayang kulit berjudul Perjuangan Seri Rama, banyak iktibar dan mesej yang akan disampaikan khusus untuk generasi hari ini.


Opera Cina turut menemui penonton di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur hujung bulan Julai ini.


Tok Dalang untuk persembahan tersebut, Mohd. Nasir Yusoff menceritakan bahawa karya Seri Rama memfokuskan kepada kebolehan seorang pemerintah mentadbir 40 buah negara di bawah pentadbirannya.

Teras utama pementasan dari Kelantan itu dipusatkan kepada mesej perjuangan dan diharapkan dapat diserapkan ke dalam diri generasi hari ini.

Teater klasik India

“Ia satu persembahan mudah, kita mahu mereka memahami erti perjuangan dan mahukan generasi hari ini meneruskan perjuangan tersebut.

“Menyedihkan apabila melihat anak-anak muda kini tidak tahu menghargai nilai perjuangan dan menerusi persembahan ini mereka akan mengerti perjuangan sebenar,” jelasnya yang juga merupakan pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Teater tarian klasik India yang menghimpunkan babak-babak dalam epik Ramayana akan menemui warga Kuala Lumpur pada 31 Julai ini di Panggung Bandaraya.

Kisah sinonim dengan masyarakat India itu juga sebenarnya tidak asing lagi dalam kalangan penduduk Malaysia malah ia juga antara pementasan popular di serata dunia.

Pengarah persembahan teater itu, Shankar Kandasamy secara jujur mendedahkan penceritaan teater tersebut agak ringkas dan hanya diberatkan kepada tarian sahaja.

Sebagai persembahan penutup untuk Festival Kuala Lumpur 2011, teater itu bakal menyajikan tarian rakyat dari Gujerat, tarian kathak dari utara India dan tarian Odisi.

“Saya tidak perlu gusar dengan kemampuan teater ini kerana tahun sebelum ini dewan penuh hingga tidak cukup tempat duduk.

“Pementasan di Kuala Lumpur tidak sukar kerana rata-rata penonton sangat menghargai karya-karya sebegini dan mereka juga terdiri daripada pelbagai bangsa,” ujarnya mewakili kumpulan persembahan daripada The Temple of Fine Arts itu.